KUALA LUMPUR, 21 Feb: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau berasa lega kerana dapat memberikan penjelasan kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung kenyataan kontroversinya tentang Israel.
Beliau juga berkata dengan penjelasan itu, beliau mengaggap salah faham yang timbul sebelum ini selesai.
"Tok Guru Nik Aziz dengar dan faham pendirian saya, dan saya pun faham pertimbangan PAS yang cukup tegas dan keras dalam soal Israel. Bagi saya, kita dah jelaskan dan perkara ini tidak berbangkit dan kita akan terus dengan program bersama seperti biasa.
"Saya rasa baik kerana telah beri penjelasan terhadap sedikit sebanyak keraguan dalam hal ini," katanya yang juga ketua pembangkang kepada pemberita selepas pertemuan itu.
Pertemuan kira-kira 45 minit itu berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pagi ini.
Turut serta pada pertemuan itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurut Anwar, beliau menjelaskan kepada Nik Aziz bahawa salah faham isu itu timbul ekoran media Umno yang hanya menggunakan sebahagian sahaja daripada kenyataannya yang disiarkan oleh akhbar Wall Street Journal bulan lalu.
Ianya sekaligus memberi salah tafsiran terhadap pengiktirafan Israel sedangkan ia bukan bermaksud sedemikian.
"Masalahnya saya sebut, media Umno hanya guna bahagian pertama sahaja, bahawa ada kesediaan mengiktiraf dan mengawal keselamatan tetapi tidak ditekankan 'tertakluk kepada syarat-syarat, contingent'," katanya lagi.
Antara syarat tersebut katanya termasuk pengunduran tentera Israel dari Palestin dan negara arab lain, menghentikan kepungan terhadap Gaza dan mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin.
Turut dikongsi kepada Nik Aziz katanya pendirian pemimpin Hamas Khaled Mashal yang menerima penjelasan beliau sebelum ini.
"Dalam perbincangan dengan Khaled Mashal dia sebut "I know the word contingent".
"Akhirnya saya bagi tahu (Nik Aziz), saya tunduk dengan apa yang dikehendaki Hamas dan Fatah dan apa yang dirunding di Doha dua minggu lalu," katanya.
Dalam pada itu, Anwar juga mendakwa pendiriannya dengan PAS bukan perbezaan ketara namun yang berbeza sebenarnya adalah dengan Umno.
Menurutnya, Umno hipokrit dalam isu Israel ini apabila mendabik dada kononnya mereka tidak mengiktiraf Israel sedangkan kata Anwar pada masa sama Umno juga mengadakan hubungan perdagangan dengan negara itu.
Malah perdana menteri, menteri dalam negeri dan menteri pertahanan sendiri masing masing mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari negara itu, kata Anwar. -Hrkh
No comments:
Post a Comment