Friday, October 29, 2010

Blogger Pro UMNO Memfitnah Sultan Kelantan

Kempen Galas heret Sultan Kelantan, istana nafi terlibat

GUA MUSANG, 29 Okt — Kempen pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang masuk hari keempat hari ini, mula “panas” dengan dakwaan bahawa kerajaan negeri pimpinan PAS menggunakan Sultan Kelantan untuk memancing undi.

Khabar angin tersebar luas di Gua Musang sejak pagi tadi bahawa Sultan Muhammad V akan mengunjungi Gua Musang hujung minggu ini untuk mengurniakan geran tanah pada satu majlis kerajaan negeri, yang didakwa akan digunakan untuk menaikkan reputasi PAS menjelang hari pengundian minggu depan.

Bagaimanapun Istana Kelantan menafikan Sultan Muhammad V akan berada di Galas menjelang hari pengundian 4 November ini.

Blog pro-Umno The Unspinners mendakwa kerajaan negeri bercadang untuk memberi 1,200 Orang Asli geran tanah.

Satu lagi blog, Bigdogdotcom pula mendakwa adalah malang jika Sultan Muhammad V dimanipulasikan oleh sebuah parti politik ketika kempen, laporan yang dilihat mendakwa Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggunakan pihak istana.

“Adalah malang jika Duli Yang Maha Mulia Sultan digunakan sebagai alat oleh sesetengah pihak ketika kempen proses demokratik, khususnya dalam pilihan raya.

“Pilihan raya adalah persaingan antara parti politik dan ahli-ahli politik,” kata tulisan blog yang disiarkan semalam.

Bagaimanapun sumber-sumber Istana Kelantan menafikan yang Sultan Muhammad V akan melawat Galas dalam tempoh terdekat.

Sumber itu menambah, baginda juga telah menangguhkan kesemua pertemuan dengan Exco Kerajaan Negeri yang dijadualkan sebelum 4 November.

“Malah, Sultan pun tiada di negeri dan baginda tidak akan mengunjungi Gua Musang sehingga pilihan raya berakhir,” kata satu sumber istana kepada The Malaysian Insider.

Sultan Muhammad V yang dimashyurkan sebagai sultan bulan lalu telah mengunjungi bahagian Gua Musang minggu lalu sebelum bermulanya tempoh berkempen untuk mengurniakan geran tanah kepada lebih 100 penduduk.

Bagaimanapun difahamkan tiada ahli politik dibenarkan menghadiri majlis itu.

“Tidak ada ahli politik dibenarkan menghadiri majlis itu disebabkan sensitiviti, Tuanku hanya diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Aiseri Alias dan pegawai-pegawainya,” kata sumber.

“Sultan bijak, baginda tahu peranan baginda, baginda faham situasi, jadi baginda tiada rancangan untuk melawat Gua Musang ketika tempoh berkempen,” katanya.

Dalam pada itu, Pengelola Istana Datuk Abdul Halim Hamad yang mengesahkan tiada kunjungan diraja ke bahagian Gua Musang menjelaskan, majlis pengurniaan geran tanah minggu lalu telah dijanjikan oleh Sultan Muhammad V tahun lalu ketika baginda masih pemangku Sultan Kelantan.

“Mereka yang menerima geran tanah merupakan mereka yang memohon terus kepada baginda, ketika baginda masih Tengku Mahkota,” kata Halim.

“Permohonan ini diluluskan baru-baru ini dan Tuanku memutuskan untuk mengurniakan secara peribadi dalam perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya.

Halim menafikan ia keputusan politik.

“Ia adalah rutin baginda. Bukan sahaja di Gua Musang, baginda melawat seluruh negeri untuk menyampaikan sokongan dan bantuan kepada mereka yang memerlukannya,” kata Halim.

“Istana tidak terlibat dalam kempen. Mereka boleh berkata apa yang mereka mahukan, tetapi istana tidak terlibat dalam politik,” kata Halim lagi.

Jentera kempen Barisan Nasional diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah, ketua Umno Gua Musang, yang merupakan anggota kerabat diraja. -TMI


Pengelola: Tiada program Sultan K'tan di Galas

Pengelola istana Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad hari ini menafikan desas-desus bahawa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V akan menyertai kempen pilihan raya kecil DUN Galas.

Katanya, Istana setakat ini belum mengatur apa-apa program untuk Tuanku Muhammad Faris Petra, seperti yang dilaporkan dalam satu blog hari ini.

"Kita akan siasat," kata Abdul Halim yang akan mencetak kandungan tulisan di laman berkenaan dan akan merujuk perkara itu kepada Tuanku Muhammad Faris.

"Setakat ini belum atur apa-apa program lagi (di Gua Musang)" katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Sementara itu, ketua jajahan Gua Musang Wan Mustapha Wan Ab Hamid berkata beliau tidak tahu menahu mengenai program pemberian geran tanah kepada Orang Asli, seperti dilaporkan blog berkenaan.

"Itu tidak betul. Tak ada, tak ada. Saya tak ada dengar berita seperti itu," katanya ketika dihubungi.

"Tuanku sentiasa berkecuali, dia tidak boleh terlibat dengan kempen pilihan raya," katanya yang juga pegawai pengurus bagi pilihan raya kecil DUN Galas. -mk

No comments: