Wednesday, February 3, 2010

Kes Anwar: Perbicaraan beralih ke Kondo Desa Damansara


Prosiding perbicaraan kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim ditangguhkan sehingga petang bagi membolehkan mahkamah membuat tinjauan di tempat kejadian iaitu Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini.

Justeru prosiding akan disambung semula pada pukul 2.30 petang.

Perbicaraan kes liwat melibatkan Anwar masuk hari kedua hari ini dengan pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, memberi keterangannya secara tertutup di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Anwar memasuki mahkamah pada 10.02 pagi and perbicaraan bermula pada 10.30 pagi.

Seorang daripada peguam Anwar, Ramkarpal Singh Deo berkata Saiful masih memberikan keterangan dalam pemeriksaan utama oleh Peguamcara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mengetuai pasukan pendakwaan.


Saiful, bekas pembantu peribadi Anwar, adalah saksi pertama yang memberi keterangan apabila kes itu bermula semalam di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Sebahagian sesi perbicaraan petang semalam juga diadakan secara tertutup atas permintaan peguam Anwar.

Semalam Mahkamah Tinggi yang memulakan perbicaraan kes liwat Anwar, digemparkan dengan dakwaan mangsa Saiful bahawa beliau diajak oleh ketua pembangkang itu untuk mengadakan hubungan seks di luar tabii.

Saiful, 24, berkata perkara itu berlaku pada 26 Jun 2008 selepas beliau dan Anwar selesai berbincang mengenai jadual kerja di sebuah unit kondominium Desa Damansara di sini.

Ketika pemeriksaan utama oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abidin, Saiful berkata pelawaan Anwar itu dibuat selepas beliau menyerahkan dokumen yang dibawanya dari pejabat kepada Anwar.

Anwar mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan pada perbicaraan di hadapan Hakim Mohamad Zabidin.

Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Anggota Parlimen Permatang Pauh, dituduh meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Perbicaraan bermula 18 bulan selepas Anwar didakwa di mahkamah pada Ogos 2008.

Dalam ucapan pembukaannya, Mohd Yusof berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa kesan air mani daripada spesimen yang diambil dari dubur Mohd Saiful yang telah disahkan oleh Jabatan Kimia, milik Anwar.

Anwar diwakili tujuh peguam yang diketuai Karpal Singh.

Mohamed Yusof dibantu oleh tujuh timbalan pendakwa raya yang terdiri daripada Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin, Farah Azlina Latiff, Mira Mirna Musa dan Naidatul Athirah Azmad.

Selain Karpal, Anwar juga diwakili peguam Datuk Param Cumaraswamy, Datuk CV Prabakharan, Ram Karpal, SN Nair, Mohd Radzlan Jalaludin dan Marisa Regina Fernando

No comments: