Tuesday, September 2, 2008

MEMAHAMI KONSEP QAZAF

MEMAHAMI KONSEP QAZAF

Memandangkan sampai sekarang ni isu mubahalah belum selesai...saya ingin mengambil kesempatan untuk titipkan sedikit ilmu mengenai Qazaf untuk pengetahuan umum sahabat2 sekelian...moga mendapat barakah

DEFINASI QAZF

Qazf dari segi bahasa bererti melontar sesuatu sama ada dengan batu atau seumpamanya. Manakala dari segi istilah syarak ialah melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya. Adapun melemparkan tuduhan-tuduhan yang lain daripada zina dan menafikan keturunan seperti melemparkan tuduhan kufur, mencuri, minum arak dan sebagainya, termasuk mencerca, memaki hanum yang bertujuan untuk menghina maka pesalah-pesalah yang tersebut tidak dikenakan hukuman had tetapi dikenakan hukuman takzir. Dengan demikian boleh dikatakan bahawa dalam syaraiat Islam ada dua jenis qazf : Qazf yang pesalahnya dikenakan hukuman had dan qazf yang pesalahnya hanya dikenakan hukuman takzir.
Punca utama bagi kesalahan-kesalahan yang dilakukan menerusi lidah seperti membuat tuduhan palsu, mencerca, memaki dan sebagainya, kerana Islam melarang berbuat bohong dan putar belit dan sebaliknya menggalakkan bercakap benar dalam apa jua keadaan. Sebab itulah bagi orang yang bercakap benar tidak boleh dikenakan hukuman dan tidak boleh dikenakan hukuman ke atas orang yang memanggil “Hai pezina” kalau orang itu memang benar-benar berzina atau menggelarkan seorang itu pencuri kalau memang sabit dia itu pencuri atau mengatakan seorang itu kafir jika memang sabit dia itu kafir.

Sumber-Sumber Hukum Mengenai Qazf

Melemparkan tuduhan zina yang tidak berasas adalah diharamkan oleh syarak berasaskan pada nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.
Di antaranya :
1. Firman Allah Ta’ala :

Maksudnya : Dan mereka yang melemparkan tuduhan palsu (berzina) ke atas perempuan-perempuan yang suci bersih kemudian tidak membawa empat orang saksi maka deralah mereka (yang menuduh) dengan 80 kali dera dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya dan merekalah orang-orang fasiq.

2. Firman Allah Ta’ala :

Maksudnya : Sesungghunya orang-orang yang menuduh (berzina) kepada wanita-wanita yang baik dan yang lupa (melakukan perbuatan keji) lagi beriman, mereka kena laknat di dunia dan akhirat dan bagi mereka azab yang pedih.

3. Sabda Rasulullah s.a.w. :

Maksudnya : Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan, mereka bertanya ya Rasulullah apakah dia itu ? Rasulullah menjawab : “Menyengutui Allah, sihir, membunuh orang yang diharamkan Allah, memakan riba, memekan harta anak yatim, lari daripada peperangan di jalan Allah dan menuduh perempuan yang baik lagi beriman berbuat zina.

Berdasarkan nas-nas di atas jelaslah bahawa qazf adalah di antara dosa-dosa besar yang pesalah-pesalahnya berhak dikenakan hukuman yang berat di di dunia maupun di akhirat.

Rukun-rukun Kesalahan Qazf

Sebagaimana yang telah disebutkan di atas bahawa qazf ialah melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik-baik dan suci atau menafikan dia daripada keturunannya. Maka dengan pergertian itu bolelah dirumuskan bahawa rukun-rukun bagi kesalahan qazf sehingga persalahnya dikenakan hukuman had itu ada tiga :

1. Menuduh zina atau menafikan keturunan.
2. Syarat-syarat yang membuat tuduhan dan yang dilemparkan tuduhan.
3. Adanya qasad (niat sengaja)

Rukun Pertama

Melemparkan tuduhan zina atau menafikan keturunan. Apabila seorang itu menuduh seorang lain berbuat zina sedangkan yang menuduh itu tidak dapat membuktikan tuduhannya maka orang yang meuduh itu boleh dikenakan hukuman had qazf. Melemparkan tuduhan zina itu terkadang-kadang menafikan nasab sekali dan terkadang-kadang tidak. Misalnya seorang itu dipanggil “wahai anak zina” dengan panggilan itu bererti dia telah dinafikan nasabnya dan ibunya telah dilemparkan tuduhan zina. Tetapi kalau seorang itu dipanggil “wahai orang yang berzina” bermakna orang itu hanya dilemparkan tuduhan zina.

Adapun jika tuduhan itu bukan tuduhan zina dan menafikan keturunan maka tidak dikenakan had seperti melemparkan tuduhan kepada seorang melakukan kekufuran, makan rasuah, pengkianat, minum arak dan sebagainya maka yang membuat tuduhan tak berasas itu boleh dikenakan hukuman takzir. Begitu juga kalau tuduhan berbuat zina dan menafikan nasab itu tidak mencukupi syarat-syarat had maka dikenakan hukuman takzir. Makakala melemparkan tuduhan tidak berasas dengan tuduhan liwat menurut jumhur ulamak adalah sama seperti melemparkan tuduhan zina kerana mereka menganggap liwat itu seperti zina dan yang melakukan liwat adalah berzina sama ada yang melakukan atau yang dilakukan liwat itu lelaki atau perempuan. Imam Abu Hanifah mempunyai pandangan yang berbeza iaitu orang yang melemparkan tuduhan yang tidak berasas dengan tuduhan liwat itu tidak dikenakan hukuman had bahkan dikenakan hukuman takzir kerana beliau menerima perbuatan liwat itu sebagai zina.

Jikalau seseorang itu menuduh dengan suatu yang tidak maksiat umpamanya seorang itu dikatakan sebagai gila, mandul, pekak, mati pucuk dan sebagainya maka yang menuduh itu boleh dihukum dengan takzir walaupun tuduhan yang dilemparkan itu memang betul dan tepat. Ini ialah kerana tuduhan-tuduhan itu dilemparkan semata-mata untuk menyakitkan hati dan menjatuhkan maruah tak tentu fasal.

Cara-cara Melemparkan Tuduhan (Qazf)

Cara melemparkan tuduhan ini ada kalanya dengan perkataan yang terang, adakalanya dengan kiasan dan adakakalanya dengan sindiran. Yang dikatakan sarih ialah tuduhan yang menggunakan perkataan yang jelas yang tidak mengundungi makna selain daripada zina dan penafian nasab. Manakala tuduhan yang menggunakan perkataan yang tidak terang yang boleh membawa erti zina atau selainnya maka dinamakan kinayah atau ta’ridh. Jika seorang berkata “wahai pezina” atau “hai kamu yang berzina” atau “bapa kamu berzina” atau “ibumu berzina,” semuanya itu adalah dari jenis qazf sarih. Manakala tuduhan dengan perkataan seperti “wahai pelacur” “wahai orang yang melakukan perbuatan keji dan terkutuk.” “wahai orang yang keji” dan sebaginya adalah dari jenis kinayah makakala jenis ta’ridh adalah seperti menggunakan perkataan “aku tidak berzina dan ibuku pun tidak,” atau “isterimu sudahku rosakkan,” “aku rosakkan rumahtangga” dan sebagainya.

Semua ulamak bersepakat mengatakan bahawa orang yang melakukan kesalahan qazf dengan perkataan yang sarih wajib dikenakan hukuman had. Manakala qazf dengan kinayah atau ta’ridh maka ulamak tidak sependapat dalam masalah ini. Mengikut Mazhab Hanafi dan satu riwayat daripada Mazhab Hanbali bahawa hukuman had tidak diwajibkan ke atas pesalah-pesalah wazf jenis ta’ridh dan kinayah bahkan yang diwajibkan ialah hukuman ta’zir. Menurut Mazhab Syafie pula sekiranya tuduhan zina dengan cara kinayah atau ta’ridh itu disertakan dengan niat daripada orang yang melemparkan tuduhan maka hukuman sama seperti qazf sarih iaitu wajib dikenakan hukuman had tetapi kalau tidak ada niat yang tuduhan itu ialah qazf maka tidak wajib dihukum dengan had bahkan dikenakan hukuman ta’zir sahaja.

Imam Malik pula berpendapat tudhan qazf dengan kinayah atau ta’ridh boleh dikenakan hukuman had sekiranya tuduhan dengan kinayah atau ta’ridh dapat difahami bahawa maksudnya ialah qazf atau ada bukti yang mengaitkan bahawa orang yang menuduh dengan perkataan yang tidak jelas itu memang bermaksud qazf.

Rukun Kedua

Orang yang melemparkan tuduhan dan orang yang dilemparkan tuduhan zina ke atasnya : Ada beberapa syarat yang tertentu yang mesti dipatuhi sebelum hukuman had qazf itu dilaksanakan kepada pesalah-pesalahnya.Syarat-syarat itu ada yang mengenai orang yang menuduh dan setengahnya berhubung dengan orang yang dilemparkan tuduhan .

Syarat-syarat orang yang melemparkan tuduhan tak berasas :

1,2,3 - Baligh berakal dan dengan kerelaan sendiri. Ini bererti sekiranya orang yang membuat tuduhan itu kanak-kanak yang belum baligh atau orang yang gila atau pun dipaksa maka tidak wajib had ke atas mereka berdasarkan Hadith :

Maksudnya : Diangkatkan qalam daripada tiga golongan manusia.

Dan juga kerana perbuatan yang dilakukan mereka itu tidak dikira sebagai melakukan kesalahan yang sebenar, akan tetapi kalau kanak-kanak itu sudah mumaiyiz maka wajib dikenakan hukuman takzir untuk menegah kanak-kanak daripada biasa menyakiti orang lain.

4. Orang itu mestilah mengetahui tentang haramnya qazf. Kalau dia jahil maka tidak diwajibkan had ke atasnya. Alasan kejahilan boleh diterima dengan syarat-syarat yang telah diterangkan dahulu.

5. Orang itu bukan ibu bapa dan datuk hingga ke atas kepada orang yang dilemparkan tuduhan. Kalau seorang bapa menuduh anaknya berzina atau datuk menuduh cucunya berzina maka menurut kebanyakan mahzab tidak boleh dikenakan hukuman had kecualu mazhab Maliki yang mewajibkan ke atas orang yang membuat tuduhan itu walaupun bapa atau datuknya sendiri.

Orang yang membuat tuduhan itu tidak disyaratkan merdeka, jadi seorang hamba pun boleh dikenakan hukuman had, Cuma baginya ialah separuh daripada hukuman bagi seorang yang merdeka iaitu 40 kali dera, dan begitulah juga pesalah-pesalah qazf ini tidak disyaratkan seorang Islam, bahkan orang bukan Islam yang membuat tuduhan zina itu boleh dikenakan had mengikut jumhur ulamak.

Syarat-syarat bagi orang yang dilemparkan tuduhan :

Supaya hukuman had qazf bolrh dikenakan ke atas orang yang membuat tuduhan palsu zina maka orang yang dilemparkan tuduhan itu mestilah menpunyai syarat berikut :

1. Orang yang dilemparkan tuduhan itu deketahui walaupun ia sudah mati. Sebaliknya jika yang dilemparkan tuduhan palsu tidak diketahui orangnya maka orang yang membuat tuduhan palsu itu tidak wajib dikenakan had. Katakan seorang itu melemparkan tuduhan zina kepada sekumpulan orang secara umumdengan tidak disebutkan orangnya secara tepat maka yang membuat tuduhan seperti ada tidak boleh dikenakan hukuman had kerana tuduhan itu tidak ditujukan kepada seorang yang tertentu.

2. Seorang yang muhsin. Apa yang dimaksudkan dengan muhsin dalam masalah qazf ialah seorang yang baligh, berakal, merdeka, Islam dan suci dari perbuatan zina. Sumber yang meletakkan syarat ihsan ialah firman Allah :

Dan Firman-Nya :

Maksud ihsan dalam ayat yang pertama ialah suci dari zina atau merdeka mengikut satu pendapat lain. Manakala makna ihsan dalam ayat yang kedua ialah merdeka, suci daripada zina dan Islam. Jadi dengan berdasarkan kedua-dua nas di atas maka ulamak mengatakan bahawa Islam, merdeka dan bersih daripada perbuatan zina sebagai syarat-syarat ihsan.

Adapun syarat baligh dan berakal memang menjadi syarat bagi setiap orang yang melakukan kesalahan tetapi kepada orang yang dilemparkan tuduhan juga kebanyakkan ulamak mensyaratkan baligh dan berakal kerana perbuatan zina itu tidak dianggap sebagai zina yang mencukupi syarat sekiranya dilakukan oleh kanak-kanak atau orang gila, sebab itu kanak-kanak atau orang gila terlepas daripada hukuman had. Akan tetapi menurut satu riwayat daripada Imam Ahmad baligh tidak menjadi syarat ihsan asalkan orang yang dibuat tuduhan itu berakal dan bersih daripada zina dan asalkan tuduhan itu boleh dipercayai. Jadi mengikut pendapat ini kalau orang yang dilemparkan tuduhan ini bertubuh besar yang boleh disetubuhi walaupun belum baligh sudah memenuhi syarat di atas dengan menetapkan umur bagi kanak lelaki tidak kurang dari sepuluh tahun dan anak perempuan tidak kurang dari sembilan tahun. Imam Malik pun mensyaratkan baligh itu pada lelaki dan tidak mensyaratkannya kepada perempuan asalkan perempuan itu berupaya untuk disetubuhi.

Berhubung dengan merdeka, jumhur ulamak mensyaratkan orang yang dilemparkan tuduhan itu mesti merdeka, kalau yang dilemparkan tuduhan itu seorang hamba sahaya maka yang membuat tuduhan itu tidak dikenakan had ke atasnya. Berdasarkan sabda Rasulullah yang bermaksud :

Barang siapa yang membuat tuduhan kepada hambanya berbuat zina sedangkan dianya bersih daripada apa yang dikatankan maka hukuman had dijalankan kepada yang membuat tuduhan pada hari kiamat.

Ibn Hazm pula mengatakan orang yang melemparkan tuduhan yang tidak berasas kepada seorang hamba berbuat zina adalah wajib dikenakan had, berdasarkan pada umumnya firman Allah dan sabda Rasulullah s.a.w. yang tidak membezakan orang yang merdeka daripada hamba. Firman Allah :

Maksudnya : Wahai manusia sesungguhnya kami (Allah) jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan.

Sabda Rasulullah s.a.w. pula :

Maksudnya : Sesungguhnya darah kamu, harta benda kamu dan kehormatan kamu adalah diharamkan ke atas kamu.

Mengenai syarat, bersih daripada perbuatan zina. Semua ulamak bersepakat dalam perkara ini cuma mereka berselisihan pendapat tentang maksud, menurut Abu Hanifah yang dikatakan iffah itu ialah seorang yang dilemparkan tuduhan tak berasas, berbuat zina itu tidak pernah dalam hidupnya melakukan wati haram dengan perempuan yang bukan milik dan tidak melalui akad nikah yang sah dan tidak melaui akad nikah yang dijimakkan oleh ulamak sebagai nikah yang fasid. Jikalau seorang itu telah melakukan wati haram tetapi menerusi milik atau menerusi nikah yang sah atau nikah fasid yang dipertikaikan oleh setengah ulamak maka masih dianggap iffah.

Imam Malik pula berpendapat iffah ialah seorang yang tidak pernah melakukan wati yang diwajibkan had ke atasnya dan yang belum pernah disabitkan had zina ke atasnya sama ada sebelum atau sudah dilemparkan tuduhan kepadanya. Iffah mengikut Imam Syafie pula bermaksud orang yang dilemparkan tuduhan itu tidak pernah melakukan wati yang diwajibkan had zina ke atasnya. Jadi jikalau seorang itu telah melakukan persetubuhan haram dengan perempuan yang bukan milik tetapi wati haram itu tidak boleh mewajibkan had zina ke atas yang melakukan seperti melakukan wati sybahat maka menurut pendapat ini wati syubahat tidak mewajibkan had zina dan dengan ini bererti orang yang melakukan persetubuhan melalui wati syubahat masih dianggap “iffah”.

Manakala Imam Ahmad pula berpendapat bahawa orang yang tidak disabitkan kesalahan zina sama ada dengan keterangan saksi atau pengakuan dan yang tidak dikenakan hukuman had zina maka ianya masih dikatakan “iffah” walaupun dia sudah bertaubat daripada zina.

Jumhur ulamak mensyaratkan iffah, bersih daripada zina itu sama ada sebelum daripada dilemparkan tuduhan atau sesudahnya, tetapi Imam Ahmad tidak mensyaratkan melainkan pada ketika tuduhan itu dilemparkan dan tidak dikira sudah masa itu. Oleh itu kalau seorang yang menuduh seorang yang tidak melakukan zina tiba-tiba sebelum daripada dijatuhkan hukuman maka orang yang dibuat tuduhan itu melakukan zina maka orang yang membuat tuduhan itu terlepas daripada hukuman had qazf menurut kebanyakan ulamak tetapi menurut Iman Ahmad orang itu wajib dikenakan hukuman had qazf kerana pada masa tuduhan itu dilemparkan kepadanya ia masih dalam iffah.

Rukun yang ketiga

Sengaja atau qasad melakukan jenayah : Yang dimaksudkan dengan sengaja ialah umpamanya seorang yang membuat tuduhan tak berasas tentang zina atau menafikan nasabnya itu dalam keadaan dia mengetahui tuduhan yang dilemparkan itu adalah tidak betul dan yang dikatakan dia mengetahui tuduhan itu tidak betul ialah kerana dia tidak dapat membuktikan yang tuduhannya itu betul oleh sebab dakwaan seseorang yang mengatakan bahawa tuduhan zina yang dilemparkan itu benar, tidak boleh diterima terus, kerana sebelum seorang itu membuat tuduhan maka diwajibkan ke atasnya menyediakan bukti yang menyokong tuduhannya.
Selain daripada syarat-syarat di atas ada dua syarat bagi membolehkan hukuman had itu dijalankan kepada qazif.

1. Mestilah adanya tuntutan daripada orang yang dilemparkan tuduhan iaitu dengan cara orang yang dilemparkan tuduhan tak berasas itu mengadu kepada pihak berkenaan. Ini ialah kerana qazf adalah dianggap sebagai hak anak Adam yang bererti orang yang dilemparkan tuduhan sahaja yang berhak menuntut balasan kepada yang membuat tuduhan palsu kepadanya. Jika tidak ada permintaan daripada pihak yang teraniaya maka hukuman had tidak boleh dikenakan kepada yang membuat tuduhan palsu zina.

2. Orang yang membuat tuduhan itu tidak dapat membukti kebenaran dakwaanya.

Bukti-Bukti Yang Mensabitkan Kesalahan Qazf

Kesalahan qazf dapat disabitkan sama ada dengan kesaksian pengakuan dan sumpah.

1. Kesaksian (Syahadah) : Untuk membuktikan kesalahan qazf kepada qazif (orang yang membuat tuduhan palsu zina) ialah dengan disaksikan oleh saksi yang mempunyai syarat seperti dalam saksi-saksi zina iaitu saksi mestilah seorang Islam, baligh, berakal, adil, dapat bertutur, dapat mengingatkan dan tidak ada hubungan keluarga. Begitulah juga saksi-saksi mesti terdiri orang lelaki walaupun setengah ulamak mengatakan saksi itu terdiri dari seorang lelaki dan dua orang perempuan adalah memadai.

Bilangan saksi itu seramai dua orang lelaki adalah mencukupi untuk mensabitkan kesalahan qazf kepada qazif. Akan tetapi untuk menafikan tuduhan qazf maka orang yang didakwa membuat tuduhan palsu zina itu hendaklah mematuhi salah satu daripada berikut :

i. Menafikan dakwaan kesalahan qazf dengan membawa saksi-saksi seberapa banyak dengan tidak dihad kepada bilangan tertentu.

ii. Menegaskan bahawa orang yang dilemparkan tuduhan yang tidak berasas itu mengakui kebenaran tuduhannya, untuk membela dirinya ini memadai dengan membawa dua saksi lelaki atau seorang lelaki dan seorang peremuan.

iii. mengaku membuat kesalahan qazf dan dalam keadaan ini dia mesti membuktikan kebenaran tuduhan zina yang dilempaekan kepada seorang iaitu dengan membawa saksi seramai empat orang yang benar-benar menyaksikan orang yang dilemparkan tuduhan zina itu memang melakukan zina.

2. Pengakuan atau ikrar : Sabit kesalahan qazf dengan adanya pengakuan sendiri daripada orang yang membuat tuduhan tak berasas kepada seorang berbuat zina, dengan sekali pengakuan dalam majlis kehakiman sudah memadai. Jika pengakuan membuat tuduhan itu tidak di majlis qada’ maka menurut Abu Hanifah harus disaksikan pengakuan itu.

3. Dengan sumpah : Mengikut Imam Syafie kesalahan wazf boleh disabitkan melalui sumpah, jika pihak yang dilemparkan tuduhan itu tidak mempunyai bukti lain maka dia meminta tolong orang yang melemparkan tuduhan itu bersumpah bahawa dia tidak membuat tuduhan kalau dia tidak mahu bersumpah begitu maka sabitlah kesalahan qazf kepadanya. Begitu juga Imam Syafie berpendapat bahawa adainya orang yang melemparkan tuduhan itu tidak mempunyai keterangan yang mengesahkan tuduhannya maka dia boleh meminta kepada yang dilemparkan tuduhan bersumpah bahawa dia bersih daripada zina. Jika dia tidak mahu bersumpah maka tuduhan zina yang dibuatnya dianggap betul jadi yang membuat tuduhan itu terlepas daripada hukuman had.
Manakala Imam Malik dan Ahmad berpendapat kesalahan qazf tidak boleh disabitkan dengan bersumpah sama ada daripada orang yang membuat tuduhan atau orang yang dilemparkan tuduhan.


Hukuman Kepada Pesalah-Pesalah Qazf

Ada dua hukuman bagi kesalahan qazf :

1. Dera sebanyak lapan puluh kali jika pesalah-pesalahnya seorang yang merdeka dan empat puluh kali dera jika ia seorang hamba mengikut pendapat kebanyakan ulamak.

2. Tidak diterima kesaksiannya dan dianggap sebagai seorang yang fasiq. Bersumberkan kepada nas al-Quran

Maksudnya : Dan mereka membuat tuduhan (zina) kepada perempuan-perempuan yang suci daripada zina kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi-saksi maka deralah mereka sebanyak 80 kali dera dan jangan kamu terima kesaksian mereka selama-lamanya dan mereka ialah orang-orang yang fasiq.

Tidak diterima kesaksian : Semua ulamak bersepakat mengatakan bahawa orang yang telah sabit kesalahan qazf tidak boleh diterima kesaksiannya selagi tidak bertaubat kerana dia telah melakukan maksiat dengan tidak bertaubat daripadanya, dengan itu maka hilanglah sifat keadilan sedangkan sifat adil adalah syarat bagi saksi-saksi.
Apa yang dipertikaikan oleh ulamak ialah sama ada sesudah pesalah qazf itu bertaubat, boleh diterima semula kesaksiannya atau tidak.

Menurut Abu Hanifah, al-Awza’i dan al-Thauri kesaksiannya tidak boleh diterima walaupun dia sudah bertaubat. Manakala Imam Syafie, Malik dan Ahmad berpendapat bahawa kesaksian orang yang dihukum had qazf sesudah ia bertaubat boleh diterima.

Alasan mereka yang menolak kesaksian orang yang bersalah qazf ialah :

i. Allah Taala menyebutkan perkataan (maksudnya) “Tidak menerima kesaksian” adalah sebagai hukuman kepada orang-orang yang bersalah qazf. Kalaulah kesaksian itu diterima selepas bertaubat maka itu tidak dinamakan sebagai hukuman kerana orang yang membuat tuduhan palsu zina itu adalah dihukum sebagai orang yang fasiq sedangkan orang yang fasiq dengan apa jua sebab adalah tidak diterima kesaksian mereka maka sebab itulah memang munasabah mereka tidak diterima menjadi saksi walaupun mereka sudah bertaubat.

ii. Firman Allah :

Maksudnya : Dan janganlah kamu terima kesaksian mereka selama-lamanya. Disebutkan perkataan sebagai menguatkan lagi keadaan tidak diterima kesaksian mereka walaupun mereka telah bertaubat.

iii. Pengecualian yang tersebut dalam ayat,

Maksudnya : Melainkan mereka yang bertaubat, adalah daripada kalimah bukan daripada perkataan kerana ianya berhubung terus dengan

Imam Malik, Syafie dan Ahmad pula berpendapat orang yang telah dikenakan hukuman had qazf itu diterima kesaksiannya setalah dia bertaubat dengan taubat nasuha berdasarkan kepada alasan-alasan di bawah ini :

i. Bahawa taubat itu menghapuskan (dosa-dosa) yang (dilakukan) sebelumnya. Apabila seorang itu telah bertaubat dengan sungguh-sungguh maka Allah mengampunkan dosanya dan jika telah diampun maka kesan-kesan dari kesalahan-kesalahan yang dilakukan hilang. Jadi orang yang telah diampunkan berhak untuk diterima kesaksiannya.

ii. Kalimah selama-lamanya dihubungkan dengan keadaan fasiq. Maknanya, tidak diterima kesaksian itu kerana berkekalan dalam keadaan fasiq, jadi jikalau sudah tidak fasiq maka diterima semula kesaksiannya.

iii. Pengecualian yang tersebut dalam ayat adalah daripada keseluruhannya ayat itu bukan daripada perkataan sahaja. Punca perselisihan mereka dalam mentafsirkan ayat mereka yang mengatakan kesaksian orang yang bersalah qazf tidak diterima menjadikan pengecualian daripada hukum fisq bukan dikecualikan daripada tidak diterima kesaksian. Manakala mereka yang mengatakan kesaksian orang-orang yang bersalah qazf boleh diterima pula merujukkan kalimah kecuali, kepada “tidak diterima kesaksian”. Ertinya tidak diterima kesaksian mereka kecuali mereka yang telah bertaubat.

Wallahu a'alam...

No comments: