Monday, September 8, 2008

MISI ANWAR TIDAK DAPAT MEMPENGARUHI ORANG MELAYU??

Temuramah Bersama Mohd Sabu
Bersama Wartawan Malaysia Kini

"Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya berkesan mengubah undi bukan Melayu, tetapi kurang berkesan di kalangan orang Melayu dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.


“Faktor Anwar di kalangan orang bukan Melayu. Beliau hendak memperkenalkan dasar baru. Walaupun beliau tidak lagi meletakkan apakah dasar baru itu, tetapi memberi harapan kepada orang bukan Melayu,” kata Mohamad.

“Bagi orang Melayu, faktornya ada tetapi tidak sebesar mana. Kepada orang bukan Melayu, memberikan harapan,” katanya ketika diminta mengulas sejauhmana Anwar menjadi faktor kemenangan besar parti-parti dalam Pakatan Rakyat – termasuk PKR dan DAP -- dalam pilihanraya umum lalu.

Mohamad berkata, cabaran utama PAS adalah untuk “mempertahankan dasar Islam dan dalam masa yang sama berkawan dengan parti-parti lain”.

Isu-isu seperti negara Islam, terutamanya dengan DAP dilihat masih menghantui parti itu.

“Bagi kami, itulah, dalam hendak mempertahankan dasar Islam, dan DAP yang secara terang menyebut dia menolak negara Islam dan sebagainya, bagaimana dua kumpulan ini hendak bekerjasama? Ini merupakan cabaran yang besar kepada kami.

“Tetapi kami tidak melihat itu sebagai satu masalah yang tidak boleh selesai,” kata Mohamad yang ditugaskan oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berhubung dan “tinjau-tinjau” dengan pimpinan DAP ke arah membentuk kerajaan bersama di empat negeri – selain Kelantan – sehari selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

“Sukar tetapi boleh dilalui. Sukar sebab kita mentadbir manusia. (Ketawa) Umno sama Umno pun kita tengok lagi teruk. Tidak ada benda yang tidak boleh kita cabar,” kata Mohamad kepada Malaysiakini ketika diwawancara di rumahanya, di Shah Alam kelmarin.

Tuan Haji sebut kemenangan besar PAS disebabkan peralihan undi dari bukan Melayu. Jadi, apakah makna peralihan undi ini kepada PAS?

Politik Malaysia ini lebih berdasarkan kaum, terutamanya selepas merdeka, memang parti Umno, walaupun memperjuangkan Melayu, tetapi orang-orang bukan Melayu merasakan mereka sebagai sahabat, sebagai kawan. Tetapi PAS memang ditakuti orang Melayu, terutamanya orang bukan Melayu.

Kita tahulah, pilihanraya, parti politik, ini atas persepsi. Kita boleh bercakap apa pun tetapi persepsi orang begitu, digambarkan begitu. Jadi, kita kata dua parti dominan pembangkang – PAS dengan DAP – selagi orang Melayu takut kepada DAP, selagi DAP takut kepada PAS, selagi itulah BN akan berkuasa.

Ini trend politk dalam negara kita. Sebab itu kita lihat pada tahun 1986, 1994 dan 1999, isunya banyak, tetapi kita hendak bawa orang Cina mengundi PAS, orang PAS mengundi DAP memang agak sukar, walaupun kami di peringkat pimpinan, boleh bertemu dan berbincang.
Oleh kerana berlaku peristiwa (perhimpunan besar) Bersih, Hindraf , kemudian dengan (krisis badan) kehakiman, (kes) VK Lingam, berlaku kenaikan harga minyak pada waktu tu, kenaikan harga barang, maka rakyat kali ini tidak peduli, sampai orang buat khidmat pesanan ringkas (SMS) mudah - ABU - Asalkan Bukan Umno - kita undi.

Tuan Haji lihat peralihan undi daripada golongan Cina ini menggambarkan mereka mula menerima dasar-dasar PAS, bersifat sementara kerana tidak sukakan BN atau tanda demokrasi kita makin matang?

Saya melihat tanda demokrasi semakin matang. Perkara ini bukan jadi dengan begitu saja, walaupun ia tsunami. PAS sendiri membuat pendekatan dengan orang bukan Melayu ini secara agak agresif, bermula pada pilihanraya umum 1986 melalui Majlis Perundingan Cina (CCC). Tetapi oleh kerana badan itu kecil, ia kurang berjaya.

Kemudian, kita terus dengan DAP pada tahun 1999. Tetapi propaganda BN menyebabkan orang Tionghua sendiri takut untuk mengundi DAP. Disebarkan di Pulau Pinang (foto) Lim Kit Siang pakai serban dalam pilihanraya itu. Jadi, itu propaganda. Jadi, sampai bila rakyat Malaysia hendak berada dalam suasana itu?

Sekarang ini rakyat Malaysia ada akses kepada internet, kepada laman-laman web, blog dan sebagainya.

Jadi, teknologi informasi membantu kemenangan PAS?

Ya, juga pendekatan PAS kebelakangan ini.

Tetapi adakah dasar-dasar PAS itu dapat diterima?

Kita tidak kata mereka menerima secara bulat. Sekarang ini mereka datang dengar penerangan langsung daripada kita. Dan saya rasa perubahan ini tidak sementara. Tetapi kita tidak boleh diam begitu sahaja. Kena teruskan pendekatan yang dibuat.

Bagaimana faktor Anwar Ibrahim memainkan peranan mengubah undi?

Faktor Anwar Ibrahim di kalangan orang bukan Melayu. Beliau hendak memperkenalkan dasar baru. Walaupun beliau tidak lagi meletakkan apakah dasar baru itu, tetapi memberi harapan kepada orang bukan Melayu.

Bagi orang Melayu, faktornya ada tetapi tidak sebesar mana. Kepada orang bukan Melayu, memberikan harapan.

Bagaimana peranan beliau menggabungkan ketiga-tiga parti dalam Pakatan?

Setakat ini, kita di peringkat jawatankuasa penyelaras. Sudah ada di peringkat pusat. Ia berjalan dengan baik di Perak dan di lain-lain negeri. Kita buat dalam bentuk mesyuarat. Pertama sekali, Pakatan ini berjalan dengan baik walaupun kita, majoritinya kecil di Perak ini, tetapi berjalan dengan baik.

Selain itu ada dakwaan PKR mendominasi Pakatan sedangkan semua parti-parti yang bergabung bersetuju tiada pihak lebih besar dalam Pakatan.

Iyalah, siapa pun mendapat kerusi lebih, jadi mereka merasa mereka hebat. Biasalah itu. Macam dalam BN, Umno kerusi terbanyak. Sekarang dalam Pakatan, dalam pilihanraya lepas, keadilan yang terbanyak (dengan) 31 kerusi, DAP 28 kerusi, PAS 22 kerusi. Jadi, kalau orang-orang PKR merasakan begitu, tidak ada masalah. Sebab dia masa sekarang ini mendahului daripada sudut jumlah kerusi. Tetapi dominan saya tidak nampak, tidak timbul dalam parti (PAS) ini.

Anwar Ibrahim yang dominan membuat kenyataan bagi pihak Pakatan, adakah itu juga pandangan bersama PAS dan DAP bersama?

Kenyataan Anwar dalam bentuk umum, kita kata itu pandangan beliaulah. Jadi, beliau sendiri pun jarang membuat kenyataan di atas nama Pakatan Rakyat, di atas nama peribadi dia. Tetapi kenyataan misalnya kalau memerintah, harga minyak akan turun, walaupun itu peribadi, tetapi itu boleh diterima akal. Itu tidak ada masalah.

PAS setuju bincang dengan DAP dan masalahnya persepsi media?

Orang Melayu tidak ada masalah dah sejak tahun 1999 lagi. Tetapi kita faham masalah DAP ini, orang Cina takut kepada negara Islam. Sebab itu kita kata, persefahaman, perundingan itu banyak berlaku dan orang tengahnya adalah PKR.

Persefahaman parti-parti dalam Pakatan dikatakan sebagai “tersimpul mati”?

(Ketawa) Tidak sampai “tersimpul mati”. Itu bahasa saya. Itu hendak gambarkan perpaduan, sebab dalam politik ini, payah hendak baca. Buat masa sekarang, Pakatan itu makin baik.

Maksudnya PAS masih merisaukan hubungan dalam Pakatan di masa akan datang? Begitu? Tidak “tersimpul mati” itu maksudnya ada kerisauan lagi.

Ya, Kita kena terbukalah. Sikap parti politik ini memang begitu keadaannya.

Tetapi kerunsingan utama PAS atas dasar apa?

Politik ini adalah saingan kuasa. Dan PAS tidak dapat lari, kelangsungannya selama 57 tahun di atas dasar Islam. Sebab itu kita hendak mempertahankan dasar, dalam masa yang sama bekerjasama dengan orang lain. Bila ahli kita melihat PAS tidak lagi memperdulikan soal dasar dan sebagainya, itulah yang merunsingkan kita.

Jadi, jaminan hendak mempertahankan perlembagaan PAS, sebab apabila tandatangan saja borang PAS, kalau dia seorang cikgu, mungkin dia kena tukar. Kalau dia pegawai, mungkin tidak naik pangkat. Dan dia memilih PAS kerana dia menjunjung dasar yang kita janjikan.

Sebab dalam Pakatan, kita hendak berkawan dan bagaimana dengan mempertahankan dasar kita itu. Ini yang menjadi, bukan kerunsingan, tetapi antara cabaran yang kita kena (hadapi)...

Oleh kerana hubungan persefahaman yang kuat setakat ini, kenapa ada suara-suara dalam PAS ingin berunding dengan Umno?

Begini, berunding bukan hendak berkuasa bersama. Sebab ada di kalangan pemimpin dan ahli-ali PAS melihat orang-orang Islam berpolitik, bergaduh dalam semua perkara.

Kita lihat misalnya kalau di kalangan parti-parti politik bukan Melayu ini, ini fikiran orang yang hendak berbincang dengan Umno, kita lihat dalam isu pelajaran, DAP dan MCA berlainan parti tetapi bercakap mempertahankan hak bangsa, kaum mereka senada. Ada juga di kalangan intelektual Melayu senada, kenapa orang Islam tidak boleh buat begitu?

Dalam Pakatan, apa masalah lain yang dihadapi untuk ke depan?

Bagi kami, itulah, dalam hendak mempertahankan dasar Islam dan DAP yang secara terang menyebut mereka menolak negara Islam dan sebagainya, bagaimana dua kumpulan ini hendak bnekerjasama. Ini merupakan cabaran yang besar kepada kami. Tetapi kami tidak melihat itu sebagai satu masalah yang tidak boleh selesai.

Yang paling penting sekali ialah bersedia duduk semeja berunding. Itu yang paling penting.

Macam mana hendak selesai? Baru-baru ini, dalam kongres DAP, beberapa perwakilan mendakwa PAS tidak menghargai undi bukan Melayu kerana hendak melaksanakam undang-undang Islam, sedangkan DAP tetap dari dulu hingga sekarang menolak sebarang usaha menjadikan Malaysia sebagai negara teokratik. Bagaimana kita hendak mempertemukan kedua-dua pandangan itu?

Ini satu cabaran kepada kita. (Penyelesaian objektif) A, B, C, D tidak boleh. Ini soalan kemanusiaan, soal persepsi. Bagi kita, pencapaian setakat ini pun orang PAS mengundi calon DAP, orang Cina mengundi calon PAS. Itu sudah besar. Jadi yang lain-lain, prosesnya mesti melalui pertemuan dan perundingan. Akan ada pantang laranglah.

Setakat mana PAS boleh bertolak ansur tentang dasar, undang-undang Islam?

Sekurang-kurangnya paling minimum ialah perlembagaaan, Islam agama rasmi, kuasa Islam di peringkat negeri dan sebagainya. Dan saya rasa DAP pun tidak ada masalah. Di sini ada pertemuan. Dan kita pun sebut, kalau di peringkat persamaan undang-undang syariat, dia akan kena pada orang Islam.

Iyalah, tetapi itu pun tidak dapat diterima oleh DAP untuk penguatkuasaan undang-undang Islam itu?

Tidak mengapa. Dari masa ke semasa kita bincang teruslah, kalau kita hendak menjadi parti pemerintah. Tidak menjadi masalah kepada kita untuk terus berbincang. Macam sekarang ini, kita boleh berjalan di Perak, di Selangor.

Jadi, adakah Tuan Haji melihat sebuah jalan yang sukar oleh PAS dalam Pakatan untuk tempoh akan datang?

Sukar tetapi boleh dilalui. Sukar sebab kita mentadbir manusia. (Ketawa) Umno sama Umno pun kita tengok lagi teruk. Tidak ada benda yang tidak boleh kita cabar, benda-benda seperti ini.
Sekarang ini PAS disebut-sebut mempunyai dua aliran, pertama moderat, kedua konservatif. Apa komen Tuan Haji?

Itu biasa dalam mana-mana parti politik dan aliran pemikiran. Jadi, parti politik yang mencecah sejuta, aliran-alirannya itu adalah perkara biasa. Tetapi sudah tentu keputusan parti, keputusan muktamar itu yang didokong bersama. Aliran pemikiran tidak ada masalah.

Maksudnya wujud?

Dalam mana-mana parti politik biasalah. Macam Umno dulu, kononnya ada aliran kiri, ada aliran kanan. Tetapi mereka itu Umno-lah. Ini pun semacamlah, ada dikatakan aliran keras, ada aliran sederhana. Tetapi semuanya mendokong dasar Islam. Bagi saya berlainan pendekatan itu lumrah.

Sebenarnya, berapa aliran dalam PAS setakat ini?

(Ketawa) Satu aliran saja, aliran Islam.

Apa perbezaan antara kedua-dua aliran tadi (konservatif dan moderat)?

Kalau di sebelah Pantai Barat, tentulah kecenderungan hendak mendekatkan ideologi Islam kepada non-muslim menjadi agenda utama. Kalau di sebelah Pantai Timur, bagaimana hendak mendekatkan Islam kepada orang yang sudah Islam menjadi agenda utama.

Jadi, kalau kita lihat, secara individunya, orang-orang itu, tidak ada perbezaan sama ada satu kumpulan menerima pandangan komunis (contohnya) atau satu kumpulan pandangan Islam. Tidak ada sampai ke peringkat itu.

(Ketawa) macam kita kata, gaya belah rambut sahaja. Sama ada hendak belah tengah atau belah tepi. Sampai peringkat pertarungan ideologi dalam parti, itu tidak ada.

Tuan Haji dengar, baru-baru ini ada satu kumpulan dalam PAS dikenali sebagai Kumpulan Erdogan disebut dalam sebuah blog. Katanya Kumpulan Erdogan ini diketuai Datu Husam Musa. Beberapa pemimpin PAS diletakkan dalam kategori ini?

Saya berpendapat, begitulah, kalau ada, pandangan-pandangan peribadi, tetapi semuanya bekerja dalam konsep tidak lari daripada dasar Islam tadi.

Tetapi kumpulan ini wujud atau tidak dari segi kesefahaman, ideologi dan pendekatan yang serupa?

Tidak ada, tidak ada. Saya tidak nampak ada.

No comments: