Friday, July 20, 2012

PRU-13 – BENARKAH PENGUNDI KELANTAN BERALIH ARAH?


Pengalaman olakan turun naik sokongan rakyat kepada PAS di Kelantan boleh dibaca pada setiap kali pilihan raya. Ia berlaku berasaskan sejarah peneraju kerajaan Negeri sejak 1955. Sejarah itu membukti rakyat Kelantan boleh menerima Umno (1955-1959), kemudian PAS (1959-1978), diikuti pula Umno (1978-1990) dan kemudiannya lagi PAS (1990 – kini).
Sokongan yang berolak seawalnya bermula daripada pilihan raya pra-merdeka 1955 yang memberi kuasa buat kali pertama untuk Umno menerajui kerajaan Negeri. Diikuti pilihan raya pertama selepas merdeka 1959, berolak pula kali kedua sekaligus menyaksikan beralihnya kuasa buat kali pertama kepada PAS. Namun selepas 18 tahun PAS berkuasa, sokongan rakyat berolak kali ketiga, dan kali ini telah beralih kuasa untuk kali kedua kepada Umno. Ia mencatatkan sejarah kuasa bagi 
Umno berkuasa selama 12 tahun, iaitu sehingga pilihan raya 1990.
Pada pilihan raya 1990, berlaku olakan kali keempat telah menyaksikan beralihnya kuasa untuk kali kedua kepada PAS yang ketika itu bersama Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan). Apa pun nilai sokongan rakyat Kelantan kepada PAS bersama Angkatan hanya berlangsung untuk dua penggal pilihan raya sahaja (1990 dan 1995). Selepas itu muncul permuafakatan PAS dalam Barisan Alternatif (BA) dan PAS di Kelantan telah berjaya kekal berkuasa sejak tiga kali pilihan raya (1999, 2004 dan 2008) sehingga kini.
Dari BA kepada PR
Apa pun selepas pilihan raya 1999 sehingga pilihan raya 2004, Barisan Alternatif asalnya terdiri daripada tiga parti – KeADILan, DAP dan PAS – kemudiannya berolak menyebabkan DAP keluar dan bersendirian menentang Barisan Nasional. Ketika itu berlaku prestasi malap PAS bersama-sama KeADILan yang membawa kemerosotan sokongan rakyat di Kelantan. Akibatnya, PAS hampir terlepas kuasa kerajaan di Kelantan dengan hanya kelebihan dua kerusi Dun (kemudian tinggal majoriti satu Dun selepas gagal dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir).
Namun olakan sokongan rakyat kembali segar kepada PAS apabila Barisan Alternatif berjaya meraih semula dokongan DAP menjelang pilihan raya 2008. Ia diikuti dengan dokongan mantap beberapa gerakan rakyat (mass movement) seperti Bersih dan Hindraf. PAS telah meraih kelebihan daripada konsensus tersebut apabila PAS kembali segar dan mantap menerima sokongan dua pertiga rakyat di Kelantan. Justeru sentimen gerakan rakyat itu telah diterjemah secara tuntas oleh pimpinan PAS, KeADILAan dan DAP, maka lahirnya permufakatan politik baru selepas pilihan raya 2008, iaitu Pakatan Rakyat (PR).
Faktor beralih
Natijah politik Kelantan adalah unik, sebagaimana uniknya seni budaya rakyatnya. Ketika menjelang merdeka sepakat menyokong Umno atas alasan mahukan kemerdekaan. Namun selepas merdeka, menurut kajian Clive Kessler (1978) didapati Umno pada waktu itu gagal menunaikan janjinya, malah dimomokkan pula sebagai mengkebelakangkan kepentingan orang Melayu dan Islam. Sebaliknya PAS dikatakan berjaya membangkitkan isu Islam dan Melayu secara jelas dan ia boleh diterima rakyat Kelantan. Antara isu yang mendapat sokongan rakyat ialah isu berkaitan kerjasama Umno dengan parti bukan Melayu dan cabaran kepada masa depan orang Islam dalam konteks Nusantara. Atas isu ini, PAS menimbulkan seruan bangkangan kepada dasar Umno sehingga membangkitkan semangat Melayu Raya. Justeru isu yang dibawa oleh PAS didapati sejiwa dengan rakyat Kelantan, kerana rata-rata rakyat Kelantan adalah rapat dengan golongan agama, seringkali menerima hujah agama daripada pemimpin PAS.
Namun selepas pilihan raya 1969, kestabilan politik nasional tercalar akibat perbalahan kaum  sehingga berlaku rusuhan 13 Mei. PAS sebagai parti memperjuang Islam telah mengambil jalan terbuka dan sedia menjadi pendokong kepada usaha-usaha perpaduan. Kesannya berlaku kerjasama politik dalam kerajaan menerusi pembentukan Kerajaan Campuran antara PAS dengan Umno. Ia berlaku secara praktikal di Kelantan kerana PAS membentuk kerajaan di negeri ini.
Kesan daripada  Kerajaan Campuran itu telah membawa kepada pensabitan PAS menubuhkan Barisan Nasional menjelang pilihan raya 1974. Pensabitan itu membawa kepada PAS menyertai Barisan Nasional atas semata-mata inginkan perpaduan umat Islam. Ia sekaligus memantapkan semula parti Umno yang hampir ranap ketika rusuhan kaum 13 Mei 1969. Sementara dalaman PAS pula berlaku sedikit perpecahan yang melahirkan puak Bebas Bersatu menentang penyertaan PAS dalam Barisan Nasional. Di sini bermula detik pertembungan politik sesama pemimpin PAS. Ia kemudian diparahkan lagi oleh adu-domba pemimpin Umno di Kelantan dalam beberapa isu. Kemuncaknya ialah isu undi tidak percaya kepada Menteri Besar, Datuk Mohamad Nasir sehingga menimbulkan kemelut berlarutan sehingga tercetusnya politik darurat 1977. Darurat kemudiannya berakhir dengan rakyat Kelantan beralih sokongan kepada Umno pada pilihan raya khas Mac 1978. 
Kembali berkuasa
Pada pilihan raya 1990, PAS kembali berkuasa di Kelantan. Ia berlaku selepas perpecahan kalangan Umno di Kelantan ekoran pertembungan kuasa dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri dalam isu pertukaran pegawai tadbir negeri. Ia turut memalitkan pihak istana kerana Umno menuduh istana berpolitik menyebabkan kalah di Kelantan.
Kesemuanya berlaku selepas berlaku pemilihan Presiden Umno tahun 1987 yang menyaksikan Tengku Razaleigh Hamzah kalah tipis kepada Dr. Mahathir Mohamed. Tengku Razaleigh kemudiannya menubuhkan Parti Semangat 46 yang kemudian bergabung dengan parti Berjasa dan Hamim menerusi Angkatan. Kemudian berkerjasama dengan PAS sehingga membangkit tekanan kepada Umno di Kelantan. Kesan daripada perpecahan Umno telah merungkai olakan sokongan rakyat kepada Umno beralih kepada PAS. Meskipun selepas itu (tahun 1996) Semangat 46 telah dibubar dan kembali bertaut semula dengan Umno, kesannya amat signifiken kepada PAS apabila PAS terus disokong oleh rakyat Kelantan.
Begitu pula, pengalaman pilihan raya 1990 dan 1995 didapati cukup menguji kemantapan PAS menerajui kerajaan di Kelantan. Ia juga membuktikan PAS sudah mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat. Walaupun sokongan itu agak berolak pada pilihan raya 2004 (selepas hubungan longgar dalam BA) menyebabkan sokongan kepada PAS agak merosot. Sebaliknya Umno mendapat kekeuatan baru apabila Dr. Mahathir berundur dari kerusi Presiden diganti dengan Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah telah dipromosikan sebagai pemimpin bersih dan menjadi pengharapan baru buat rakyat. Ia turut mempengaruhi sikap dan kepercayaan rakyat Kelantan. Justeru peralihan kepimpinan Umno menjadi asas untuk Umno mendapat kepercayaan baru dan PAS terkesan sehingga hampir kalah di Kelantan.
Pengajaran paling berharga
Apa yang penting di sebalik berlaku olakan sokongan dan beralih kuasa kerajaan antara ‘Umno-PAS-Umno-PAS’ ialah pengajaran paling berharga apabila dibuat penilaian mengenai punca-puncanya. Paling signifiken apabila penilaian itu dibuat ke atas keputusan tiga pilihan raya terakhir (secara bandingan antara pilihan raya 1999, 2004 dan 2008). Analisis berikut ke atas 13 Dun terpilih di Kelantan amat relevan diperhatikan tentang aspek ‘pengajaran paling berharga’ yang dimaksudkan.
Jadual 1: Sokongan beralih dari PAS ke BN



Jadual 1, menunjukkan bagi pilihan raya 1999 ke 2004 telah beralih sokongan rakyat Kelantan dari PAS ke BN bagi semua 13 Dun terpilih. Dun Bunut Payung mengalami olakan sokongan kepada BN paling tinggi, iaitu 14.43 peratus. Sementara Dun Meranti adalah terendah iaitu 6.42 peratus. Purata beralih sokongan dari PAS ke BN ialah 10.68 peratus. Sekiranya rentak olakan pilihan raya ke-13 nanti dan jika terjadi seumpama pilihan raya 1999 ke 2004, maka natijahnya beberapa Dun daripada 13 Dun ini akan menyaksikan beralihnya sokongan rakyat dari PAS ke BN yang menyebabkan akan ada Dun yang berkemungkinan kalah.
Jadual 2: Sokongan beralih dari BN ke PAS 
Jadual 2 pula menunjukkan bagi pilihan raya 2004 ke 2008 telah beralih sokongan rakyat Kelantan dari BN ke PAS bagi semua 13 Dun terpilih. Dun Gual Ipoh mengalami olakan sokongan kepada PAS paling tinggi, iaitu 14.01 peratus. Sementara Dun Pengkalan Kubor adalah terendah iaitu 2.51 peratus. Purata beralih sokongan dari BN ke PAS ialah 5.75 peratus sahaja. Sekiranya olakan pilihan raya ke-13 nanti akan terjadi seumpama pilihan raya 2004 ke 2008, maka natijahnya beberapa Dun daripada 13 Dun ini akan menyaksikan beralihnya sokongan rakyat dari BN ke PAS  yang menyebabkan akan ada Dun berkemungkinan menang besar. 
Namun apa yang dibimbangi, sekiranya berulangnya mood jentera PAS sepertimana mood ketika pilihan raya 2004, maka akan berlaku olakan sikap rakyat yang berkemungkinan akan beralih kepada BN. Tidak mustahil senario pilihan raya yang tergambar daripada analisis Jadual 1, akan berulang. Senario yang bersikap ‘alert’ dan proaktif amat wajar agar tidak berulang lagi pengalaman pilihan raya kecil Manek Urai (14 Julai 2009) yang menyaksikan kemerosotan rakyat sebanyak 6.36 peratus (PAS menang tipis, 65 undi) dan pilihan raya kecil Galas (4 November 2010) juga merosot sebanyak 10.25 peratus (PAS kalah agak besar, -1,190).
Justeru ada berkemungkinan beberapa Dun yang berlaku olakan beralih sokongan rakyat dari 1999 ke 2004 yang lebih daripada 5 peratus ke atas (rujuk Jadual 1), perlulah mengambil langkah yang berstrategik bagi menangani isu-isu pilihan raya yang sedang berlegar ligat sekarang ini. Mudah-mudahan mood jentera PAS dan mood pengundi tidak akan berlaku seumpama pilihan raya 2004.  Justeru PAS akan terus utuh menguasai kemenangan bergaya pada PRU-13 dengan izin-Nya.

No comments: