Saturday, December 1, 2012

Pisah kuasa dari Umno seperti pisah kulit dengan daging


Perhimpunan Agung UMNO kali ini merupakan perhimpunan yang paling penting bagi UMNO kerana perhimpunan itu adalah perhimpunan terakhir sebelum pilihanraya ini. Perhimpunan kali ini menampakkan yang UMNO begitu tertekan dengan ucapan yang bergegar-gegar yang melambangkan perasaan kurang kepastian untuk mempertahankan kuasa yang ada kepada mereka itu.

Berbagai isu yang dilemparkan kepada pembangkang dengan kuat tetapi isu-isu itu jugalah isu yang pembangkang lemparkan kepada BN khususnya UMNO selama ini. UMNO nampaknya tidak tenang menghadapi cabaran demokrasi. UMNO membidas pembangkang seolah-olah penawaran pimpinan gantian di Putrajaya itu seperti melakukan jenayah, sedangkan negara ini memberikan peluang kepada mana-mana parti untuk menjadi kerajaan.Itu sebab diadakan pilihanraya setiap lima tahun sekali.

Seperti biasa UMNO menekankan yang UMNO adalah parti yang berpengalaman. Kerajaan tidak perlu ditukar kerana UMNO telah membangunkan negara ini dari sebuah negara miskin kepada sebuah negara yang berpendapatan sederhana dan bakal menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 nanti. Bagi UMNO apabila negara itu maju maka rakyat tidak payah menukar kerajaan lagi kerana kononnya rakyat akan menghadapi risiko yang tinggi jika kerajaan gantian itu tidak mampu melakukan apa yang BN telah lakukan.

Tetapi dalam pada itu Najib menjadikan Amerika Syarikat sebagai contoh tetapi hanya mengambil kemenangan Obama yang kekal menjadi Presiden buat penggal kedua itu sahaja. Najib patut mengambil iktibar dan rakyat mesti memahami yang politik ini adalah berdasarkan kepada keadaan sekarang dan masa depan rakyat dan negara. Rakyat AS telah menukar kerajaan puluhan kali walaupun negara itu adalah negara maju. Jika inilah alasan Najib untuk rakyat negara ini tidak boleh menukar kerajaan dan elok di batalkan sahaja pendaftaran parti-parti yang lain dari BN di negara ini.

Dalam pada itu kita telah nampak sikap ahli-ahli Parlimen BN pada hari ini kerana tidak hadir dalam persidangan hari ini kerana menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO. Mereka (ahli-ahli Parlimen BN) tidak bertanggungjawab kerana perhimpunan agung UMNO itu sepatutnya dihadiri oleh mereka yang menjadi perwakilan sahaja sedangkan ramai dari MP-MP BN itu bukan pun ahli-ahli UMNO atau perwakilan ke perhimpunan itu.

Berbalik kepada Perhimpunan Agung UMNO yang kita jelas terlihat ialah perasaan gusar dan takut jika rakyat mengalihkan sokongan mereka kepada pembangkang. Apa yang Najib gagal memahami ialah orang Melayu sekarang mahukan perpaduan Melayu dan kali ini berpadu di luar UMNO. Tetapi apa yang Najib mahukan orang Melayu ini tunduk dan menjadi bangsa yang ‘subservient’ kepada parti. Sepatutnya parti-parti politiklah yang patut ‘subservient’ kepada rakyat dan ahli-ahlinya.

Najib masih memaparkan politik memenjara pemikiran orang Melayu seolah-olah orang Melayu tidak boleh memandang parti lain dan apa yang orang Melayu patut lakukan ialah untuk sentiasa mengangguk dan mengikut sahaja apa yang UMNO mahukan walaupun rasuah yang terlampau yang pimpinan UMNO itu sudah tidak terkawal lagi. Negara kita adalah sebuah negara yang terlalu deras menuju kehancuran kerana rasuah yang sudah tidak terkawal kerana hampir kesemua pimpinan, terutamanya dalam kerajaan itu terlibat dalam kegiatan hina itu.

Pengakhir kata Najib dalam ucapan beliau tadi, beliau telah memohon maaf di atas segala kesalahan yang UMNO dan pimpinannya telah lakukan. Tidak pula beliau mengulas apa kesalahan-kesalahan yang UMNO dan beliau lakukan. Beliau meminta rakyat memaafkan  UMNO dan kepimpinan parti di atas segala kesalahan.

Najib tidak pula meminta maaf di atas semua salah laku rasuah yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan. Jika rasuah adalah salah satu dari kesalahannya dan meminta rakyat memaafkannya ia sepatutnya pimpinan UMNO melakukan tindakan yang berani dan berjanji memulangkan kembali wang rakyat yang telah dibawa lari dari perbendahaaraan negara secara sistematik selama ini. Sementara memulangkan kembali harta rakyat yang dilarikan itu UMNO sepatutnya berehat dan melakukan ‘soul searching’ yang intensif terhadap diri mereka.

Kalaulah ini dilakukan ia boleh menyejukkan hati rakyat yang sayangkan negara. Misalnya jika keluarga Dr Mahathir boleh memulangkan kembali wang rakyat yang hampir RM2 billion yang digunakan oleh anaknya untuk menyelesaikan masalah perniagaannya dahulu ada juga lah nampak keinginan untuk bertaubat dan meminta maaf kepada rakyat. Semasa Lemahn Bros di AS menggunakan wang kerajaan semasa kejatuhan ekonomi dunia dahulu, sekarang syarikat gergasi itu sedang beransur-ansur memulangkan kembali semua wang rakyat yang di gunakan untuk ‘bailout’ syarikat itu dahulu. Sudah sampai masanya Mirzan Mahathir mengembalikan kembali wang rakyat yang digunakan itu seperti apa yang dilakukan oleh Lemahn Bros itu.

Apa lagi kesalahan yang dimaksudkan oleh Najib yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO itu. Adakah isu komisyen Scorpene yang melibatkan ratusan juta itu salah satu dari kesalahan yang Najib memohon maaf? Bolehlah rakyat maafkan, tetapi pulangkanlah balik wang  sejumlah itu kepada rakyat.

Bolehkah Najib menggunakan pengaruh beliau untuk membayar royalti minyak kepada Kelantan untuk melayakkan beliau mendapat kemaafan? Ada lebih dari RM7 billion wang royalti  yang sepatutnya di bayar kepada rakyat Kelantan. Itu merupakan kesalahan yang sangat besar terhadap rakyat negeri Kelantan yang mana 98% rakyat terdiri dari orang Melayu.

Inilah di antara ratusan isu yang sengaja dilakukan oleh pimpinan kita dan jika mereka mahukan kemaafan adalah elok UMNO duduk di kerusi pembangkang dan memperbaiki diri dan kembali mendapatkan mandat dalam pilihanraya yang akan datang jika rakyat bersetuju.

Kalaulah BN mendapat kemaafan dengan segala kejahatan rasuah yang mereka lakukan, maka BN akan terus melakukannya setelah mendapat kuasa nanti.  UMNO akan kembali meminta maaf dalam pilihan raya yang selepas PRU ini dan rakyat memberikan kemaafan lagi. Jika ini keadaannya maka BN akan lebih bebas melakukan kerja hina yang sudah menjadi kerja  biasa dan ‘normal’ bagi parti yang sudah lusuh ini.

Belum kita lihat sikap UMNO yang percaya kuasa hanya untuk mereka sedangkan itu adalah kuasa rakyat yang akan memberikan ketentuan siapa yang patut mentadbir kali ini. Tetapi pimpinan UMNO ini tidak mahu menerima yang partinya sudah lemah. Usaha UMNO untuk bertahan sudah terlalu kotor perlakuannya. Untuk memisahkan kuasa dari mereka (UMNO) tidak ubah seperti memisahkan daging dengan kulit.

Apabila mereka (UMNO) terfikir sahaja tentang kehilangan kuasa mereka menjadi separuh gila, sedangkan peralihan dan giliran kuasa itu adalah perkara lazim dalam demokrasi. Sesungguhnya UMNOlah yang gila kuasa sehinggakan mereka dan pimpinannya berkata mereka akan bertahan walau dengan cara apa sekali pun. Padahal kita bukan hendak memisahkan nyawa dari tubuh mereka. Kita hanya hendak melaksanakan demokrasi mengikut sistemnya yang ada dengan cara terbuka.

Kepada Najib beliau tidak payah bercakap seperti halilintar memecah bumi kerana berucap secara itu sudah ketinggalan zaman. Zaman sekarang rakyat mahu melihat ‘content’ bukannya gaya berucap. Ia akan hanya menampakkan kelemahannya lebih jelas dari yang sudah jelas kita lihat selama ini.

Kata perpatah, ‘patah tumbuh hilang berganti’ Rakyat bukan saja-saja hendak mematahkan, tetapi rakyat mahu mematah atau mencantas pokok itu untuk ia bercambah dan rimbun daunnya serta lebat buahnya.

Kalau hendak sangat berucap bergegar-gegar itu, eloklah berbahas secara terbuka dengan Ketua Pembangkang. Ini tidak…bercakap bergegar-gegar seorang diri. Kalau bercakap bergegar-gegar tetapi tidak memberi mana-mana pihak menjawabnya orang itu adalah pemimpin yang lemah dan tidak berketerampilan sebagai pemimpin sebenar.

No comments: