Ketua Kluster, Jawatankuasa Kluster Politik Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, dalam situasi negara kini, pelaksanaan hukum hudud hanya dipersetujui oleh parti politik Islam, tetapi tidak parti bukan Islam yang menyatakan pendirian menolak hukum terbabit dilaksanakan.
Menurutnya, sekiranya kedua-dua parti bukan Islam, baik kerajaan atau pembangkang, tidak mendapat persefahaman bersama semua pihak dalam situasi ini, adalah menjadi masalah untuk meminda Perlembagaan Persekutuan.
“Pada konteks pelaksanaannya di negara ini, pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan. Dalam komponen Pakatan Rakyat (PR), DAP juga tidak bersetuju. Begitu juga dengan MCA dalam parti Barisan Nasional (BN).
“Justeru, melihatkan situasi itu, timbul persoalan bagaimana ia boleh dipinda, jika tiada persetujuan bersama dicapai,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Mohamed Mustafa berkata, soal kemampuan kepada parti yang melaksanakannya perlu juga diambil kira.
“Pelbagai pihak boleh menyatakan pandangan mereka, namun adakah parti yang berhasrat itu berkemampuan melaksanakannya? Bagaimana dengan penerimaan bukan Islam?.
“Kita bimbang, tanpa mengambil kira semua aspek, akan memberi kesan kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamed Mustafa berkata, adalah lebih baik parti politik menumpukan sektor pembangunan negara yang akhirnya memberi kesan kepada pelaksanaan hukum hudud, daripada menjadikan isu terbabit sebagai gimik politik.
“Perlu lebih fokus kepada pembasmian kemiskinan, sifar pengangguran, jenayah serta tekankan aspek pembangunan negara. Jika semua ini diberikan tumpuan, berkemungkinan kelak hukum hudud akhirnya dapat dilaksanakan,” katanya.
No comments:
Post a Comment