Wednesday, April 8, 2009

PAKATAN Cipta Kemenangan Hatrik



Nabi Sulaiman a.s pernah berkata :

قال هذا من فضل ربي ليبلوني ءأشكر أم أكفر

Ini adalah kurniaan Tuhanku untuk menguji aku , apakah aku seorang yang bersyukur atau kufur ?

An Naml : 40

Inilah lafaz yang diucapkan oleh nabi Allah Sulaiman a.s apabila menceritakan mengenai kerajaan besar yang dikurniakan Allah swt kepadanya sehingga menjangkau seluruh dunia dan makhluk Allah swt yang lain .

Sebesar itu kerajaan dan kemenangan yang dicapai oleh nabi Allah Sulaiman a.s sedikitpun tidak meletakkan baginda leka dan alpa dengan segala nikmat dan kemudahan .

Inilah jua kalimah yang sepatutnya keluar dari semua pejuang Islam sebaik sahaja menerima berita kemenangan biarpun hanya kemenangan dalam pilihanraya . Tambahan pula kemenangan ini adalah kemenangan ketiga berturut - turut [ hatrik ] setelah menang di Permatang Pauh , Kuala Terengganu dan kini di Bukit Gantang dan Bukit Selambau .

Menang bukan tiket untuk kita angkuh dan sombong juga menang bukan alasan untuk kita bermaharajalela . Sebaliknya menang adalah amanah . menang adalah mandat yang membawa harapan rakyat agar mereka dipimpin dengan baik dan negeri ditadbir dengan penuh tanggungjawab .

Bersyukur kepada Allah terhadap kemenangan yang dicapai bermaksud sedia tunduk kepada Allah swt dengan melaksanakan apa jua perintahnya sesuai dengan kuasa yang dimiliki dan mandat yang diperolehi .

Kemenangan hatrik ini menjadi ujian besar buat PAKATAN Rakyat kerana kini mereka telah menjadi sandaran rakyat untuk membawa perubahan . Mereka pastinya tidak yakin lagi dengan UMNO dan BN biarpun ribuan kali mereka melaungkan kalimah transformasi . Malah UMNO dan BN telah meng'keramat'kan kalimah transformasi dan menjadikan kalimah ini sebagai trademark UMNO yang baru menghadapi cabaran dan saingan politik masa depan .

Nyata rakyat tidak mudah diperdaya lagi . Mereka kini sangat masak dengan gerak licik UMNO dan BN dan kini mereka tidak terperangkap lagi . Sebelum ini saya sendiri agak risau apabila berlaku peralihan kuasa dari Pak Lah kepada Datuk Seri Najib , mungkin rakyat kembali beralih kepada UMNO dan BN dengan alasan memberi peluang dan harapan kepada pemimpin baru .

Inilah yang berlaku setiap kali beralih kuasa dari pemimpin lama kepada pemimpin baru . Sebagai contoh , kebencian memuncak rakyat kepada UMNO di bawah kepimpinan Tun Mahathir kembali reda malah memberi kemenangan besar kepada UMNO apabila Pak Lah mengambil alih tampuk kekuasaan negara .

Kemudian rakyat muak kepada UMNO setelah 5 tahun Pak Lah mentadbir negara . Beliau dianggap pemimpin yang lemah dan membawa kejatuhan 5 buah kerajaan negeri ke tangan PAKATAN Rakyat . Akhirnya kuasa terpaksa beralih tangan dari Pak Lah kepada Datuk Seri Najib . Saya jangka UMNO akan kembali menjadi kuat sekurang - kurang untuk 5 tahun pertama pemerintahan Datuk Najib .

Ternyata berlaku suatu keajaiban , apabila tidak berlaku apa - apa perubahan kepada UMNO dan BN biarpun Datuk Najib telah berada di puncak kuasa malah Tun Mahathir juga telah kembali dan turun berkempen untuk memperkuatkan UMNO dan BN . UMNO dan BN tetap ditolak oleh rakyat .

Ertinya kini , UMNO dan BN lemah bukan kerana Pak Lah atau UMNO dan BN kalah teruk dalam pilihanraya umum pada tahun 2008 bukan kerana Pak Lah tetapi sememangnya UMNO dan BN itu sendiri lemah dan kalah .

kali ini , selagi UMNO dan BN tidak kembali kepada Islam dan melaksanakan amanah kuasa yang dimiliki secara jujur , telus dan penuh tanggungjawab , lantik dan pilihlah siapa jua untuk menjadi pemimpin mereka , parti mereka tetap akan ditolak oleh rakyat .

Saya nasihatkan kepada pengikut UMNO dan BN supaya beralih arah dan kembali ke pangkal jalan . Marilah bersama dengan PAS dengan penuh kesedaran untuk perjuangkan syariat dan keadilan yang telah diwahyukan oleh Allah swt sebelum terlambat . Saya ingatkan apa yang telah difirmankan oleh Allah swt :

اذ تبرأ الذين اتبعوا من الذين اتبعوا و رأوا العذاب و تقطعت بهم الاسباب و قال الذين اتبعوا لو أن لنا كرة فنتبرأ منهم كما تبرءوا منا كذالك يريهم الله أعمالهم حسرات عليهم و ما هم بخارجين من النار .

Ingat , ketika mana para pemimpin berlepas diri daripada pengikut mereka dan ketika mana mereka melihat azab dan terputus hubungan mereka dan berkatalah para pengikut , kalaulah kami diberi peluang [ untuk hidup kembali di dunia ] nescaya kami pula akan berlepas diri daripada mereka [ pemimpin ] sebagaimana hari ini mereka berlepas diri dari kami . Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amalan - amalan mereka sebagai satu penyesalan ke atas mereka dan tidaklah mereka boleh keluar lagi dari api neraka .

surah al baqarah : 166 - 167

No comments: