Sunday, August 18, 2013

PAS kekal di Parlimen Bachok, Dun Jelawat



KOTA BHARU: PAS mengekalkan kerusi parlimen Bachok dan Dun Jelawat apabila Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak petisyen dikemukakan Barisan Nasional (BN).

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim menolak petisyen tersebut selepas peguam responden pertama mengemukakan bantahan awal kedua pada prosiding kes berkenaan minggu lepas.

Pada 10 Julai lalu hakim terbabit menolak bantahan awal dikemukakan responden pertama dengan kos   RM30,000.

Ketika perbicaraan kes berkenaan 12 Ogos lalu responden pertama mengemukakan bantahan awal kedua terhadap isu-isu baharu yang belum dibangkitkan pada bantahan awal pertama terutamanya berkenaan locus peguam yang mewakili pempetisyen yang gagal menfailkan secara sempurna notis perlantikkan mereka.

Perbicaraan yang penuh sesak dengan penyokong kedua-dua pihak menyebabkan ramai pemerhati yang hadir termasuk peguam terpaksa berdiri di galeri awam.

Malah ramai lagi terpaksa berada di luar dewan mahkamah memandangkan tiada tempat duduk.

Pempetisyen pada awalnya diwakili peguam Mohd Ilyas Mohd Noor, Datuk Mohd Hafarizam Harun, Nor Azli Ahmed dan beberapa lagi peguam. Walau bagaimanapun semasa perbicaraannya hanya peguam Mohd Ilyas Mohd Noor sahaja di benarkan berhujah memandangkan peguam-peguam pempetisyen yang lain tiada locus untuk hadir di depan Hakim.

Peguam kanan persekutuan, Azizan Md Arshad dan dibantu Najib Zakaria mewakili responden kedua, pegawai pengurus pilihan raya dan ketiga Suruhanjaya Pilihan Raya.

Manakala peguam Aminuddin Zulkifli, Hisham Fauzi, Alawi Mohd Rashid, Firdaus Abdullah, Nasrul Mohamad, Abdul Rashid Yah dan beberapa lagi peguam mewakili responden pertama.



Pada pilihan raya umum lalu, Ahmad Marzuk Shaary menewaskan Datuk Dr Awang Adek Hussin dari BN dengan majoriti 245 undi.

Abdul Azziz Kadir pula mengalahkan Datuk Dr Ilias Husin majoriti 102 undi.







Sementara itu Marzuk dan Abdul Azziz ketika ditemui melahirkan rasa syukur di atas keputusan mahkamah menolak petisyen dikemukakan BN.

Kata mereka dengan keputusan tersebut membolehkan mereka meneruskan khidmat kepada rakyat tanpa ada gangguan petisyen pilihan raya.

Sebaik penyokong kedua-dua wakil rakyat keluar dari dewan mahkamah laungan takbir dilaungkan. Malah Marzuk dan Abdul Azziz dijulang penyokong sebagai tanda kegembiraan.

Penyokong kalangan muslimat yang hadir pula kelihatan berpelukan antara mereka.

Sementara itu petisyen Dun Gaal pula akan dibicarakan pada 2 September ini.


Sebelum ini mahkamah pilihan raya menolak petisyen bagi parlimen Machang, Ketereh, Dun  Air Lanas, Dun Kok Lanas, Dun Manek Urai, Dun Mengkebang dan Selising.

No comments: