Monday, March 26, 2012

Najib Bacul dan Penakut

Oleh MOHD SANY BIN HAMZAN

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyelar kenyataan Y.A.B. Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia, yang memaklumkan sudah mempunyai tarikh untuk pilihanraya umum ke 13 tetapi tidak bersedia untuk mendedahkan kepada umum lagi. Datuk Seri Najib sedang melakukan kezaliman kepada parti-parti pembangkang kerana hanya pihak Umno dan Barisan Nasional sahajalah yang mendapat manfaat daripada perkara ini. Datuk Seri Najib hanya akan berani membubarkan parlimen setelah petunjuk sokongan telah ‘solid’ untuk Umno dan Barisan Nasional.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyifatkan Datuk Seri Najib seperti orang yang nampak gagah perkasa seperti Badang tetapi sebenarnya seorang yang penakut dan bacul kerana masih lagi terus berahsia dengan tarikh untuk membubarkan parlimen. Datuk Seri Najib meneruskan legasi ketakutan Perdana Menteri sebelum beliau untuk mengumumkan tarikh pembubaran parlimen kerana mereka semua tidak mempunyai keyakinan diri sendiri terhadap kekuatan jentera dan sokongan rakyat kepada mereka.

Negara-negara yang ditakrifkan sebagai Negara yang tidak maju dan tertinggal di belakang Malaysia sebagai negara maju seperti Thailand dan Indonesia juga lebih berani untuk mengumumkan tarikh pilihanraya umum mereka kepada rakyat supaya segala proses pengundian akan berjalan lebih lancar. Bahkan di Indonesia, Komisi Pemilihan Umum Republik Indonesia (seperti SPR) telah diberikan kuasa penuh untuk mengendalikan proses pilihanraya secara bebas tanpa campurtangan pihak kerajaan hingga te tahap pemilihan tarikh pengundian. Tetapi Malaysia yang dikatakan sebagai sebuah negara maju masih lagi memiliki seorang Perdana Menteri yang berfikiran kuno, sempit dan ketinggalan zaman.

Selain itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengumpulkan Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan yang ditandingi oleh PAS untuk pilihanraya umum ke 13 nanti di dalam satu program yang di beri nama “Pecutan Akhir Pemuda PRU 13”di Shah Alam pada 17 Mac 2012 lalu. Objektif pertemuan tersebut adalah untuk memotivasikan petugas-petugas pemuda kawasan bagi merealisasikan hasrat PAS Pusat untuk menguasai Putrajaya bersama-sama rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat.

Program sehari suntuk tersebut telah dihadiri oleh perwakilan daripada semua kawasan-kawasan yang akan ditandingi oleh PAS samada daripada Semenanjung Malaysia mahupun dari Sabah dan Serawak. Pengisian program tersebut telah diisi oleh Al Fadhil Sdr. Wan Nik Wan Yusof (Setiausaha Politik Y.A.B. Menteri Besar Kelantan merangkap Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan), Sdr. Dr. Zuhdi Marzuki (Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat), Pak Shakur (Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Pusat) dan Al Fadhil Ustaz Nasarudin Hassan At Tantawi selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Telah menyampaikan taujihat dan seterusnya merasmikan ucapan penutup program tersebut. Ucapan perasmian pembukaan program telah dilakukan oleh Y.B. Tuan Dr. Ahmad Yunus Hairi selaku Ahli Majlis Kerajaan negeri Selangor.
Oleh itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin memberi ‘signal’kepada Umno dan Barisan Nasional walaupun mereka terus berahsia tentang tarikh pembubaran Dewan Rakyat tetapi Pemuda PAS telah cukup bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum pada bila-bila masa.
MOHD SANY BIN HAMZAN
KETUA PENGARAH
JABATAN PILIHANRAYA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

No comments: