RESOLUSI KONGRES PENGUBATAN ISLAM NUSANTARA 2012. 
 
 Kongres Pengubatan Islam Nusantara 2012 yang bertemakan Ke Arah 
Memartabatkan dan Melestarikan Pengubatan Islam Sepanjang Hayat di Dewan
 Kuliah Utama Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 1 dan 2 
Disember 2012 anjuran bersama Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam 
Malaysia Darussyifa’, Gabungan Persatuan Pengamal Pengubatan Islam 
Malaysia (GAPPIMA) dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya 
berdasarkan kertas kerja-kertas kerja yang dibentangkan telah bersetuju 
untuk mengeluarkan resolusi-resolusi berikut:-
 1. Ruqyah Syar’iyyah 
daripada Al-Quran dan As-Sunnah memiliki kehebatan tersendiri yang tiada
 tandingan dari segi keberkesanannya dengan syarat perawat memiliki 
keimanan dan keyakinan yang tinggi kepada Allah serta memiliki keilmuan 
dengan ilmu rawatan Islam dengan sumber ambilan yang sah dan tahu 
membezakan antara yang hak dan yang batil.
 
 2. Setiap pengamal 
pengubatan Islam hendaklah memiliki akidah yang betul, keikhlasan yang 
jitu, berakhlak mulia, memahami keadaan pesakit, beretika apabila 
merawat pesakit berlainan gender, pengurusan masa yang berkualiti, 
pemeriksaan dengan cara berhemah dan memiliki sifat mahmudah seperti 
kesabaran, keyakinan doa dimakbulkan, tawadu’ dan kasihan belas kepada 
pesakit.
 
 3. Setiap pengamal pengubatan Islam hendaklah 
beriktikad bahawa kesembuhan datang daripada Allah dan bukannya daripada
 kemampuan pengamal. Tugas pengamal hanyalah berdoa dan memotivasi 
pesakit sebagai satu kaedah usaha dan ikhtiar.
 
 4. Pengamal 
pengubatan Islam hendaklah memastikan bahawa amalan pengubatan Islam 
yang dipraktikkannya bebas daripada unsur-unsur batil yang biasa 
diamalkan dalam perbomohan yang terpesong daripada Syariat Islam seperti
 penggunaan ‘khidmat syaitan’, tangkal azimat, jampi serapah yang tidak 
Syar’ie, dakwaan mengetahui perkara ghaib, menilik, meramal penyakit, 
penggunaan bahan yang jelas haram  seperti darah, hempedu, daging 
binatang yang diharamkan dan rajah-rajah pelindung sihir.
 
 5. 
Penggunaan ubat-ubatan hospital dan pembedahan adalah termasuk dalam 
pengubatan Islam berdasarkan isyarat hadith Nabi SAW yang menggesa 
berubat dengan menggunakan madu dan berbekam.
 
 6. Pihak berkuasa
 perlu segera menyekat amalan-amalan dalam pengubatan Islam yang 
didapati bercanggah dengan Syariat dengan mengadakan peruntukan 
undang-undang yang jelas dan hukuman yang setimpal bagi kesalahan 
tersebut.
 7. Pihak media perlu memaparkan pengetahuan tentang 
pengubatan Islam yang sebenar bagi memperbetulkan tanggapan salah selama
 ini terhadap rawatan Islam sehingga menganggap sesiapa sahaja yang 
menggunakan ayat-ayat Al-Quran adalah perawat Islam tanpa menyedari ilmu
 sihir juga ada yang menggunakan ayat-ayat Al-Quran dengan kaedah yang 
salah.
 
 8. Pengamal pengubatan Islam hendaklah menunjukkan 
contoh terbaik dalam amalan mereka dengan mementingkan keikhlasan dalam 
membantu pesakit, mengutamakan keredhaan Allah dan mencari pahala 
daripada Allah tanpa meletakkan imbuhan duniawi sebagai matlamat utama 
dalam pengubatan.
 
 9. Pembedahan batin yang dilakukan tanpa 
menggunakan peralatan bedah yang sewajarnya dan tidak dilakukan dalam 
bilik bedah walaupun kelihatan darah mengalir keluar daripada tubuh 
pesakit yang dibedah dan kadang-kadang ada objek-objek yang tertentu 
dikeluarkan daripada tubuh pesakit kesemuanya itu adalah merupakan satu 
kaedah sihir khayalan yang menggunakan khidmat jin dan syaitan. Pada 
hakikatnya pembedahan batin yang kelihatan berlaku secara misteri itu 
tidak berlaku sama sekali. Hanya pandangan orang yang menyaksikannya 
sahaja yang terkhayal seolah-olah pembedahan itu wujud dan berlaku.
 
 10. Perawat yang mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti mengetahui 
dalam badan pesakit ada sejumlah jin dan kemudian menilik ayat-ayat 
Al-Quran yang kononnya adalah ubat yang sesuai untuk pesakit berdasarkan
 pencarian secara tilikan maka termasuk dalam kaedah menggunakan khadam 
ghaib iaitu jin dan syaitan.
 
 11. Kaedah mengalinkan bahan 
tertentu di atas tubuh pesakit seperti mengalinkan telur di tempat yang 
sakit kemudian apabila telur itu dipecahkan didapati berbagai objek di 
dalam telur itu seperti jarum dan rambut atau isi telur itu berubah 
warna kepada kehitaman atau kemerahan maka ia termasuk kaedah sihir dan 
pengamalnya dipanggil sebagai Kahin (merawat dengan menggunakan khidmat 
jin dan syaitan).
 
 12.  Perkara luarbiasa yang menakjubkan dalam
 rawatan yang berlaku secara berulang-ulang dan boleh diprogramkan 
daripada awal oleh perawat malah dia pula berbangga kerana perkara 
luarbiasa itu dianggap sebagai keistimewaan kepadanya maka ia bukannya 
Karamah atau Maunah tetapi adalah Istidraj atau Sihir. Karamah seseorang
 perawat dalam bidang pengubatan adalah kurniaan daripada Allah dan 
ianya berlaku secara mendadak serta tidak boleh diprogramkan (tidak tahu
 bila akan berlaku dan bagaimana akan berlaku).
 13. Kaedah merawat 
pesakit mangsa sihir dengan menggunakan amalan sihir atau dipanggil 
dengan istilah An-Nushrah adalah haram hukumnya disisi Jumhur Ulama’. 
Justeru rawatan terhadap pesakit dengan menggunakan kaedah yang salah 
hendaklah dihentikan serta-merta. Pengamal pengubatan Islam hendaklah 
berlapang dada dan menerima pandangan yang betul demi memurnikan 
pengubatan Islam.
 
 14. Ilmu kebal, ilmu boleh makan kaca, ilmu 
boleh menghilang ghaib, ilmu boleh terbang, ilmu boleh melihat walaupun 
mata tertutup, ilmu boleh menilik masa depan seseorang, ilmu boleh 
menuntut hutang dengan cara yang halus dan ilmu boleh berubah menjadi 
makhluk yang lain adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam.
 
 15. Pengamal pengubatan Islam hendaklah memperkasakan ilmu ini dengan 
merujuk kepada kitab-kitab pengubatan Islam yang muktabar yang dikarang 
oleh ulama-ulama yang muktabar, menterjemah kitab-kitab tersebut kepada 
bahasa Melayu, melakukan penyelidikan dan pengembangan (R&D) 
terutamanya bersama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, menulis buku 
ilmiah tentang pengubatan Islam dan berdakwah kepada masyarakat melalui 
pengubatan Islam.
 
 16. Penagih dadah boleh dirawat melalui 
pengubatan Islam dengan menggunakan kaedah Takholli (menghilangkan 
keserabutan di fikiran penagih), kaedah Tahalli (pengisian dengan 
aktiviti menyihatkan seperti riadah, makanan dan minuman yang halal, 
solat fardhu dan sunat, pengajian ilmu fardhu ain, membaca Al-Quran, 
berzikir, beristighfar dan bersolawat serta qiyamullail) dan kaedah 
Tajalli (mengekalkan ketenangan fikiran dan rasa kebesaran Allah dalam 
jiwa bekas penagih).
    
 17. Islam tidak memisahkan herba 
daripada ilmu pengubatan Islam sekiranya herba tersebut terbukti 
memiliki khasiat yang boleh memberi manfaat kepada manusia samada 
melalui pembuktian saintifik atau pengalaman turun-temurun sebelum ini 
dengan syarat ianya halal dan selamat digunakan serta beriktikad bahawa 
Allah yang menyembuhkannya.
 
 18. Mengharmonikan pengubatan 
tradisional Melayu dan pengubatan Islam supaya ia menjadi warisan budaya
 bangsa yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.
 
 19. Kerajaan
 Malaysia melalui Kementerian Kesihatan hendaklah membuka ruang 
seluas-luasnya kepada Pengubatan Islam untuk mengadakan program Rawatan 
Islam di universiti dan kolej dan menyediakan pengubatan Islam di semua 
hospital kerajaan dan swasta kepada pesakit beragama Islam.
 20. Perlunya ada sebuah badan yang mengawal disiplin dan etika perawat untuk meningkatkan mutu pengubatan Islam.
 
 21. Seluruh persatuan pengubatan Islam di Malaysia hendaklah bernaung 
di bawah GAPPIMA untuk memartabatkan dan melestarikan pengubatan Islam 
sepanjang hayat.
 
 22. Penghargaan kepada Kerajaan Malaysia 
khususnya Kementerian Kesihatan yang telah mengiktiraf pengubatan Islam 
dengan wujudnya Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari yang telah 
memasukkan rawatan Islam sebahagian daripadanya pada tahun 2012.
 
 Disediakan Oleh:
 
 Mohd Fauzi Mustaffa
 Presiden GAPPIMA.
 2 Disember 2012
 
 
 
          
      
 
  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment