Tuesday, February 23, 2010

Asri Sedia hadapi Nakhaei Di Mahkamah

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini bersedia memberi keterangan di mahkamah berhubung dakwaan bahawa beliau telah mengeluarkan tiga kenyataan fitnah terhadap bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad.

Dr Mohd Asri diminta mengulas tindakan Nakhaie, 57, memfailkan saman fitnah RM1.5 juta terhadapnya. Saman itu difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur pagi tadi, terhadap bekas mufti Perlis itu serta tujuh yang lain, termasuk editor dan wartawan akhbar Sinar Harian.

Kenyataan fitnah itu didakwa dibuat dalam satu persidangan media pada 1 November tahun lepas dan dua artikel yang diterbitkan oleh Sinar Harian pada 2 dan 5 November tahun yang sama.

"Saya sudah bersedia, kalau nak saman saya, kita jawablah di mahkamah. Saya serahkan perkara ini kepada peguam saya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Dalam saman itu, Nakhaie menamakan Asri, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Akhbar Cabaran Sdn Bhd, Datuk Hussamuddin Yaacub, Sri Diah, Azmi Tarmizi, Lailatun Khalilah Nasir dan Siti Azila Alis sebagai defendan.

Nakhaie juga adalah pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) mendakwa kenyataan itu memberi gambaran buruk bahawa beliau adalah pihak yang menjadi dalang dalam isu memorandum menentang pelantikan Asri daripada menjadi Yang Dipertua (YDP) Yadim, dan ada penyelewengan berlaku di insitusi tersebut.

Nakhaie juga mendakwa akibat daripada tindakan defendan pertama (Dr Mohd Asri) yang dikeluarkan di akhbar terbabit, kewibawaan dan reputasinya kian merosot.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Asri berkata, beliau tidak menyebut nama Nakhaie sebagai dalang dalam isu memorandum tersebut.



No comments: