Cadang hudud: ADUN Umno 'hilang akal', kata MCA
Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata ADUN Umno Johor yang mencadangkan supaya hukum hudud dilaksana ke atas orang Islam dan bukan Islam di negeri itu "hilang akal" kerana mengemukakan perkara tersebut. Grafik: Pencinta keadilan.
Dalam satu tulisannya di Twitter malam tadi, Chua berkata ADUN berkenaan, Datuk Ayub Rahmat juga telah kehabisan idea sehingga menimbulkan cadangan berkenaan.
"ADUN Umno Johor itu tentu sudah kehabisan idea dan hilang akal untuk mencadangkan hudud di Johor meliputi bukan Islam," katanya.
Tambahnya, MCA "pastinya" menentang usaha seperti itu.
Ayub yang merupakan ADUN Kemelah membangkitkan cadangan itu 20 Jun lalu pada mesyuarat pertama penggal persidangan kelima Dewan Negeri Johor ke-12.
Ketika diminta menjelaskan cadangannya itu, berkata beliau mahu melihat Johor mendahului negeri lain melaksanakan hukum hudud "sebenar" – yang menurutnya berbeza dengan hudud PAS.
Hukum hudud sebenar meliputi semua kaum dalam sesuatu negara berbanding hudud PAS yang hanya tertakluk kepada orang Islam, kata Ayub yang memberi contoh Kanun Jenayah Syariah II (1993) (Hudud Kelantan).
Beliau berpandangan bahawa undang-undang itu menimbulkan diskriminasi dari segi pelaksanaan di antara orang Islam dan bukan Islam.
Pendiriannya itu meletakkan MCA sebagai parti kedua paling besar dalam BN dalam kedudukan sukar.
MCA sebelum ini lantang mengkritik undang-undang hudud dan sentiasa menyerang PAS atas rancangan pelaksanaan undang-undang syarie yang didakwa akan menakutkan pelabur asing.
MCA menjadikan kritikan ke atas hudud sebagai bahan kempen utamanya dalam menghadapi pilihan raya umum untuk menentang seterunya, DAP. -mk
Hudud: Kelantan ada halangan, jika Johor dahului silakan
KUALA LUMPUR: “Pada saya, saya bersyukur sangat-sangat atas kesedaran ini. Tidak perlu cabar mencabar, saya menyokong sepenuh hati,” kata Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons setelah membaca kenyataan Adun Umno Johor di dalam Sidang Dun Johor, Datuk Ayub Rahmat yang mencadangkan agar Johor melaksanakan hudud mendahului Kelantan serta mencabar PAS menyokong hukum hudud itu walaupun datang dari Umno.
“Kelantan atau Johor dahulu tidak penting. Kelantan telah menghadapi halangan untuk laksanakan hudud, jika Johor mendahului Kelantan, silakanlah.
“Insya Allah giliran Kelantan akan tiba juga. Sekali lagi saya nyatakan, saya menyokong sepenuh hati,” ujarnya yang juga Mursyidul Am PAS melalui Facebooknya.
Justeru, harapan beliau agar cadangan itu tidak akan ditarik balik dan menjadi kenyataan.
“Mari kita bekerjasama memperlihatkan Islam yang sebenar kepada masyarakat Malaysia.
“Tahniah kepada Umno Johor dan saya menunggu untuk melihat langkah seterusnya,” ujarnya lagi. -HD
Anda mungkin juga meminati:
No comments:
Post a Comment