Wednesday, October 27, 2010

Akhirnya Penjaga Gunung Merapi, Tewas Dimamah Lahar...

YOGYAKARTA: Penjaga 'kunci' Gunung Merapi Mbah Maridjan alias Mas Penewu Suraksohargo akhirnya tumpas kepada debu panas merapi yang memuntahkan laharnya lewat petang Selasa.

Kematiannya disahkan oleh Raja Kraton Yogyakarta, Sri Sultan HamengkuBuwono X yang menghantar adiknya untuk membuat pengecaman ke atas jenazah Mbah Maridjan.

Pelantikan Mbah Maridjan sebagai 'penjaga' Gunung Merapi merupakan sebahagian daripada adat turun temurun Kesultanan Jawa sejak dahulu kala lagi.

Allahyarham dilantik sebagai pemegang kunci gunung tersebut oleh ayahanda kepada Sultan HamengkuBuwono X iaitu Sri Sultan HamengkuBuwono IX.


Sejarah kuno Jawa percaya, penjaga gunung ini mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan tuannya iaitu gunung berapi tersebut.

Atas sebab itu jugalah nama Mbah Maridjan menjadi popular ketika Gunung Merapi meletus pada tahun 2006. Ia bersama sejumlah warga Kinahrejo Kecamatan Cangkringan Sleman yang tinggal di kawasan yang disifatkan sebagai kawasan bencana itu enggan berpindah kerana menurut firasatnya gunung tersebut tidak akan memuntahkan laharnya.

Padahal saat itu, Gunung Merapi sudah masuk ke peringkat bakal meletuskan lahar pada bila-bila masa sahaja.

Bahkan Sri Sultan Hamengku Buwono X sempat memerintahkan dia untuk turun dari pergunungan itu. Rumah Mbah Maridjan hanya terletak empat kilometer sahaja dari puncak Merapi.

Namun beliau enggan mendengar arahan itu yang dianggap sebagai ingkar perintah Sultan.

Benar sungguh, Merapi tidak segawat yang diperkatakan ahli-ahli geologi. Firasat Mbah Maridjan itu menjadikannya popular.

Namanya terus melambung dan kemudian menjadi bintang iklan sebuah minuman bertenaga. Duit pun mengalir deras ke kantongnya.

Namun selebriti tua ini tidak menikmati keuntungan dari hasil duit iklan itu sendirian. Sebaliknya, dimanfaatkan untuk kepentingan masyarakat. Di daerah Kinahrejo, beliau bukan sahaja membangunkan masjid malah gereja hasil daripada wang tersebut.

Beliau dipetik sebagai berkata, biar warga di sana beribadah sesuai mengikut keyakinan masing-masing. Mbah Maridjan sendiri adalah seorang penganut Islam yang warak.

Jasadnya ditemui para penyelamat dalam keadaan sedang sujud menyembah tuhan yang maha kuasa.

Selain itu, Mbah Maridjan acap kali menyalurkan beras kepada warga yang memerlukannya.

Mbah Maridjan dilahirkan di Dukuh Kinahrejo, Desa Umbulharjo, Cangkringan, Sleman pada tahun 1927.

Penglibatannya sebagai penjaga Gunung Merapi bermula pada tahun 1970 apabila ayahanda kepada Sultan Kraton sekarang melantiknya sebagai pembantu kepada pemegang kunci gunung.

Beliau dilantik sebagai pemegang kunci Gunung Merapi pada tahun 1982. Mbah Maridjan mempunyai beberapa anak, yakni Mbah Ajungan, Raden Ayu Surjuna, dan Raden Ayu Murjana.

No comments: