Lawatan Najib ke Pulau Pinang
merupakan lawatan yang membazir bagi dirinya dan partinya. Lawatan beliau itu
adalah lawatan politik dan kali ini beliau diiringi oleh penyanyai pop terkenal
Psy dari negeri Korea
dan berbelanja sebanyak RM 2 juta untuknya. Saya tidak tahu berapa pula bayaran
yang di bayar kepada penyanyi tempatan, Shila Hamzah. Psy menyanyi tidak lebih
dari 10 minit itu merupakan orang yang di harapkan oleh Najib untuk meniupkan
‘mood’ bagi mendapatkan sokongan terhadap beliau dan BN dalam pilihanraya
nanti. Najib sedang berusaha untuk merampas Pulau Pinang dari DAP dan Pakatan
Rakyat.
Najib tidak membawa dirinya
sebagai pemimpin utama secara betul dan tidak ada siapa di kalangan kabinetnya
mampu membawa diri mereka sebagai pemimpin yang baik lagi. Najib telah
dimalukan oleh orang ramai semasa berada di Pulau Pinang dihadapan tujuh ribu
orang yang di angkut beramai-ramai itu. Beliau dimalukan oleh orang ramai
dengan jeritan ‘NO!’ apabila beliau bertanya samada sudah bersedia untuk BN
atau tidak. Laungan ‘NO’dengan spontan dan gemuruh telah di tunjukkan oleh
orang ramai di situ. Sebelum itu pertanyaan Najib samada mereka bersedia untuk
Psy, orang ramai dengan gemuruh menjawab YES apabila Najib bertanya samada
sudah bersedia untuk Psy atau pun belum.
Keadaan seperti ini sepatutnya
memberikan kesedaran kepada semua pemimpin UMNO BN bahawa rakyat sudah tidak
mahu lagi memberikan sokongan atau dukungan terhadap BN pimpinan Najib dan
barisan kepimpinan UMNO dalam Majlis Tertinggi parti itu. Rakyat terpaksa
berhimpun dan menyatakan secara berdepan yang mereka tidak mahukan lagi BN
untuk memerintah mereka.
Dalam perhimpunan CNY itu
sepatutnya memberikan Najib kesedaran yang rakyat tidak boleh dibeli dengan
wang ringgit dan hiburan yang mengasyikkan lagi. Rakyat mahukan kerajaan yang
serius dan berani berubah. Tetapi rakyat tahu pimpinan hari ini tidak berani
berubah sikap dan perangainya kerana berubah bermakna tidak rasuah dan tidak
menyalah gunakan kuasa.
Kini elok kita bertanya, mampukah
BN meyakinkan rakyat yang mereka tidak akan rasuah lagi? Rakyat sedar yang
ketagih rasuah seperti pimpinan UMNO tidak mampu mahu berubah dan tidak akan
mampu untuk berubah. Stigma kotor yang melekat kepada batang tubuh pimpinan BN
dan UMNO itu tidak dapat di bersihkan lagi. Itu sebab saya katakan yang UMNO
perlu mencari orang lain untuk memimpin bagi menukar imejnya yang terlalu busuk
dan buruk itu.
Jika keburukkan imej yang
dihadapi oleh UMNO itu tidak dapat di ubah, berikanlah sepuluh kali BRIM, TRIM
dan apa-apa RIM yang lain rakyat perlukan perubahan. Kalau UMNO masih menerajui
negara, ia bukannya perubahan. UMNO tidak boleh menggantikan Muhyiddin sebagai gantian
kepada Najib. Begitu juga Zahid Hamidi, Hishamudin dan Shafie Afdal. Mereka
mereka ini tidak boleh menggantikan Muhyiddin dan begitulah seterusnya.
Menggantikan Najib dengan
Muhyiddin tidak akan membawa apa-apa kebaikan malah ia akan meruntuhkan lagi
UMNO dan akan mati lebih cepat. Kesemua pemimpin dalam Majlis Tertinggi itu
tidak boleh menggantikan Najib. Yang boleh menggantikan Najib hanya lah sesiapa
yang berada di luar barisan pimpinan itu untuk membawa imej dan aura yang baru
bagi parti itu. Tetapi itu tidak juga berlaku. Maka perubahan parti pemerintah
merupakan jalan dan satu-satunya kaedah untuk membetulkan yang salah,
menyambung yang putus dan menampal yang koyak hasil perlakuan UMNO dan BN itu.
Tetapi rakyat masih bernasib baik
kerana jika UMNO dan BN tidak mampu berubah maka kita ubah, kita boleh tukar BN
itu dengan parti-parti yang lain yang telah lama wujud secara halal dalam
negara ini. UMNO boleh kembali memerintah mungkin sepuluh tahun lagi apabila
mereka memperbaiki imej mereka semasa berada sebagai pembangkang nanti.
Di India parti Kongress telah
kembali berkuasa setelah di tumpaskan oleh parti Janata dahulu. Parti Kongress
telah mencapai kemerdekaan negara India dan telah di tumpaskan oleh
rakyat kerana isu yang sama seperti yang di hadapi oleh UMNO di negara ini. Di
Jepun juga parti Liberal Demokrat telah kembali berkuasa setelah berada sebagai
parti pembangkang beberapa ketika kerana di tolak oleh rakyat Jepun pada awal
tahun 2000 dahulu sedangkan Liberal Demokrat merupakan parti yang telah membawa
Jepun menjadi kuasa ekonomi ketiga besarnya dalam dunia ini.
UMNO perlu melalui proses introspeksi
kerana parti itu sudah tidak lagi tahu mana yang baik dan mana yang buruk. Yang
buruk di anggap baik dan yang baik di anggap buruk. Itulah sebabnya rakyat
negara ini wajar melakukan perubahan itu sedaya upaya kerana jika rakyat tidak
mampu mengubahnya maka kesalahan itu akan terletak di bahu rakyat sendiri.
Jika UMNO menjadi pembangkang
masa itu boleh digunakan untuk melakukan pembaikan kepada kualiti kepimpinan
parti itu dan pemimpin-pemimpinnya boleh belajar berfikir kerana pengalaman
sebagai pembangkang itu perlu untuk melatih pemimpin-pemimpin parti itu untuk
berfikir dengan baik. Apabila UMNO sudah bersedia menjadi parti yang baik,
mungkin Hishamudin tidak akan bercakap seperti orang yang hilang akal lagi.
Mungkin Najib akan lebih matang
dan memahami perasaan rakyat dan tidak lagi bercakap memperbodoh-bodohkan
rakyat lagi. Mungkin semasa itu Mahathir akan lebih baik dan tidak lagi melakukan
hasutan dan memecah belahkan pimpinan UMNO lagi. Semasa itu nanti mungkin Rais
Yatim tidak lagi menunjukkan sikap mengampu dan membodek pucuk pimpinan semasa
itu. Satu lagi kemungkinan ialah UMNO akan sedar yang melakukan rasuah itu kerja
hina dan boleh menjatuhkan tamadun rakyat.
Dengan meletakkan UMNO sebagai
pembangkang maka UMNO akan tahu samada tuduhan Pakatan Rakyat mampu mentadbir
negara. UMNO boleh memantau samada pimpinan Pakatan Rakyat melakukan apa yang
mereka (UMNO) lakukan semasa memerintah selama 56 tahun itu. UMNO boleh
memantau samada PAS, DAP dan PKR akan menaikkan harga bekalan alat pertahanan
negara berlipat kali ganda atau tidak.
Yang terlebih penting untuk UMNO
semasa menjadi pembangkang itu ialah bahawa memberikan pendidikan percuma itu
boleh dilakukan. Menghapuskan tol itu juga boleh dilakukan dan tidak akan
membankrapkan negara. Pakatan Rakyat juga akan mengajar bagaimana Badan Kehakiman
yang bebas itu boleh membina negara dengan baik. UMNO juga boleh melihat samada
berlaku pembunuhan wanita asing yang melibatkan pimpinan negara semasa itu
nanti.
UMNO juga akan belajar dan
mengetahui yang rupa-rupanya pemimpin boleh mentadbir negara tanpa rasuah dan
belajar yang ketagihan rasuah itu boleh dielakkan jika usaha menolaknya dibuat
pada awal pentadbiran kerajaan baru itu.
UMNO juga akan belajar bagaimana
untuk menjadikan media massa
yang lebih adil dan terbuka itu akan membina minda dan sikap rakyat
keseluruhannya.
Pendeknya jika UMNO menjadi
pembangkang ia lebih menguntungkan UMNO lagi kerana ia memberikan kesempatan
bagi parti itu memperbaiki diri mereka untuk menjadi parti yang bertanggungjawab
dan berdisiplin yang tinggi.
Yang terpenting lagi bagi UMNO
belajar semasa menjadi pembangkang itu ialah mengakui yang negara ini rakyat
yang punya, bukannya Mahathir, Najib atau pun mana-mana pemimpin dari partinya.
Aspan Alias
No comments:
Post a Comment