KUALA LUMPUR, 22 Feb — Pakatan Rakyat (PR) yakin akan memenangi hampir
140 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya 2013 dengan kemenangan di Sabah,
Sarawak dan Johor akan memberikan mereka majoriti mudah untuk menubuhkan
kerajaan, kata sumber.
The Malaysian Insider
difahamkan pemimpin PR telah menghitung peluang di beberapa negeri
tetapi bilangan mereka bergantung kepada keupayaan untuk menyatukan
pembangkang di Sabah.
Disebalik keyakinan PR, pemerintah Barisan Nasional (BN) telah
membuat tinjauan yang menunjukkan mereka boleh menang sehingga 145
kerusi, lebih tinggi dari 112 kerusi untuk majoriti mudah dan di bawah
148 kerusi untuk majoriti dua pertiga.
Kaji
selidik bebas bagaimanapun menunjukkan BN boleh menang diantara 105 dan
117 kerusi, dengan kaji selidik trend pengundian terbaru menunjukkan
kedudukan kelulusan Umno hampir 40 peratus, jauh lebih rendah daripada
kelulusan untuk Perdana Menteri dan presiden Umno Datuk Seri Najib
Razak.
“Pemimpin Pakatan bercakap mengenai kemungkinan menang
sekurang-kurangnya 138 kerusi, mungkin sehingga 140 dengan kerja keras
yang telah dilakukan semenjak 2008,” kata sumber kepada The Malaysian Insider, merujuk kepada pilihan raya lalu apabila tiga parti tersebut menang 82 kerusi parlimen dan lima negeri.
Kemenangan DAP, PAS dan PKR selepas bekerjasama pada 2008 menyebabkan
penubuhan PR walaupun ianya masih belum berdaftar. BN merupakan
satu-satunya gabungan politik berdaftar di Malaysia.
Pemimpin de facto PR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi tahu
agensi berita Bloomberg pertempuran utama dalam Pilihan Raya 2013 adalah
di Sabah dan Sarawak, yang menawarkan 56 daripada 222 kerusi parlimen.
Kedua-dua negeri Borneo itu dilihat sebagai “deposit tetap” untuk BN
tetapi Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) mengenai pemberian
kewarganegaraan sebagai pertukaran kepada undi memberikan imej buruk
kepada gabungan pemerintah itu.
Krisis dengan militan bersenjata Sulu di bandar pantai timur Lahad
Datu di Sabah telah menimbulkan persoalan tentang keupayaan Putrajaya
untuk mempertahankan negeri tersebut.
Difahamkan PR berharap untuk menang besar di Sarawak dan Sabah, bukan
hanya di kawasan bandar di mana masyarakat Cina dominan menyokong parti
pembangkang itu tetapi juga di beberapa kawasan luar bandar di mana
pemimpin PR telah menerima sambutan yang hangat.
Pakatan juga memberikan tumpuan di Johor dimana beberapa pemimpin
penting PAS dan DAP dihantar untuk bertanding. Ini termasuklah Naib
Presiden PAS Salahuddin Ayub dan ahli strategi DAP Liew Chin Tong —
masing-masing merupakan ahli parlimen.
“Kami mendapat respon yang baik dari penduduk Sabah dan Sarawak dan
ini membimbangkan BN. Sebab itu pemimpin BN melawat dua negeri tersebut
dengan lebih kerap,” kata sumber dari PR kepada The Malaysian Insider.
Najib di Sarawak hari ini, seminggu selepas menghabiskan dua hari di
Sabah minggu lalu. Pengerusi BN itu mempunyai satu lagi pusingan melawat
negeri yang akan berakhir di kerusi parlimennya Pekan pada 16 Mac.
The Malaysian Insider melaporkan baru-baru ini Najib
berkemungkinan membubarkan parlimen selepas 16 Mac dan mendapatkan
mandat pertamanya dengan pilihan raya yang akan diadakan pada
pertengahan April.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengazetkan daftar pemilih
terbaru hari ini dan dilaporkan 13.64 juta telah mendaftar sebagai
pengundi, termasuk 3,000 dari luar negara.
SPR akhirnya membenarkan rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara
untuk mengundi — sebelum ini hanya diberikan kepada pekerja kerajaan dan
pelajar tajaan kerajaan dalam pilihan raya lalu.
No comments:
Post a Comment