Dua juragan ini tidak lain tidak bukan iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Penganalisis politik, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, kedua-dua tokoh ini nyata sama kuat, sama hebat, menjadikan pilihan raya kali ini berada dalam kelasnya yang tersendiri.
Faktor kedua-dua individu besar ini dalam perebutan menakluk hati rakyat menjadikan PRU13 bukan sahaja membabitkan pertempuran idea, manifesto malahan menjadi pilihan raya yang sangat mahal dari segi kos.
"Kedua-duanya sama karakter cumanya haluan berbeza, pendekatan berbeza. Dalam kepimpinan, teori mengenainya cukup banyak," ujar pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) ini.
Anwar menurut Atory, bukan pesaing yang wajar dipandang enteng.
Pengaruh yang dimiliki menyebabkan apa yang diperkatakan oleh pemimpin itu dipercayai dan dipegang oleh penyokongnya meskipun ia sebuah harapan yang tidak munasabah.
Bahkan, bekas timbalan perdana menteri berada dalam kategori 'charismatic leader'.
"Dia seorang manusia yang sangat kuat karakternya yang tidak mahu mengalah dengan keegoannya. Sama ada keegoan seorang pemimpin dan juga keegoan seorang lelaki. Macam Hitler, Sukarno, sukar untuk orang-orang seperti ini mengalah.
"Selalunya orang seperti ini ia punyai matlamat dan visi yang diyakininya akan tercapai walau bagaimanapun halangan," kata Atory.
Politik tambahnya, merangkumi tiga komponen iaitu kuasa, autoriti dan pengaruh.
"Antara tiga-tiga ini, Najib mempunyai kuasa, pengaruh kurang. Anwar mempunyai pengaruh yang besar tetapi tidak ada kuasa," ujar Atory, sambil menambah, amat baik jika seseorang pemimpin mempunyai kedua-dua komponen tersebut dalam
satu-satu masa.
Meskipun begitu katanya, Najib yang bercirikan 'instrumental leader' dilihat punya kelebihan apabila turun dalam pilihan raya kelak kerana berada di platform yang lebih selamat iaitu parti pemerintah.
"Maknanya parti ketika beliau mengambil, parti masih menyokong dia. Birokrat, pentadbir menyokong di atas pentas atau platform kekuasaan beliau. Mudah kepada beliau bergerak.
"Jadi sekarang ini, ia tentang orang yang punya kuasa dan orang yang punya pengaruh. Jika kuasa ini digunakan sebaik-baiknya, pengaruh itu akan habis. Tetapi kalau kuasa tidak digunakan sepenuhnya, pengaruh akan menguasai," ujar Atory.
Kedua-dua tokoh politik ini mendapat perhatian yang cukup luar biasa menjelang tarikh pilihan raya umum.
Terbaru kajian populariti oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) menunjukkan Najib berada di depan sedikit dengan memperolehi 43 peratus berbanding Anwar yang mengejar rapat dengan 42 peratus, untuk siapa calon
paling layak sebagai perdana menteri selepas PRU13.
Kajian turut membabitkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendapat 26 peratus undian manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperoleh 22 peratus.
Di kalangan Melayu, Najib adalah yang paling popular dengan 46 peratus, diikuti oleh Abdul Hadi 36 peratus, Anwar 34 peratus dan Muhyiddin 26 peratus.
Keputusannya adalah berbeza di kalangan kaum Cina di mana Anwar muncul paling popular dengan 61 peratus, diikuti Najib 35 peratus dan Muhyiddin 15 peratus.
Abdul Hadi adalah yang paling kurang popular, meraih hanya dua peratus.
No comments:
Post a Comment