Monday, April 20, 2009

Muktamar Pas 2009; suatu transformasi akan berlaku!

Ustaz Haji Idris Mohammad Al Haqqani

Bagi ahli-ahli Parti Islam Se Malaysia (PAS), tahun 2009 adalah merupakan tahun yang penting bagi kalendar ahli PAS kerana pada tahun ini perwakilan akan membuat pilihan mereka secara demokrasi yang sihat untuk memilih pemimpin baru bagi PAS.

Muktamar yang akan dilansungkan pada bulan Jun ini bertempat di Stadium Malawati Shah Alam Selangor akan menjadi medan untuk bermuhasabah secara jujur dan telus bagi mengkaji keupayaan PAS untuk terus kekal relevan dalam arus perdana politik Malaysia.

Slogan “PAS untuk semua” yang diketengahkan pada Pilihanraya Umum tahun lalu akan terus dipraktikkan bukan sahaja sebagai slogan pilihanraya bahkan dalam polisi kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah secara kolektif dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Di samping melakukan muhabah dan post mortem untuk mempertahankan survival parti sebagai parti politik dan dalam masa yang sama sebagai sebuah gerakan Islam yang diiktiraf di peringkat global, muktamar yang akan berlansung ini juga akan memilih pemimpin-pemimpin baru yang diyakini sebagai sebuah team yang akan berhadapan dengan pilihanraya umum yang dijangkakan akan diadakan dalam tempoh setahun Najib Razak menjadi PM.

Cakap-cakap di peringkat grassroot parti, majoriti ahli-ahli PAS nampaknya mahukan supaya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi sebagai Presiden parti yang baru bagi menggantikan Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk memimpin PAS dalam menjana arus perubahan politik nasional dalam PRU yang akan datang.

Manakala bagi jawatan Timbalan Presiden pula, ahli-ahli parti mahukan supaya Haji Mohammad Sabu yang lebih dikenali sebagai Bang Mat diberikan peluang untuk memegang amanah tersebut yang dalam masa yang sama menjadi seorang Timbalan Presiden yang berkesan kepada Presiden parti. Ianya ibarat Tok Guru Haji Hadi kepada Almarhum Ustaz Fadzil Noor suatu ketika dahulu.

Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden pula, ahli-ahli akan terus mengekalkan Haji Husam Musa di samping mengangkat muka baru termasuk Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dan Prof Dr Mahfuz Muhamad.

Haji Husam yang mempunyai rekod dan prestasi yang baik dalam parti dan kerajaan negeri Kelantan dilihat akan terus kekal manakala Haji Nizar pula bintangnya yang semakin cerah berikutan krisis perlembagaan dan politik di Perak dan Prof Dr Mahfuz Muhamad mewakili ulama profesional yang ketika ini memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya PAS Johor. Beliau adalah bekas Profesor Syariah Universiti Malaya.

Ustaz Haji Ahmad Awang yang ketika ini menjawat sebagai Naib Presiden difahamkan akan mengubah haluan untuk memimpin Dewan Ulama PAS Pusat dalam usaha untuk memperkasa Dewan Ulama mendepani pelbagai cabaran dan isu syariah ketika ini.

Manakala rata-rata ahli akar umbi pemuda PAS mahukan supaya Dr Mujahid Yusuf Rawa memimpin Dewan Pemuda PAS Pusat bagi berhadapan dengan Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang baru iaitu Saudara Khairy Jamaludin Abu Bakar. Dr Mujahid tidak asing lagi bagi Dewan Pemuda PAS kerana beliau pernah menjadi Exco Dewan tersebut selama beberapa penggal. Dengan latar belakang pendidikan beliau sehingga ke peringkat doktor falsafah, beliau diyakini mampu bersemuka dan berdebat dengan Sdr Khairy yang berkelulusan Oxford di samping meningkatkan lagi tahap sokongan pengundi muda kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Bagi Dewan Muslimat PAS Pusat yang setiap kali pemilihan tidak pernah sunyi daripada pertandingan itu difahamkan akan berlaku pertembungan bagi jawatan Ketua Muslimat pada kali ini di antara penjawat sekarang dengan Dr Siti Mariah Mahmud yang pernah bertanding sebagai Naib Presiden PAS pada pemilihan yang lepas.

Bagi jawatan AJK PAS Pusat pula, antara yang akan diketengahkan adalah gandingan muka lama dan baru antaranya ialah Sdr Salahudin Ayub, Ustaz Muhamad Daud Iraqi, Dr Hatta Ramli, Sdr Anuar Tahir, Ustaz Azizan Abdul Razak, Haji Mahfuz Omar, Ir Khalid Samad, Sdr Ann Wan Seng, Ustaz Ismail Kamus, Dr Dzulkifli Ahmad, Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Dr Lo’ Lo’ Ghazali, Ustaz Nik Amar Nik Abdullah, Sdr Kamarudin Jaafar, Ustaz Idris Ahmad, Sdr Anuar Tan, Dr Syed Azman Nawawi, Ustaz Taib Azzamudin dan beberapa orang lagi.

Adalah sesuatu yang perlu dipertegaskankan di sini bahawa tohmahan yang dilakukan oleh beberapa media massa dan penulis politik upahan pihak tertentu yang mendakwa bahawa pertembungan dalam PAS kali ini adalah di antara pro Pakatan Rakyat dengan Pro Muqabalah atau di antara Pro Liberal dengan Ustaz Ulama adalah mainan jahat mereka kerana seperti mana yang telah diperjelaskan oleh Mursyidul Am PAS Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa di dalam PAS tidak ada sama sekali Team A atau Team B.

Sesungguhnya di dalam PAS sekiranya terdapat sesuatu perbezaan pendapat atau percanggahan ijtihad ianya adalah suatu rahmat yang tidak sesekali akan membawa kepada perpecahan kepada PAS itu sendiri. Ianya adalah kerana ahli-ahli PAS telah dipadukan dengan wehdatul fikri demi memastikan tertegaknya di Malaysia sebuah negara yang disifatkan oleh al Quran sebagai baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur!

24 Rabiulakhir 1430 bersamaan dengan
20 April 2009
idris.haqqani@gmail.com

1 comment:

adam said...

salam.
kenapa penulis artikel membayangkan semua ahli PAS mahukan TGNA mengantikan TGHA? tidak semua ahli PAS bodoh utk memperbodohkan kedua2 tok guru tersebut. kedua2nya ada kehebatan dan kelebihan masing2, tak usahlah kita sebagai ahli bawahan cuba nk memecahbelahkan tok guru yg disayangi itu. hanya sesetengah pemimpin yg gila kuasa dlm PAS shj sanggup mempergunakan tok guru dlm menjalankan misi mereka.

seperti kata MSO, jika TGNA ingin memegang jawatan presiden, jgnkan bertanding TGHA bersedia dgn rela hati melepaskannya kpd TGNA. harap sebahagian (mungkin kurang drp itu) ahli/pemimpin yg gila kuasa itu sedar, jgn cuba hancurkan sesama jemaah.

ya Allah, jgn Kau kucar-kacirkan jemaah kami, hancurkan musuh dlm selimut dalam jemaah kami. amin.