Saturday, February 11, 2012

PRU13 : Daim mahu Raja Nong Chik Ganti Sharizat di Lembah Pantai

Post Pic
KUALA LUMPUR, 11 FEB: Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin berkata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin adalah calon paling sesuai untuk merampas balik kerusi Lembah Pantai pada pilihanraya umum akan datang.
Daim yang jarang memberi komen mengenai politik semasa berkata agak sukar untuk Ketua Wanita Umno Datuk Sharizat Jalil bertanding sekali lagi di Lembah Pantai setelah tewas pada PRU tahun 2008.
"Saya tidak nampak Shahrizat boleh ke kawasan ini...kerana dia kalah. Kalau kalah, nak cuba lagi...saya ingat susahlah. Itu pandangan saya,” kata beliau di satu majlis anjuran Umno di Lembah Pantai, semalam.
.
“Sekarang ada ketua bahagian, seorang menteri (Raja Nong Chik). Kalau tidak pilih dia, nak pilih siapa lagi" tambah beliau.
Daim yang juga bekas Bendahari Umno  berkata peluang untuk merampas kembali kerusi Lembah Pantai memang ada jika ahli-ahli UMNO bersatupadu dan pucuk pimpinan memilih calon yang betul.
PRU 12 menyaksikan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Nurul Izzah Anwar menewaskan Sharizat untuk merampas kerusi Parlimen Lembah Pantai. Sharizat memperolehi 18,833 undi berbanding Nurul Izzah,  21,728 undi
Daim akur peluang BN menang semula kerusi parlimen itu bukan mudah kerana Nurul Izzah adalah seorang yang popular dang memegang jawatan penting dalam  PKR .
Beliau turut menuntut kerajaan supaya menyelesaikan isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) untuk mengelakkan pembangkang mempolitikkannya.
Daim juga menggesa ahli Umno sentiasa mengutamakan displin dalam parti yang menurut beliau menjadi faktor penyebab parti itu kalah teruk pada pilihanraya umum lalu.
 “Pada PRU12  kebanyakkan kerusi tumbang bukan kerana parti pembangkang kuat tapi akibat kelemahan kita kerana tidak bersatupadu, Kita kena mengakuinya, kalau kita tidak mengaku, kita tidak akan berjaya selepas ini,” tegas beliau.
Malah, katanya Sharizat sendiri tewas di Lembah Pantai kerana sabotaj dalaman di Umno.
Pandangan Daim sekaligus memberi tekanan kepada Shahrizat untuk melepaskan jawatannya dalam kabinet dan  juga parti, susulan isu NFC dan salahguna pinjaman RM250 juta kerajaan membabitkan suami dan anaknya.
Sharizat sebelum ini mengaskan beliau tidak akan meletak jawatan sebagai Ketua Wanita Umno tetapi menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk memutuskan kedudukan beliau dalam kabinet.
Sharizat bertegas beliau tidak ada kena mengena dengan NFC dan mahu memberi fokus penuh untuk memastikan kejayaan BN pada PRU akan datang.
Parti Keadilan Rakyat sebelum ini mendakwa sebahagian daripada pinjaman kerajaan itu,  digunakan oleh syarikat milik suami Shahrizat untuk membeli kondominium mewah, tanah dan perbelanjaan lain yang tidak ada kaitan dengan industri ternakan daging.

No comments: