Thursday, April 23, 2009

Profesor Dr Aziz Bari sifatkan kemelut politik di Perak makin tegang!



KRISIS politik di Perak yang akan mencecah usia tiga bulan, dijangka bertambah runcing selepas Barisan Nasional kalah teruk buat kali keempat di tangan Pakatan Rakyat pada pilihan raya Bukit Gantang 7 April lalu. Kekalahan tersebut membayangkan penolakan rakyat ke atas BN, khususnya kesan tragedi "rampasan kuasa" pada awal Februari lalu.

Menurut Prof Dr Abdul Aziz Bari, keputusan Mahkamah Persekutuan - yang begitu kontroversial dan dianggap salah oleh banyak kalangan - membuatkan keadaan bertambah buruk.

"Saya menduga bahawa Pakatan Rakyat akan menggunakan segala ruang dan upaya yang mereka ada untuk melawan Barisan Nasional yang mereka anggap perampas dan disokong oleh pelbagai pihak yang sepatutnya berkecuali dan membantu demokrasi," ujarnya.

Beliau berkata kalau BN sendiri pun berada di dalam keadaan Pakatan Rakyat mereka akan melakukan taktik yang sama. Yang jelas, BN telah pun melakukan perkara-perkara tidak wajar dan sukar untuk menafikan bahawa mereka terlibat dalam pencolekan dan rasuah yang menyebabkan berlakunya lompat parti yang begitu misteri itu.

BN juga sukar untuk menafikan keterlibatan mereka dalam menangkap dan membawa dua bekas ADUN PKR ke mahkamah atas tuduhan rasuah.

"Hanya mereka yang berkepentingan, naif, pekak dan bisu sahaja yang sanggup menerima dan membantu BN membentuk kerajaan," kata Aziz.

Sebab itu, katanya lagi, dalam suasana yang misteri sedemikian jalan keluar terbaik ialah membubarkan dewan supaya rakyat dapat membuat keputusan.

"Perlantikan kerajaan yang mendapat sokongan sedemikian menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan normal. Apalagi apabila Speaker yang sah masih berada di kerusinya. Dari segi politik ini kesilapan BN yang cukup besar," tambahnya. Keputusan Mahkamah Persekutuan tidak memperbaiki keadaan.

Aziz berkata malah ia tambah memburukkan keadaan. "Sepatutnya mahkamah menggunakan Perkara 63 Perlembagaan Negeri untuk melaksanakan Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan. Malangnya mahkamah menggunakan Perkara 63 untuk mengganggu kuasa speaker. Ini satu kesilapan di sisi undang-undang," tegasnya.

Beliau menyifatkan Mahkamah Persekutuan seolah-olah tikus membaiki labu. Tindakan mahkamah itu, tegasnya "menyebabkan keadaan yang sudah sedia teruk dengan keputusan istana melantik Datuk Seri Dr Zambry Kadir dan menitahkan Datuk Seri Mohamad Nizar meletakkan jawatan menjadi lebih tenat."

Aziz berkata, perlembagaan - baik negeri maupun persekutuan - tidak menyatakan dengan jelas kuasa-kuasa speaker dan selama ini undang-undang dan amalan yang ada baik di Malaysia dan seluruh Komanwel ialah ia tertakluk kepada budi bicara speaker dan ini dipandu oleh 'Standing Orders' atau peraturan dewan. Ini mempunyai asas di dalam perlembagaan dan kuasa mentafsir 'Standing Orders' itu ialah kuasa mutlak speaker.

"Saya tidak tahu apakah asas Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan tindakan Speaker DUN tidak sah. Dari mana mahkamah mendapat kuasa berbuat demikian?" soal profesor undang-undang itu.

Aziz berkata apa yang jelas ialah perlembagaan tidak membenarkan mahkamah mencampuri urusan dan prosiding dewan. Katanya ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 72; khususnya 72(1) yang dengan jelas menyebut bahawa "Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah".

Dengan itu, Aziz berpendapat, mahkamah telah bertindak di luar kuasa atau 'ultra vires'.

Aziz berkata sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku pada 7 Mei nanti kerana moral BN sendiri cukup rendah buat masa ini.

"Saya tidak fikir kita boleh memisahkan ketakutan mereka untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Penanti dengan apa yang berlaku di Perak sekarang. Begitu juga dengan krisis di Terengganu dan masalah yang tidak kurang kroniknya di Melaka yang baru kedengaran hari ini," tambahnya lagi.

Sementara itu, beliau menegaskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak akan terbubar dengan sendirinya jika ia tidak bersidang dalam masa enam bulan. Akibat percaya dengan pendapat itu, BN terburu-buru untuk mengadakan sidang DUN Perak.

Katanya, peruntukan yang berkenaan ialah 36 Perlembagaan Negeri Perak. Peruntukan yang sama ada di dalam Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan. Aziz berkata peruntukan yang sama juga ada di semua negeri yang lain.

No comments: