Namun tidak boleh dinafikan betapa ramai yang tertipu lalu menganggap setiap hubungan seks itu tanda cinta sehingga gagal membezakan antara pelacur yang menanti upah dan isteri yang menanti pahala dan takutkan dosa. Demikian, ada rakyat dalam dunia ini yang menganggap setiap pemberian kerajaan itu tanda cinta kepada mereka sedangkan mereka lupa pemberian itu tidak dibina atas kejujuran cinta, sebaliknya atas upah sokongan dan undi.
Oleh: Dr MAZA
Cinta adalah perkara yang tidak boleh
dibuat-buat. Ia satu perasaan yang muncul dari lubuk sanubari. Ia lahir
dalam jiwa dan diterjemahkan dalam tindakan. Apabila seseorang itu
benar-benar kasihkan kita, maka tindakan dan sikapnya terhadap kita juga
adalah lambang dan hasil dari keindahan cintanya. Sesiapa yang ada
pasangan yang mencintainya, dia akan tahu keindahan hubungan yang dibina
atas cinta. Lihat cara suami atau isteri anda melayan anda, maka anda
dapat mengukur tahap cintanya kepada anda. Lagi dalam kasihnya, lagi
indah hubungan dan sikapnya terhadap anda.
Justeru, hendaklah dibezakan antara
kehendak seks antara pasangan dan cinta. Seks ada yang berteraskan nafsu
semata dan ada yang merupakan gabungan antara cinta dan nafsu.
Seseorang yang ghairah seksnya, bukan bererti dia penuh cinta. Namun,
cinta yang mendalam membawa kepada hubungan seks yang indah. Ini boleh
diibaratkan macam pemberian wang bantuan oleh sesebuah kerajaan kepada
rakyat. Pemberian itu bukan semestinya menggambarkan cinta kerajaan
kepada rakyat. Boleh jadi ia sekadar nafsu ingin berkuasa dan pemberian
itu demi melangsaikan kehendak dirinya. Rakyat yang menerima bantuan
juga bukan semestinya mencintai kerajaan yang memberi. Dia sudi menerima
kerana merasakan itu haknya, ataupun dia memerlukannya tapi jiwanya
mungkin menyumpah dan menyampah. Persis seperti hubungan antara suami
isteri yang hidup dalam keadaan keterpaksaan tapi penuh kebencian.
Pelacur
Namun tidak boleh dinafikan betapa ramai
yang tertipu lalu menganggap setiap hubungan seks itu tanda cinta
sehingga gagal membezakan antara pelacur yang menanti upah dan isteri
yang menanti pahala dan takutkan dosa. Demikian, ada rakyat dalam dunia
ini yang menganggap setiap pemberian kerajaan itu tanda cinta kepada
mereka sedangkan mereka lupa pemberian itu tidak dibina atas kejujuran
cinta, sebaliknya atas upah sokongan dan undi.
Pun begitu, pelacur kadang-kala kurang
buruk dari sesetengah kerajaan atas muka bumi ini kerana pelacur
mengambil upah dari hasil dirinya. Sementara pemimpin dan kerajaan yang
menipu mengambil wang negara dan rakyat yang dibahagikan semasa sendiri
terlebih dahulu dan sedikit pemberian untuk rakyat sambil berlagak
seolah wang tersebut dari poket peribadi mereka.
Adapun hubungan seks halal yang penuh
cinta itu melahirkan kepuasan jasmani dan rohani. Tiada pemberontakan
dan penuh kedamaian. Ia seperti sebuah kerajaan yang cintakan rakyat.
Amanah terhadap pengurusan negara. Harta negara bukan habuan untuk
isteri dan keluarga mengaut kekayaan yang gila-gila. Negara diuruskan
dengan sebaiknya dengan penuh keikhlasan sehingga rakyat terasa
kejujuran itu. Kejujuran itu menimbulkan rasa cinta rakyat kepada diri
pemerintah. Pemerintah mengawal negara dari ancaman luaran dan juga
dalaman. Ancaman musuh yang terang, dan juga orang sekelilingnya yang
kadang-kala lebih memusnah kekayaan negara dibanding mereka yang digelar
“musuh”.
Isteri dan kroni
Betapa ramai pemerintah yang dibenci
kerana tingkah laku isteri dan kroni. Inilah ancaman dalaman yang
meragut peluang dan kesempatan sehingga kekayaan negara tertumpu dalam
tangan mereka. Hanya pemerintah yang amanah dan cekap sahaja dapat
menguruskan negara dari ancaman luaran dan dalaman ini. Hasilnya,
kasih-sayang rakyat dan kesetiaan lahir dalam tindakan para pegawai
kerajaan dan rakyat bawahan. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h
(meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah
ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah: “Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta
negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta
membahagikan harta miliknya. Sebaliknya, para pemerintah hanyalah
pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. Ini
seperti yang Nabi s.a.w sabda: “Aku — demi Allah — tidak boleh memberi
(harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang
meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh
al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”
“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang
memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan
kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh
berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada
sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah s.a.w) hanya
seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia
meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.
Sambung Ibn Taimiyah lagi: “Demikian
apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai
Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah
ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan
antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu
perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka
menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka.
Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan
harta mereka?.”
Lagi kata Ibn Taimiyyah: “Pernah dibawa
kepada ‘Umar bin al-Khattab r.a. harta yang banyak dari bahagian khumus
(bahagian dari rampasan perang). Kata ‘Umar: “Sesungguhnya tentera telah
menunaikan amanah”. Kata mereka yang hadir kepada ‘umar: “Sesungguhnya
engkau telah menunaikan amanah kepada Allah ta’ala, maka mereka pun
menunaikan amanah kepada engkau. Jika engkau mengambil harta negara
sesuka hati, begitulah juga mereka akan lakukan” [m/s 51-52. Kuwait: Dar
al-Arqam (1406H)]
Teladan
Dari jawapan rakyat kepada Khalifah
‘Umar bin al-Khattab, kita dapat tahu bahawa antara punca utama rakyat
bawahan tidak amanah, setia dan jujur kepada negara dan harta awam
adalah disebabkan pemimpin yang tidak amanah. Jika pemimpin itu amanah,
pasti rasa cinta dan setia kepada negara akan bersemarak dalam jiwa
rakyat jelata. Justeru jangan hairan jika kita lihat rakyat di
negara-negara maju rakyat mereka lebih sayangkan negara dibandingkan
negara-negara umat Islam yang pengurusan kepimpinannya tidak jujur dan
khianat. Hilang ataupun terhakisnya semangat patriotic dan setia kepada
tanahair, sebahagiannya hasil dari tindak tanduk kegelojohan golongan
atasan mengisi tembolok sendiri. Apabila golongan atasan memiliki
kekayaan yang zahir pada diri, “isteri” dan anak dengan kadar yang tidak
masuk akal dan sangat luar biasa, maka rakyat kesusahan mula membenci
para penguasa mereka. Sekalipun jika ada yang mendakwa kekayaan itu
hasil menabung dari kecil, tetapi itu hanya ungkapan untuk
memperbodohkan rakyat jelata.
Apabila datang musim maulid kita
bercakap tentang Nabi s.a.w dan teladan dalam kepimpinan, namun dunia
umat Islam masih terlalu jauh. Nama Nabi s.a.w hanya sekadar untuk modal
politik menyedapkan bicara di hadapan rakyat. Di mana Nabi Muhammad
s.a.w dan kepimpinan negara umat Islam kita?! Semasa peperangan Badar,
tentera Islam mempunyai jumlah kenderaan yang begitu terhad. Tujuh puluh
ekor unta terpaksa dikongsi oleh tiga ratus beberapa belas orang
tentera. Nabi s.a.w berkongsi dengan ‘Ali bin Abi Talib dan Abu Lubabah.
Memandangkan kedudukan Nabi s.a.w dan mereka berdua lebih muda dari
Nabi s.a.w maka mereka meminta agar Nabi s.a.w sahaja yang menggunakan
unta tersebut. Namun, dengarlah jawapan Nabi s.a.w kepada mereka:
“Tidaklah kamu berdua lebih kuat daripadaku, dan tidak juga aku orang
yang paling kurang memerlukan pahala dibanding kamu berdua” (Riwayat
Ahmad, Ibn Hibban dll. Hadis bertaraf hasan).
Demikianlah pemimpin yang berkongsi
perasaan dan keadaan rakyat. Maka dari situ suburlah cinta dan setia
antara rakyat dan pemimpin. Teruruslah negara, hidupkan kedua pihak
dalam keadaan cinta dan setia. Pemimpin bukan pelacur yang menjual diri
untuk mendapat upah. Pemimpin tidak boleh menipukan rakyat dengan
pemberian yang mengkaburkan untuk mendapatkan undi sedangkan kesemua itu
tidak dibina atas cinta dan kejujuran terhadap negara.
No comments:
Post a Comment