Friday, January 11, 2013

HKR #KL112 : KL KAMI DATANG LAGI UNTUK RAKYAT DAN NEGARA



























LENSA : HIMPUNAN TUNTUT ROYALTI MINYAK DIKLCC!!!!!


Telaga Minyak Bertam PM307- Hak dan kedaulatan Terengganu kite wajib dipertahankan....Itulah laungan ribuan warga Terengganu yang berdemo aman depan bangunan KLCC selepas solat Jumaat tadi, mendesak pengurusan PETRONAS supaya kembalikan Hak Rakyat Terengganu Minyak yang dijumpai di Telaga Bertam PM307 selain dari memohon agar Hak Rakyat Kelantan untuk mendapatkan Royalti tidak diabaikan begitu saja atas tekanan politik yang rakus dan dendam kesumat UMNO/BN pimpinan Najib Razak.

Warga ini jugalah nanti yang akan turut serta dalam Perhimpunan Raksasa Aman HKR#KL112 esok di Stadium Merdeka.

HKR #KL112 : Betul ke surat dari Kementerian Pengajian Tinggi?

Malang bagi rakyat Malaysia kerana di sebuah Kememterian Kerajaan yang melahirkan cerdik pandai untuk masa hadapan negara, individu yang mentadbirnya terdiri dari manusia yang kurang cerdik..

Meskipun beliau sepatutnya bukanlah seorang individu yang kurang cerdik tetapi demi merealisasikan hasrat pemerintah yang takut kehilangan kuasa beliau sanggup menjadikan dirinya kelihatan kurang cerdik di mata masyarakat.

Kurang cerdiknya jelas kelihatan bilamana beliau gagal menjustifikasi apa yang dimaksudkan sebuah perhimpunan haram dan apa pula perhimpunan yang dibenarkan..


Sepucuk surat daripada Kementerian Pengajian Tinggi, KPT yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KPT Datuk Ab. Rahim bin Md Noor yang dihantar kepada semua Naib Chancelor dan Ketua Exekutif IPTA dan IPTS jelas merupakan surat penipu.

Surat itu meminta pihak universiti agak menasihatkan para pelajar supaya jangan terlibat dengan perhimpunan haram, Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka esok.


Namun hakikatnya Himpunan Kebangkitan Rakyat bukanlah himpunan haram.

Ini kerana pihak polis sendiri telah bersetuju untuk bekerjasama dengan penganjur dan peserta Himpunan Kebangkitan Rakyat.

Malah mereka telah menyediakan pas media, dan marshal untuk membantu melicinkan himpunan esok.

Selain itu pihak Stadium Merdeka juga telah meluluskan permohonan untuk menggunakan Stadium Merdeka bagi tujuan perhimpunan.

Jadi kenapa agaknya surat dari Kementerian Pengajian Tinggi  ini menyebut Himpunan Kebangkitan Rakyat sebagai himpunan haram?

Adakah penulis dan juga individu yang menandatanganinya sememangnya bodoh?

Akhirnya orang Umno terima ‘Amanat’ - TG Hadi


MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempertahankan petikan dari ucapannya yang dinamakan ‘Amanat’ oleh pihak tertentu dan akhirnya diterima juga oleh orang Umno.

Dalilnya, kata Ustaz Abdul Hadi, di kalangan pemimpin dan menteri Umno kini tidak lagi menghina hukum Islam serta menerima politik dalam Islam.

“Alhamdulillah, orang Umno terima (amanat) dan dalilnya mereka tidak lagi menghina hukum Islam. Itu respon saya, cuma jangan degillah tak mengaku salah. Tahun 60-an, 70-an (waktu) itu masih ramai yang hina hukum Islam.

“Sekarang ini tidak ada lagi di kalangan orang Umno yang mengatakan ‘politik suku, agama suku’…dah tak ada lagi kata macam itu. Mereka pun sudah terima dan percaya politik ada dalam Islam..cukuplah dulu, respon (tindak balas) ada," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Buku Amanat Haji Haji- Antara Fitnah & Fakta di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Justeru, katanya isu amanat tersebut sengaja ditimbulkan kembali Umno dan Barisan Nasional (BN) apabila hampir dengan pilihan raya.

“Kita (umat Islam) kena sedar ramai yang tak tahu dengan mengatakan politik tidak ada dalam Islam, (termasuk) hukum jenayahnya…(ini) kerana mereka tak bacalah.

“Akhirnya, berlaku suatu perubahan dan tidak ada lagi termasuk pemimpin-pemimpin (Umno), menteri-menteri pun tak ada yang bercakap (politik suku, agama suku) lagi. Itu suatu respon positiflah, kenapa pula perlu saya hendak tarik (amanat),” tegasnya.

Menurutnya lagi, pihak Jabatan Perdana Menteri sendiri pernah mengeluarkan sebuah buku ‘Mustika Hadis’ yang dianggap lebih ‘keras’ mengenai iman dan Islam.

“Ini kerana, hendak ‘main-main’ pilihan raya saja dan setiap kali menjelang pilihan raya buat keluar isu (amanat) itu…apa ini, tidak baiklah begitu.

“Sebenarnya, bukan saya sahaja yang tulis buku ini. Jabatan Perdana Menteri pun tulis dan allahyarham Tun Razak yang beri kata pendahuluan. Masa itu PAS dalam Barisan Nasional dan Tun Razak jadi Perdana Menteri keluar sebuah buku ‘mustika hadis’.

“Dalam buku itu menjelaskan perkara yang merosakkan iman dan Islam pada jilid yang pertama. Tapi mereka tak baca buku (mustika hadis) itu. Bahkan, buku itu lebih keras tapi saya ‘perlembutkan’ lagi. Sebab buku itu tidak bezakan antara (orang) yang jahil dengan (orang) yang tahu tetapi saya bezakan,” jelasnya kepada pihak media.

Kalimah Allah

Beliau yang juga mantan Menteri Besar Terengganu menyelar sikap kerajaan Umno-BN yang mempolitikkan isu kalimah Allah hingga berlaku kecelaruan pemikiran rakyat.

Katanya, pihak Umno sengaja mempolemik isu kalimah Allah dan cuba melemparkan kesalahan kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, isu kalimah Allah itu diketengahkan bagi memancing undi orang Melayu yang masih ramai disifatkan sebagai ‘buta huruf’.

“Sama dengan isu kalimah Allah, setiap kali menjelang pilihan raya keluar (isu)…apa ini, tidak betul, salah. Pada hal tanggungjawab membenarkan cetak Bible itu, Umno (kerajaan). Dia kerajaan, di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dia yang kawal semua.

“Ini (sekarang) hendak ‘lempar’ (kesalahan) kepada kita. Jika kita yang memerintah lainlah, ini dia (BN) yang memerintah tapi dicampak ‘benda’ (isu ) itu kepada kita.

“(Umno) hendak main politik dengan kalimah Allah, bukan boleh begitu. Kita (PAS) bertanggungjawab dengan kalimah Allah ini bukan main-main politik. Kita orang Islam jangan rosakkan Islam,” ujarnya ketika menjelaskan isu penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam termasuk dalam Bible versi Melayu.

Pada masa sama, Ustaz Hadi, mengingatkan semua kerajaan yang ada atas dunia hari ini tidak kekal selamanya berkuasa yang akan berakhir ditolak oleh rakyat jika berlaku kezaliman.

Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. -Hrkh

Perkasa & Pemuda UMNO Hantar SMS Ugutan Kepada SAMM


HKR: SAMM terima SMS ugutan Perkasa & Pemuda Umno

Samseng Umno menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada semua ahli Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), ekoran takut dengan gelombang Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR), Sabtu ini.

Perkara itu didedahkan Penyelaras SAMM Wilayah Persekutuan, Shariful Azmir Mustafa.

Menurutnya, SMS itu diterima tiga hari lalu oleh pimpinan tertinggi SAMM seluruh negara.

“Beberapa hari lalu, aktivis dan ahli SAMM diganggu dengan SMS berbaur ancaman dan ugutan daripada pihak yang menamakan diri mereka Perkasa, Pekida dan Pemuda Umno untuk halang dan timbulkan provokasi agar perhimpunan bertukar menjadi pertumpahan darah,” jelasnya kepada pemberita.

SMS yang diterima itu, antaranya berbunyi “Kami akan halang himpunan haram dari malam lagi. Kami Perkasa, Pekida, Pemuda Umno dan 80 NGO lagi akan tunggu di d/merdeka dari malam lagi. Jangan jadi pengkhianat negara”.

“Ternyata regim usang ini sedang menghayati zaman akhir pemerintahan mereka dengan melakukan provokasi, sabotaj dan menggunakan samseng upahan untuk menakut-nakutkan rakyat,” katanya selepas menyerahkan sejambak bunga kepada Timbalan Ketua Balai IPD Dang Wangi, M Nazir, di Ibu Pejabat Balai Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, semalam.

Menurut Shariful Azmir, SAMM tidak melaporkan perkara tersebut kepada polis kerana menyifatkan tindakan bacul samseng Umno itu sebagai isu remeh.

“Kita tidak akan lapor polis kerana mahu fokus kepada HKR di Stadium Merdeka 12 Januari ini.

“Tidak perlu kami layan provokasi kerana kami sudah terbiasa dengan sikap samseng Umno,” katanya.

Penyerahan bunga tersebut sebagai tanda mengalu-alukan kedatangan polis ke HKR secara aman menjaga keselamatan rakyat.

Bagaimanapun, M Nazir yang berlagak sombong menolak untuk menerima risalah dan brosur mengenai pesanan kepada pihaknya supaya tidak menzalimi rakyat, sebaliknya menyatakan tugas mereka menjaga ‘keselamatan’ rakyat.

PM BARU BAGI MALAYSIA? Najib akan dipaksa meletak jawatan atas ‘sebab kesihatan’?

Nampaknya Malaysia akan mendapat Perdana Menteri sebelum pilihan raya umum, yang dijangka akan diadakan pada bulan Jun. Perdana Menteri Najib Razak yang sedang menghadapi pelbagai tekanandijangka meletak jawatan tidak lama lagi untuk memberi laluan kepada Muhyiddin Yassin,atas sebab-sebab kesihatan, tetapi akhirnya, Najib yang berusia 59 tahun akan menjadi mangsa terbaru persengketaan parti Umno dan perasaan khuatir akan kehilangan kuasa terhadap kerajaan persekutuan kepada ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat.

Pada hujung minggu, khabar angin bertiup kencang menyatakan bahawa Najib akan membubarkan Parlimen pada 26 Januari dan ini antara usaha untuk mencari jalan agar Muhyddin dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad boleh menggulingkan Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri negara sebelum PRU ke- 13 diadakan.

Cakap-cakap itu telah diganti pula oleh spekulasi panas bahawa Najib telah jatuh sakit. Menurut Sarawak Report, para doktornya telah diletakkan dalam keadaaan berjaga-jaga pada hujung minggu lalu. Tidak dinafikan terdapat banyak tekanan pada Najib dan isterinya Rosmah Mansor terutama sekali sejak beberapa minggu yang lalu apabila mereka menjadi sasaran rentetan pendedahan rasuah oleh ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan.

Apabila pasangan pertama ini tidak menjawab apa-apa dakwaan serius dan juga 'ketiadaan' Najib di mata awam sejak dua minggu lalu telah menimbulkan syak wasangka bahawa ada sesuatu telah berlaku. Ada juga berspekulasi bahawa Najib mungkin telah ke luar negara untuk menerima rawatan.

"Apa yang kita minta ialah supaya pentadbiran BN menjelaskan dengan segera keadaan sebenar. Kita semua tahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena apabila PM tiada kelihatan. Tiada kenyataan telah dikeluarkan berkenaan ketiadaannya dan tiada juga kenyataan dari mereka bagi menangkis dakwaan serius yang telah dibuat oleh Deepak," Ahli Parlimen PKR kawasan Batu, Tian Chua memberitahu Malaysia Chronicle.

Meraih undi simpati dari pengundi Melayu yang keliru

Najib mengambil alih sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri negara yang ke- 6 pada April 2009 selepas membantu Mahathir dan Muhyiddin menggulingkan Abdullah Badawi yang dipersalahkan atas prestasi lemah Umno-BN dalam pilihan raya 2008. Sekarang, ironinya, Najib pula mendapati dirinya diketepikandengan cara yang sama sepertimana dia telah menjadikan Badawi terasing dari dunia politik.

Ia merupakan rahsia yang diketahui umum bahawa 'panglima’ Umno sedang merebut kerusi untuk bertanding pada PRU ke-13 dan Najib telah mengikut kata hatinyadenganmembuat keputusan bahawa dia akan kekal dalam kuasa. Walaupun bermacam-macam cerita telah diputar oleh media dari kedua-dua belah pihak, semua tahu bahawa Najib dan Rosmah hanya mahu mengadakan pilihanraya selepas tempoh 5 tahun Umno berakhir, manakala Muhyiddin dan Mahathir mahukan pilihanraya diadakan seawal tahun lepas.

Apabila Muhyddin memberitahu akhbar pada awal tahun baru bahawa adalah lebih baik jika tarikh PRU ke-13 kekal 'misteri', ia terus merangsang 'teori konspirasi' yang sedang hangat diperkatakan bahawa Najib akan dikeluarkan tidak lama lagi. Muhyiddin kemudian akan mengambil alih dan membenarkan Parlimen tamat tempoh tanpa dibubarkan, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya yang pro-BN mengadakanpilihanraya di seluruh negara hanya pada bulan Jun supaya membolehkan 'luka' dalaman Umno untuk sembuh dan negara, terutamanya pengundi Melayu yang berpengaruh membiasakan diri dengan PM baru yang menerajui negara.

"Mereka berharap pada imej pro-MelayuMuhyiddinuntuk membolehkan Umno-BN mengekalkan kuasa serta ketakutan orang Melayu kepada sesuatu yang tidak mereka ketahui dan simpati kepada Najib yang sedang sakit - jika benar dia sedang sakit - untuk membantu mereka," kata Tian.

"Kami kini dalam zon yang samar-samar kerana tidak tahu apakah helah Umno-BN seterusnya untuk berpaut kepada kuasa. Semuanya akan bergantung kepada pengumuman yang akan dibuat dalam beberapa hari akan datang. Kemudian barulah kami akan mendapatkan gambaran yang lebih jelas."

Muhyiddin yang bercita-cita tinggi & 'kamikaze' Dr M


Pada pertengahan bulan Disember, sumber-sumber politik telah memberitahu Malaysia Chronicle bahawa bahagian Umno di tiga negeri - Johor, Terengganu dan Perak - telah memulakan usaha memaksa Najib untuk berundur, dengan memberi alasan meningkatnya kes-kes skandal terutama sekali rasuah berkaitan pembelian kapal selam Scorpene dan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Antara petanda awal perbalahan dalaman UMNO sedang memuncak adalah khabar angin mengenai rusuhan kaum yang telah disebarkan oleh beberapa blogger pro-UMNO. Perbuatan pemimpin UMNO dan sekutunya seperti Ibrahim Ali dan Shahrizat Jalil menakut-nakutkan orang ramai dengan berulangnya rusuhan kaum 13 Mei 1969 yang telah meninggalkan beribu-ribu cedera dan ratusan kehilangan nyawa telah mengeruhkan lagi keadaan.

Mewujudkan ketakutan dengan menggunakan ancaman rusuhan kaum untuk mematahkan kebangkitan rakyat adalah 'lambang' taktik yang digunakan oleh Umno untuk menyembunyikan pertelingkahan dalaman. Rusuhan 13 Mei telah didedahkan sebagai konspirasi Umno untuk menggulingkan presiden ketika itu, Tunku Abdul Rahman. Ia adalah perebutan kuasa yang telah membolehkan ayah Najib, Abdul Razak Hussein dan Mahathir Mohamad memegang kuasa.

Oleh itu, apabila timbul cakap-cakap menyemarakkan insiden Mei 13 baru-baru ini, pemerhati politik mula berjaga-jaga.

Membenarkan Najib untuk keluar dengan cara terhormat


Pemerhati Umno percaya bahawa Mahathir Mohamad, 'pemain boneka’ utama dalam Umno, telah memutuskan untuk menjadikan Muhyiddin bonekanya dan kesan saat-saat akhir dalam kepimpinan walaupun ramai telah memberi amaran bahawa ia bakal menambahkan kesan yang lebih teruk bagi perbalahan dalam Umno .

Kerana itulah mereka mewujudkan khabar angin 'strok kecil' untuk membenarkan Najib berundur dengan cara yang terhormat atas sebab-sebab kesihatan. Sama ada benar atau tidak Najib sakit bukanlah perkara utama. Bagi pesaingnya dalam Umno, kesihatan yang kurang memuaskan adalah semata-mata memberi Najib sebab untuk 'menyerahkan' kuasanya.

"Mahathir adalah seorang pejuang kamikaze (berani mati). Dia tidak perlukan undang-undang darurat atau mana-mana undang-undang jika dia mahu melakukan sesuatu. Lihatlah bagaimana dia membubarkan UMNO lama dan mencipta UMNO Baru, lihatlah bagaimana dia melemparkan Anwar Ibrahim ke dalam penjara, diisytiharkan perang habis-habisan ke atas Abdullah Badawi, " kata seorang pemerhati politik veteran kepada Malaysia Chronicle.

"Tetapi pilihan melambatkan PRU ke-13 dan mengenakan undang-undang ketenteraan bukanlah pilihan bagi mereka. Panglima UMNO tahu jika mereka berbuat demikian, mereka berkemungkinan besar dimasukkan ke dalam penjara dan dihina. Ia adalah lebih baik untuk bertarung di peti undi. Lagipun, mereka telah melakukan banyak penyelewengan pada daftar undi yang begitu banyak kekayaan di luar negara, mereka mungkin akan mencuba nasib mereka di mahkamah jika rejim baru memerintah bakal mendakwa mereka kerana merompak. "

"Sudah tidak syak lagi Mahathir telah cuba untuk menukar PM untuk meningkatkan semangat dalam UMNO sebelum bertarung dalam PRU ke-13 Dia selalu menjadi orang yang paling berani bertaruh berbanding yang lain. Dia bersedia untuk memperjudikan segalanya untuk menang besar dengan menggunakan imej pro-Melayu Muhyiddin. Untuk berbuat demikian, mereka akan membangkitkan sentimen Melayu. Setakat ini, yang ada hanyalah retorik. Sekarang kita sudah mendengar cerita tentang rusuhan kaum. Oleh itu, ada kemungkinan besar apa yang berlaku seterusnya adalah kejadian yang sebenar. Khabar angin bahawa mereka boleh membangkitkan insiden kecil di sana sini untuk mengumpul kemarahan orang Melayu dan mereka boleh melakukan ini dengan bantuan samseng UMNO dan kongsi gelap Cina dan India. "


-Malaysia Chronicle

Fenomena Amanat dan Takfir

Saya tidak menduga petikan ucapan saya diawal 80-an telah dimartabatkan oleh seorang peniaga agama dalam PAS yang telah melompat masuk UMNO selepasnya, telah dijadikan satu polemik. Petikan ucapan saya ini pula secara terancang telah dijadikan hujah untuk merendahkan PAS, dan saya dijadikan sasarannya. Saya percaya bahawa isu lama ini diberi nyawa semula oleh UMNO, mungkin kerana menutup isu yang dikira menghantui mereka, seperti kegusaran generasi peneroka FELDA dan penyelewengan yang berlaku kepada FELDA, riuh-rendah pembongkaran Deepak, penganiayaan mereka terhadap orang Melayu, dan lain-lain kelemahan kerajaan UMNO-BN yang begitu menekan mereka di hujung penggal pemerintahan ini. Alhamdulillah, saya baru sahaja selangkah kehadapan untuk menyahut cabaran, manakala mereka pula berundur sepuluh langkah kebelakang.

Isu “takfir” (kafir mengkafir) dicetuskan oleh golongan sekular di dalam UMNO, diseluruh dunia Islam, termasuklah di negara Arab, bagi menyanggah kebangkitan Islam di zaman selepas mencapai kemerdekaan seawal tahun 60an. Kebanyakan kalangan umat Islam menjadi mangsa serangan pemikiran barat sehingga berjuang menganut ideologi yang dibawa oleh penjajah ke dalam masyarakat Islam. Kalangan umat yang masih menganut Islam, tetapi kerana jahilnya telah menghina hukum-hukum Islam yang dinaskan dalam al-Quran dan Hadith sahih lagi mutawatir, seperti halal dan haram, hukum-hukum yang berkait dengan negara dan masyarakat, politik,ekonomi dan sebagainya.

Ada yang menghalalkan riba, arak dan judi, menghina hukuman qisas dan hudud, mempersenda hukum menutup aurat dan sebagainya, kerana kejahilan. Di waktu itulah kita mendengar istilah ‘hantu kum-kum’ dilabelkan kepada kalangan muslimat yang menutup aurat dan memakai hijab. Ada pula yang berdiri diatas pentas komunis yang menolak adanya Tuhan dan menolak agama, dalam keadaan masih bersembahyang. Sebahagian umat Islam pula tetap berpegang teguh dengan ajaran Islam dan mempertahankannya, tetapi mempelajari kitab turath (kitab-kitab lama) yang menegaskan hukum murtad berdasarkan kepada kefahaman masyarakat dizaman kita bitu dikarang, sebelum umat Islam dijajah sepenuhnya. Akhirnya berlakulah gejala murtad secara jahil di satu pihak dan penentangan terhadapnya disatu pihak yang lain, sehingga meledakkan isu kafir mengkafir dalam masyarakat Islam.

Isu ini berlaku diseluruh dunia Islam. Malangnya golongan yang berkuasa memerintah mengambil kesempatan perpecahan masyarakat Islam bagi mengekalkan kedudukan mereka diatas landasan yang salah dan menjadikan parti Islam dan paraulamanya sebagai kambing hitam yang dikorbankan dengan hukuman bunuh, penjara dan sebagainya.Terpenting bagi mereka yang berkuasa adalah untuk menang bagi terus memerintah selama-lamanya dengan cara yang salah, tanpa ambil peduli kerosakan akidah yang berlaku.

Ramai di kalangan ulama PAS dan pemimpinnya merengkuk dalam penjara sejak awal60an, malangnya ramai pula kalangan agamawan yang menjadi syaitan bisu, tidak berani menegur atau menasihati pemimpin yang menghina Islam. Maka meledaklah pada waktu itu kenyataan seperti : “Kalau laksanakan hukum Islam berlakulah huru-hara, tak  cukup batu nak bina jalan dan bangunan, boleh  makan sup tangan bila banyak tangan dipotong kerana mencuri” dan sebagainya. Di peringkat kampung ada yang menjadi imam masjid membuat ucapan yang sama kerana jahil hukum Islam sepenuhnya, hanya  tahu hukum sembahyang dan ibadat yang lain sahaja. Terlalu jauh untuk mengetahui sistem politik, ekonomi Islam dan segala sistemnya sehingga keperingkat antarabangsa dan angkasa lepas.

PAS dan parti Islam di negara lain menghadapi cabaran getir bagi membetulkan masyarakat yang songsang pemikirannya ini. Ketika itulah kita berdepan dengan umat yang jahil, para ulama yang lemah dan kerajaan yang zalim. Di negara Arab,Mursyid Am Ikhwan Muslimin Sheikh Hasan Hudaibi menulis buku “Nahnu Dua’at La Qudat” (Kita Pendakwah Bukan Hakim Yang menjatuhkan hukuman). PAS berada dalam kerajaan campuran 1970 -1978 memberi kesempatan kepada bahagian agama Jabatan Perdana Menteri, menerbitkan buku Mustika Hadith Jilid 1 menampilkan perkara yang merosakkan iman (membatalkan iman), bagi menyedarkan penganut Islam adanya perkara yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah, bukan sahaja membatalkan sembahyang. Malangnya ramai kalangan pengikut UMNO tidak mempelajarinya di waktu itu.

Apabila PAS ditendang keluardaripada BN pada tahun 1979 isu kafir mengkafir dihidupkan semula. Pimpinan PAS dibawah pimpinan Datuk Asri, telah menugaskan saya menulis buku kecil dengan tajuknya “Batas – Batas Iman dan Kufur” dengan huraian yang lebih terperinci daripada kitab Mustika Hadith yang terlalu ringkas penerangannya. Saya panjangkan lagi dalam buku yang saya namakan Muqaddimah Aqidah Muslimin.

Apabila kalangan UMNO yang masih bebal memainkan isu tersebut, mereka sengaja mencari mana-mana ucapan saya yang difikirkan menjadi hujah bagi mereka, sehingga ke satu capan saya di selidik oleh pasukan yang ditugaskan secara khusus, maka terpilih sedutannya yang difikirkan munasabah. Saya telah dicabar dalam sidang Dewan Undangan Negeri 1982. Saya terus menjawab :”Ya ! Sebenarnya itu ucapan saya “. Maka hamba Allah yang mencari peluang terus mengangkat martabatnya kepada nama amanat yang disebarkan kepada umum. Namun petikan secebis daripada ucapan yang panjang itu tidak merosakkan sedikit pun mesej untuk menyelamatkan umat daripada gejala murtad secara jahil dan tidak sengaja.

PAS berulang kali mengajak kalangan ilmuwan agama dalam UMNO secara langsung dan melalui pihak ketiga kalangan NGO Islam, dengan ruang terbuka dengan UMNO boleh mendapat khidmat daripada mana-mana mufti yang sanggup menjadi khadamnya, kalau malu secara tertutup atau tidak mahu secara terbuka. UMNO tidak menjawab.

Tiba-tiba Presiden UMNO di masa itu memberi isyarat kepada kalangan agama dalam UMNO supaya berdebat, dengan tajuk secara unilateral pihak UMNO yang menentukannya tanpa berunding dengan pihak PAS, pihak UMNO melantik pengerusi dan penentuan masa. PAS menerima dengan terbuka. Akhirnya PAS dipujuk membatalkan debat dengan UMNO, padahal UMNO lah yang membuka pintunya. Akhirnya UMNO terpaksa diselamatkan oleh perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang mengisytiharkan pembatalannya seperti perisytiharan tarikh puasa dan hari raya.

Saya bentangkan senario tersebut semata –mata untuk pengetahuan generasi muda yang belum lahir atau belum baligh  di masa itu , kerana ada kalangan yang tidak ada pengetahuan hujung pangkalnya lalu membuat kenyataan tanpa pengetahuan yang sebenarnya.

Apa yang penting bagi kita semua ialah tidak kedengaran lagi suara dari kalangan orang Melayu yang bercakap bahawa politik tidak ada kaitan dengan agama ataupun yang berani menghina hukum Islam seperti yang berlaku dalam tahun 80an dahulu. Di sini kita mendahului Arab Spring yang masih mencetuskan kalangan nasionalis Arab yang menghina Islam. Maka saya nasihatkan kepada ahli PAS tidak melatah dengan permainan kalangan UMNO yang masih jahil atau hanya mencari kesempatan tanpa batas halal dan haram atau tanpa perhitungan dosa dan pahala.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan hamba-hamba (Allah) ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat sejahtera dari perkara yang  tidak diingini." (al-Furqaan : 63)


Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
10 Januari 2013