Monday, March 26, 2012

Lynas: Alam digadaikan untuk keuntungan yang tidak seberapa...

Lynas dan pihak pembuat dasar bermain dengan angka sebermulanya, untuk mengaburi isu dengan kenyataan palsu yang seolah-olah benar bunyinya.  Lynas dan kerajaan mendakwa bahawa kilang pemprosesan nadir bumi yang terbesar di dunia ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan.  Namun, angka menunjukkan bahawa jumlah peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh sesebuah kilang yang menghasilkan buangan radioaktif adalah sama dengan peluang pekerjaan yang diwujudkan sesebuah hypermarket.

Menurut maklumat yang diberikan Lynas, bilangan pekerja yang diupah kilang nadir bumi di Kuantan adalah antara 350 hingga 400 orang (angka tepat adalah 236 orang sehingga Disember 2011)(2).  Apakah angka ini cukup besar?  Cuba bandingkan dengan hypermarket seperti TESCO.  TESCO mempunyai rangkaian sebanyak 40 unit di Malaysia, dengan jumlah 15,000 orang pekerja, atau purata 375 orang per unit (3).


Mereka yang menyokong Lynas akan menyanggah dengan hujah, "Kita perlu lihat dalam kerangka yang lebih luas.  Seandainya kita mempunyai kilang pemprosesan nadir bumi, maka kita mampu menarik kilang multinasional yang memerlukan nadir bumi ke Malaysia.  Jadi, lebih banyaklah peluang pekerjaan diwujudkan."  Hujah sedemikianlah antara penekanan Lynas dan kerajaan Malaysia ketika berdepan dengan rakyat.
Keadaan di China

Pasaran bekalan nadir bumi di dunia hampir dimonopoli China sejak 10 atau 20 tahun kebelakangan.  Kerajaan China mulai menyekat eksport nadir bumi dengan kuota sejak tahun 2003.  Seterusnya kerajaan China mengenakan export tariff sebanyak 10% kepada semua nadir bumi, agar harga nadir bumi di China lebih rendah daripada nadir bumi di luar negara.

Pada tahun 2008, sekali lagi kerajaan China meningkatkan export tariff kepada 15-25% mengikut jenis nadir bumi.  Langkah ini telah menyebabkan kekurangan nadir bumi di luar sempadan China, menjurus kepada lonjakan harga yang mendadak.  Pada tahun 2010, hasil nadir bumi China mencakupi 97% (130 ribu ton) dari hasil dunia, dan kuota eksportnya hanya 30 ribu ton (1).  Dengan kata lain, kira-kira 75% nadir bumi di dunia yang berharga rendah hanya boleh didapati di dalam sempadan China (melainkan penyeludupan haram).

Di bawah dasar ini, syarikat multinasional yang memerlukan nadir bumi terpaksa membina kilangnya di China.  Cara ini lebih ekonomik (menjimatkan kos), nadir bumi ditambah proses untuk menghasilkan produk, dan kemudiannya dieksport dari China.
Mampukah Malaysia meniru China?
Namun, apakah kerajaan Malaysia juga boleh meniru langkah China, mengenakan kuota terhadap nadir bumi untuk menarik pelabur asing?  Jawapannya mustahil.  Ini kerana nadir bumi yang dihasilkan di Kuantan adalah milikan peribadi syarikat Lynas.  Kerajaan Malaysia tidak mempunyai hak milikan ke atas nadir bumi itu.  Kerajaan Malaysia tidak boleh memaksa Lynas untuk menjual nadir buminya di dalam sempadan Malaysia.

Menurut laporan pelabur Lynas pada Mei 2011 (4), Lynas telah menandatangani lapan kontrak bekalan nadir bumi dengan Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun untuk jangka panjang (10 tahun).  Lihat sahaja kontrak "strategic alliance"-nya bersama Sojitz, pengedar nadir bumi terbesar Jepun telah menyatakan, lebih 38% nadir bumi (sekurang-kurangnya 8,500 ton setiap tahun) akan dieksport secara terus ke Jepun.  Ditambah lagi kontrak lain yang selebihnya, Malaysia hanyalah sebagai "distribution hub" untuk Lynas.

Malah, walaupun projek joint-venture Lynas dengan Siemens yang sering ditekankan oleh kerajaan Malaysia, ia hanya sekadar pada peringkat letter of intent.  Setakat ini tiada janji dalam hitam putih mahupun lisan bahawa pelaburan ini akan berpengkalan di Malaysia.  Jadi, adalah terlalu awal untuk menyebut projek pelaburan Siemens ini sekarang.

Selain itu, laman sosial Facebool Lynas (5) menyatakan bahawa satu kontrak bernilai RM1.2 bilion akan diperuntukkan untuk Malaysia, apabila mereka membina kilangnya di Kuantan.  Projek bernilai RM513 juta diberikan kepada kontraktor di Kuantan.

Perlu diingatkan, bahawa Kuantan telah menampung buangan nadir bumi oleh Lynas.  Sebaliknya, Thailand telah mendapat "durian runtuh" yang lebih besar dari Kuantan.  Dalam laporan kewangan tahunan Lynas pada 2011 (6), projek pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi fasa kedua di Kuantan telah diberikan kepada satu syarikat Thailand, Toya-Thai Corporation, dengan nilai antara USD 180 - 210 juta, atau kira-kira RM630 juta.

Industri yang tinggi tahap pencemarannya


Pada awal tahun 2007, ketika Lynas memberi kepastian untuk membina kilangnya di Kemaman, MIDA (Malaysia Industrial Development Authority) telah memberikan "strategic pioneer status" kepada Lynas.  Dengan kata lain, Lynas dikecualikan daripada membayar cukai korporat untuk 10 tahun, malah dikecualikan juga duti import dan sales tax untuk semua bahan mentah, mesin, peralatan, aksesori dan sebagainya yang digunakan untuk pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi. (7)

Pada Ogos 2007, Lynas bersetuju untuk menerima tawaran kerajaan Malaysia agar projek ini dipindah dari Terengganu ke kawasan industri Gebeng, Kuantan.  Sebagai pampasan lantaran penangguhan yang disebabkan perpindahan tersebut, Menteri Kewangan Malaysia telah meluluskan package insentif yang baru.  Pengecualian cukai korporat dilanjutkan dari 10 tahun kepada 12 tahun.  Stamp duty untuk pembelian tanah di Gebeng turut dikecualikan.  Malah, Lynas memperolehi dana yang tidak melebihi RM1.2 juta untuk tiga tahun, sebagai tabung latihan pekerja Malaysia (8).

Pelaburan Lynas adalah satu pelaburan berisiko tinggi kerana mengancam keselamatan alam sekitar.  Bukan sahaja kerajaan kita tidak mengenakan cukai yang tinggi sebagai pampasan terhadap pencemaran alam yang diakibatkannya, malah diberi pula package insentif sebagai galakan.

Mengapa kerajaan kita sanggup berbuat demikian?  Apakah sumbangan 1% GDP itu boleh membeli kesihatan ratusan ribu orang penduduk di Kuantan?  Apakah kerajaan kita benar mahu menilai kesihatan rakyat dan keselamatan alam dengan wang ringgit?

Negeri Pahang pada asalnya sebuah negeri yang bersih, dengan hutan tropikal dan pantai yang indah.  Kini, kerajaan kita sanggup menggadaikan segala-galanya demi keuntungan yang dinilai wang ringgit.

Anak cucu kita telah menanggung malapetaka lantaran kejadian Bukit Merah 20 tahun yang lalu.  Mengapa tidak kita mengambil iktibar dari sejarah?  Mengapa perlu kita mengulangi kesilapan yang lalu?  Kini kerajaan kita membuka pintu untuk Lynas - apakah ini kejahilan, berpandangan pendek, atau langsung tidak mengendahkan kepentingan rakyat?
Rujukan
1.http://www.fas.org/sgp/crs/natsec/R41347.pdf
2.Q4_2011_Quarterly_Report_clean_copy_V4_1071982.pdf (m/s 6)
3 http://www.tesco.com.my
4 Investor_Presentation_May_2011.pdf
5 https://www.facebook.com/lynasmalaysia
6 financial_report_FY11_1023856.pdf (m/s11)
7 Q1 March 2007 Quarterly Activities Report 2007 - 449993.pdf
8 Q4_2007_Final_Version_Revised_1.2.08.pdf (m/s 4)

No comments: