Saturday, October 30, 2010

Antara Fatmi Dan Ramzi,Dalam Mata Umno

Mohd Sayuti Omar
KETIKA berada di tempat di lokasi persiapan perarakan calon Umno di Galas tempoh hari saya kesempatan memerhati lagak dan gaya para ahli dan pemimpin Umno. Paling ketara ialah bagaimana pemimpin Umno yang berkedudukan dan ada kuasa dihormati dan dikerumuni macam burung ketut (pungguk) dihurungi oleh sang burung-burung lain.

Mereka yang ada kuasa atau talian terus dengan sang penguasa ini nampak sekali dirai dan disanjung. Semua datang bersalam ataupun bertepuk bahu, bercanda menunjukkan kemesraan dengannya.

Berlainan dengan mereka yang tidak ada kuasa atau pun hubungan langsung dengan menteri atau perdana menteri. Atau lebih tepat dikatakan bekas. Mereka ini tidak dipedulikan lagi. Kalau bersalaman pun ala kadar sahaja dan tidak berlama-lamaan untuk bertanya khabar dan bergurau senda seperti mana dengan orang yang ada kuasa. Kalau bersalam dengan orang ada kuasa lama dan mahu pula menunjukkan yang mereka akrab dan rapat. Jika ada jurukamera lalu mereka akan bertengek dekat orang berkuasa itu untuk diambil gambar.

Untuk memberi gambaran ini saya mengambil contoh macam mana perbezaan layanan orang Umno kepada dua orang yang keduanya saya kenal dan baik dengan saya, Fatmi Che Salleh dan Ramzi Abdul Rahman. Dari segi pencapaian politik di Kelantan mereka ini lebih kurang saja. Fatmi adalah ketua bahagian Umno Kota Bharu, manakala Ramzi ketua bahagian Kuala Krai. Mereka kini hanya dibezakan oleh kedudukan, Fatmi selaku setiausaha politik perdana menteri manakala Ramzi pula bekas setiausaha politik perdana menteri.

Sebenarnya kehebatan dan kegahan yang dirasai Fatmi kini sudah dilalui oleh Ramzi. Aura ataupun sanjungan orang terhadap Fatmi kini sudah dikecapi Ramzi. Bagaimana kuasa yang ada kepada seorang setiausaha politik sudah dilaluinya. Tetapi ternyata sekali di antara penyandang dan bekas penyandang jawatan yang sama itu bezanya seperti Kutub Utara dengan Kutub Selatan, atau seperti ikan selayang dengan ikan aya.

Di lokasi itu saya memerhatikan tanpa di sedari kedua mereka. Sebaik saja Fatmi muncul di tempat perarakan itu semua orang berebut-rebut untuk bersalaman dengannya. Beliau diikuti macam anak ayam yang mengejar ibunya melarikan seekor cacing. Tidak cukup tangan Fatmi untuk bersalaman dengan setiap orang yang mendekatinya.

Kemunculan Rais Yatim di situ juga diatasi oleh kemunculan Fatmi. Saya nampak Rais tidak begitu dikerumuni oleh orang Umno.

Sebentar kemudian masuk pula Ramzi bersendirian. Tiada sesiapa mengekori sebagai pengawal atau pun jong dondangnya. Tidak ada siapa menyambut beliau. Seolah kemasukan atau kehadirannya tidak disedari. Mereka yang mengerumini Fatmi tidak beralih pandangan. Paling jelas Ramzi pula yang terkayan-kayan untuk mencari kawan ataupun cuba menyelitkan diri dalam kelompok itu elit itu, tetapi tidak begitu dipedulikan.

Setelah menyedari beliau tidak penting, Ramzi berjalan bersendirian. Dari kejauhan saya dapat merasakan betapa dia merasa tidak berguna dalam keadaan itu. Apa yang dilalui itu amat berbeza semasa beliau menjawat jawatan setiausaha politik. Ketika memegang jawatan itu, keadaanya samalah seperti Fatmi hari ini, tidak cukup tangan beliau bersalaman dengan para peminat yang semuanya menyimpan 'anak kerengga' dalam baju.

Apa yang saya saksi itu menjelaskan keadaan di dalam dunia Umno. Bahawa begitu sekali maruah dan darjat seseorang itu akan jatuh ke bumi kalau dia tidak lagi ada kuasa. Keadaan begitu hina sekali serolah-olah itik tidak sudu ayam tidak patut.

Kenapa ini berlaku? Jawabnya tidak lain kerana Umno tidak mengajar budaya menghormati sesama manusia sebagai hamba Allah. Tidak menghormati sesama manusia sebagai ahli Umno. Sebaliknya Umno membawa budaya, seseorang itu perlu dihormati bila ia ada kuasa dan kedudukan. Semua itu boleh ditafsirkan bahawa Umno adalah pertubuhan yang mengajar manusia menghormati orang kerana kuasa dan kedudukan bukan menghormati orang kerana darjahnya sebagai manusia atau ahli parti.

Jadi tidak hairanlah kalau ramai kalangan ahli Umno yang sudah tidak berkuasa merasakan mereka disisih dan dilupakan kemudian perlahan-lahan akan menginsutkan langkah mendeakti parti lain ataupun mengambil sikap bermain dengan cucu dan cicit di kebun belakang rumah
.

No comments: