Wednesday, February 13, 2013

Deepak harap bantuan k’jaan baru jika AG gagal beri imuniti

AG2PUTRAJAYA 13 FEB: Usahawan permaidani, Deepak Jaikishan berharap permohonannya untuk mendapat perlindungan sebagai saksi dari Peguam Negara (AG), diterima kerajaan baru selepas Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13), jika ditolak Tan Sri Abdul Gani Patail dalam sebulan.
Deepak menyerahkan permohonan tersebut hari ini di pejabat AG, di sini. Beliau ditemani Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Peguam PAS, Asmuni Awi.
Permohonan itu untuk membolehkan Deepak mendedahkan segala maklumat diketahui beliau berkaitan akuan bersumpah kedua oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala) berkaitan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Menurut Deepak, segala dokumen dan bukti hanya akan diserah kepada Peguam Negara selepas beliau diberikan sijil imuniti oleh kerajaan Malaysia, merangkumi semua undang-undang negara.
“Kita bagi tempoh sebulan kepada Jabatan Peguam Negara untuk respon. Jika tiada sebarang respon, saya harap waktu itu sudah berlaku pertukaran kerajaan baru…Biar mereka pula yang bertindak,” kata Deepak pada sidang media selepas penyerahan surat tersebut.

Surat itu hanya dapat diserahkan kepada pegawai Abdul Gani memandangkan beliau sedang bermesyuarat.
Berharap PRU 13 akan bertukar kerajaan baru, Deepak hari ini turut menyerahkan salinan surat terbuka beliau kepada Tun Dr Mahathir Mohamad meminta mantan Perdana Menteri itu mencadangkan supaya Najib meletakkan jawatan dan menjalankan pilihan raya dalam masa 60 hari.
“Jika sistem perundangan negara tidak mampu berlaku adil, perubahan kerajaan adalah jalan seterusnya,” kata Deepak.
Beliau juga sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi penguatkuasaan untuk memberi maklumat lanjut berikutan penglibatan Perdana Menteri dalam kes itu.
Dalam surat tersebut, Deepak berkata, beliau langsung tidak terlibat di dalam perbuatan kedua-dua SD yang bertarikh 1 Julai 2008 dan 3 Julai 2008.
Kata Deepak, penglibatannya hanya bermula selepas SD1 muncul apabila beliau dihubungi Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri, bagi membantu membersihkan nama Perdana Menteri apabila Datuk Seri Najib Razak dilibatkan secara langsung dalam SD1.
Menurut Deepak lagi, beliau juga tidak kenal rapat dengan Bala. Deepak sebelum ini mendakwa, beliau terlibat dalam pembikinan SD 2 selepas diminta oleh rakan rapatnya, Rosmah. Beliau diminta oleh Rosmah yang dianggap sebagai ‘kakak’ itu berbuat demikian selepas PI Bala membuat sidang media
mendedahkan pengakuan bersumpahnya yang pertama.
Dalam akuan itu, Bala mendakwa Najib terlibat dalam kematian Altantuya yang dibunuh secara kejam di hutan simpan dekat Puncak Alam pada 2006. Melalui SD 2 yang dibuatnya, Bala menarik balik segala pengakuan beliau dalam SD 1. Deepak berkata, beliau membawa Bala menemui adik Najib, Nazim Razak di sebuah pusat membeli belah di Mutiara Damansara.
Dalam pertemuan itu, Deepak berkata, pelbagai janji dibuat oleh Nazim bagi pihak Najib kepada Bala.
Ekoran itu, Bala membuat SD 2 yang bercanggah sama sekali dengan SD 1.
Deepak memohon Peguam Negara memberi perlindungan kepadanya sebagai saksi dalam kes ini berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Negara yang memberikan kuasa kepada AG untuk membuat pendakwaan.
“Kita datang bagi sokongan moral kepada Deepak, bukan atas kapasiti politik tapi sebagai rakyat yang sama-sama mahu lihat kebenaran,” kata Mahfuz.

No comments: