Thursday, December 6, 2012

SPRM buka kes PI Bala jika ada maklumat baru

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia membuka semula fail siasatan melibatkan penyiasat persendirian P Balasubramaniam sekiranya terdapat maklumat baru walaupun siasatan berkenaan selesai.
Timbalan ketua pesuruhjaya SPRM Mohd Shukri Abdull berkata demikian ketika mengulas pendedahan ahli perniagaan Deepak Jaikishan kepada Malaysiakini pada minggu lalu.

Dalam wawancara tersebut, Deepak mengakui peranannya dalam tindakan Balasubramaniam yang membuat akuan berkanun (SD) kedua.

Bagaimanapun, ahli perniagaan itu kesal kerana terlibat dalam kes berkenaan – yang menyebabkan penyiasat persendirian itu menukar keterangan dalam SD pertamanya yang mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Shukri memberitahu Malaysiakini bahawa siasatannya ke atas dakwaan Balasubramaniam telahpun selesai.

“Fail tersebut sudah dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk diputuskan. Berdasarkan fakta dan bukti, timbalan pendakwa raya memutuskan tiada siasatan lanjut akan dijalankan.

"Kes itu juga dikemukakan kepada panel penilai (SPRM) yang mempersetujui keputusan timbalan pendakwa raya," katanya dalam satu SMS.

Panel penilai suruhanjaya itu diketuai bekas ketua audit negara Tan Sri Hadenan Abdul Jalil manaka pejabat timbalan pendakwa raya dipimpin ketua pendakwaan SPRM Datuk Abdul Razak Musa, yang dipinjamkan dari Pejabat Peguam Negara.

SPRM pula diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, ditanya sama ada pendedahan Deepak dianggap sebagai maklumat baru yang relevan, Shukri tidak memberikan jawapan.

No comments: