Tuesday, July 10, 2012

WWW 1: Nizar saman Utusan, TV3 RM100 juta


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin hari ini memfailkan saman fitnah kepada dua media pro Umno iaitu Utusan Malaysia dan TV3 berhubung isu bidaan plat kenderaan WWW1.

Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta Kuala Lumpur, pagi tadi.

Menurutnya, pihak Utusan dan TV3 tidak memberi respons untuk memohon maaf dalam tempoh yang telah diberikan.

"Saya bersama peguam hari ini memfailkan saman masing-masing RM50 juta kepada Utusan dan TV3 selepas enggan memohon maaf kepada saya dalam tempoh 7 hari yang telah diberikan," katanya ketika ditemui Harakahdaily di pekarangan mahkamah.

Beliau hadir bersama barisan peguamnya yang diketuai Zamri Ibrahim yang juga Pengarah Juham Pemuda PAS Perak. (Gambar)

Mengulas lanjut, mantan Menteri Besar Perak itu berkata, TV3 dalam Buletin Utama pada 30 Mei lalu mendakwa beliau telah mendakwa Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk membida plat WWW1 yang berharga RM520 ribu melalui laman Twitternya.

Utusan Malaysia pula dalam keluaran 31 Mei lalu juga mendakwa perkara yang sama.

"Kenyataan saya seperti yang kita boleh lihat, ianya langsung tidak menyebut nama Sultan Johor sebaliknya ianya diputarbelitkan untuk menjatuhkan kredibiliti saya," jelasnya.

Ujarnya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada barisan peguamnya untuk tindakan lanjut dan berharap ianya dapat diselesaikan segera agar rakyat mengetahui perkara sebenar. -Hrkh

No comments: