GALAS: PAS Tetap Lawan.
PAS tetap lawan biarpun Ku Li calon Galas
KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, TG Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yakin Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada 4 November nanti.
Mursyidul Am PAS itu berkata, jika Tengku Razaleigh ingin menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pasti beliau sudah bertanding ketika Ahli Parlimen Gua Musang itu menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.
Bagaimanapun, TG Nik Abdul Aziz, berkata PAS tidak akan memberi kemenangan percuma jika Tengku Razaleigh menjadi calon dalam pilihan raya kecil itu biarpun Ahli Parlimen tersebut pernah memberikan sokongan kepada kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS berhubung isu tuntutan royalti minyak.
"Tuntutan royalti dan menentang calon dalam pilihan raya adalah perkara yang berbeza," katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Lapan Briged di sini, hari ini.
Kerusi DUN itu kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, di Kuala Lumpur akibat barah usus pada 27 September lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hari ini bahawa penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan pada 26 Oktober dan pengundian pada 4 November.
Mengulas tarikh mengundi pilihan raya kecil itu, TG Nik Abdul Aziz berkata, jentera PAS sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.
"Bagi PAS akan yakin menang juga sekalipun yang dicalonkan itu Tengku Razaleigh," katanya.
Mengenai pemilihan calon PAS, beliau berkata, pihaknya sudah mempunyai calon yang sesuai untuk diketengahkan.
"Calon memang ada dan sekarang ini makin ramai orang layak jadi calon, kerana kita tunjuk secara fizikal dan praktikalnya di Kelantan, yang menyebabkan orang Melayu, orang Cina pun sudah tertarik," tambahnya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment