Friday, January 11, 2013

Akhirnya orang Umno terima ‘Amanat’ - TG Hadi


MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempertahankan petikan dari ucapannya yang dinamakan ‘Amanat’ oleh pihak tertentu dan akhirnya diterima juga oleh orang Umno.

Dalilnya, kata Ustaz Abdul Hadi, di kalangan pemimpin dan menteri Umno kini tidak lagi menghina hukum Islam serta menerima politik dalam Islam.

“Alhamdulillah, orang Umno terima (amanat) dan dalilnya mereka tidak lagi menghina hukum Islam. Itu respon saya, cuma jangan degillah tak mengaku salah. Tahun 60-an, 70-an (waktu) itu masih ramai yang hina hukum Islam.

“Sekarang ini tidak ada lagi di kalangan orang Umno yang mengatakan ‘politik suku, agama suku’…dah tak ada lagi kata macam itu. Mereka pun sudah terima dan percaya politik ada dalam Islam..cukuplah dulu, respon (tindak balas) ada," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Buku Amanat Haji Haji- Antara Fitnah & Fakta di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Justeru, katanya isu amanat tersebut sengaja ditimbulkan kembali Umno dan Barisan Nasional (BN) apabila hampir dengan pilihan raya.

“Kita (umat Islam) kena sedar ramai yang tak tahu dengan mengatakan politik tidak ada dalam Islam, (termasuk) hukum jenayahnya…(ini) kerana mereka tak bacalah.

“Akhirnya, berlaku suatu perubahan dan tidak ada lagi termasuk pemimpin-pemimpin (Umno), menteri-menteri pun tak ada yang bercakap (politik suku, agama suku) lagi. Itu suatu respon positiflah, kenapa pula perlu saya hendak tarik (amanat),” tegasnya.

Menurutnya lagi, pihak Jabatan Perdana Menteri sendiri pernah mengeluarkan sebuah buku ‘Mustika Hadis’ yang dianggap lebih ‘keras’ mengenai iman dan Islam.

“Ini kerana, hendak ‘main-main’ pilihan raya saja dan setiap kali menjelang pilihan raya buat keluar isu (amanat) itu…apa ini, tidak baiklah begitu.

“Sebenarnya, bukan saya sahaja yang tulis buku ini. Jabatan Perdana Menteri pun tulis dan allahyarham Tun Razak yang beri kata pendahuluan. Masa itu PAS dalam Barisan Nasional dan Tun Razak jadi Perdana Menteri keluar sebuah buku ‘mustika hadis’.

“Dalam buku itu menjelaskan perkara yang merosakkan iman dan Islam pada jilid yang pertama. Tapi mereka tak baca buku (mustika hadis) itu. Bahkan, buku itu lebih keras tapi saya ‘perlembutkan’ lagi. Sebab buku itu tidak bezakan antara (orang) yang jahil dengan (orang) yang tahu tetapi saya bezakan,” jelasnya kepada pihak media.

Kalimah Allah

Beliau yang juga mantan Menteri Besar Terengganu menyelar sikap kerajaan Umno-BN yang mempolitikkan isu kalimah Allah hingga berlaku kecelaruan pemikiran rakyat.

Katanya, pihak Umno sengaja mempolemik isu kalimah Allah dan cuba melemparkan kesalahan kepada PAS dan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, isu kalimah Allah itu diketengahkan bagi memancing undi orang Melayu yang masih ramai disifatkan sebagai ‘buta huruf’.

“Sama dengan isu kalimah Allah, setiap kali menjelang pilihan raya keluar (isu)…apa ini, tidak betul, salah. Pada hal tanggungjawab membenarkan cetak Bible itu, Umno (kerajaan). Dia kerajaan, di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dia yang kawal semua.

“Ini (sekarang) hendak ‘lempar’ (kesalahan) kepada kita. Jika kita yang memerintah lainlah, ini dia (BN) yang memerintah tapi dicampak ‘benda’ (isu ) itu kepada kita.

“(Umno) hendak main politik dengan kalimah Allah, bukan boleh begitu. Kita (PAS) bertanggungjawab dengan kalimah Allah ini bukan main-main politik. Kita orang Islam jangan rosakkan Islam,” ujarnya ketika menjelaskan isu penggunaan kalimah Allah kepada bukan Islam termasuk dalam Bible versi Melayu.

Pada masa sama, Ustaz Hadi, mengingatkan semua kerajaan yang ada atas dunia hari ini tidak kekal selamanya berkuasa yang akan berakhir ditolak oleh rakyat jika berlaku kezaliman.

Hadir sama pada majlis tersebut Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. -Hrkh

No comments: