Yang tak layak, tak payahlah undi - TGNA
Hanya Yang Layak Boleh Tawar Diri Bertanding - Nik Aziz
MACHANG, 13 April — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan hanya mereka yang layak sahaja menawarkan diri untuk bertanding jawatan dalam pemilihan pada Muktamar PAS yang dijadualkan Jun ini.
Nik Aziz ketika mengingatkan perkara itu berkata beliau tidak mahu anggota parti itu yang tidak mampu menjadi pemimpin yang baik, membuang masa menonjolkan diri menarik sokongan.
“Kalau yang ada kemampuan, tak ada masalah untuk mereka tawar diri untuk bertanding. Kalau yang ada kemampuan menonjol tak apalah, (tapi) kalau yang tidak ada kemampuan tapi menonjolkan diri, tak payahlah undi dia,” katanya.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Loji Rawatan Air Merbau Chondong, sempena sambutan Hari Air Sedunia 2009 peringkat negeri di sini, hari ini.
Katanya, PAS turut memberi kebebasan kepada anggota akar umbi untuk memilih barisan pimpinan yang mereka mahukan dan menolak mana-mana pemimpin yang dirasakan tidak lagi diperlukan parti itu.
“Saya tak nak sebut apa-apa, nanti pengaruhi orang lain pula, biar saya senyap-senyap sudahlah. (Tetapi) kalau barang perlu diubah, ubahlah. Terserah kepada (anggota parti) dari peringkat cawangan untuk mengundi siapa,” katanya.
Muktamar PAS dijadual diadakan di Shah Alam, Selangor Jun ini.
No comments:
Post a Comment