Thursday, February 5, 2009

Kronology Rampasan Kuasa di Perak-terkini

Polis tembak gas pemedih mata ke arah orang ramai

- 3.11pm Kelihatan sejumlah orang baring di atas jalan menuju istana untuk menghalang sesiapa ke arah istana. Sekejap tadi polis berjaya menyuraikan kumpulan 300 orang tadi.

- 3.08pm Kira-kira 300 orang menghalang jalan menuju istana. Polis pencegah rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi kali ketiga ke arah mereka. Sementara itu, polis menangkap para penyokong menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin. Tiada angka rasmi jumlah tangkapan diketahui, setakat ini.

- 3.01pm Polis pencegah rusuhan mengejar orang ramai di jalan depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Mereka berlari tidak tentu arah dalam keadaan asap tebal gas pemedih mata. Beberapa orang penyokong kelihatan membaling objek seperti kayu ke arah polis. Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.

- 2.58pm Perkumpulan orang ramai mula berundur ke dalam kawasan perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar sekali lagi selepas polis melepaskan gas pemedih mata bagi kali kedua. Jumlah mereka dianggarkan 3,000 orang. Lebih banyak gas pemedih mata dilepaskan, termasuk ke arah tempat letak kereta masjid. Mereka masih mendesak ingin bergerak ke Istana Iskandariah, tempat berlangsung majlis angkat sumpah menteri besar baru Datuk Dr Zambry Abd Kadir jam 3.30 petang ini.

- 2.50pm Polis mengarahkan orang ramai bersurai. Penyokong Pakatan Rakyat kini berada di tepi jalan. Gas pemedih mata dilepaskan sekali lagi. Lima trak polis kelihatan, tiada kenderaan pemancut air kelihatan. Tiada tangkapan dilaporkan, setakat ini. Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.

- 2.40pm Perkumpulan orang ramai yang bertempiaran bergabung semula di atas jalan depan Masjid Ubudiah selepas polis melepaskan gas pemedih mata. Polis pencegah rusuhan dari arah Istana Iskandariah sedang menuju ke arah ratusan penyokong Pakatan Rakyat itu. Kedengaran siren polis.

- 2.26pm Mereka merempuh sekatan polis di luar pintu masuk Masjid Ubudiah untuk berarak ke Istana Iskandariah. Kira-kira 50 anggota polis termasuk unit pencegah rusuhan FRU terpaksa mengelak dan berdiri di tepi jalan. Polis melepaskan gas pemedih mata, kedengaran sekurang-kurangnya tiga das ke arah kumpulan orang ramai. Sebahagian kumpulan itu berundur semula ke dalam kawasan pagar masjid, sementara sebahagian lagi lari bertempiaran di tepi jalan menuju istana.

-2.10 pm Beberapa ratus orang, termasuk wanita, penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di Masjid Ubudiah selepas solat Jumaat sebentar tadi. Mereka dijangkakan berarak ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar yang terletak beberapa ratus meter dari masjid.

Saman Sultan Azlan & Kerajaan BN baru

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan menyaman Sultan Perak, Sultan Azlan Shah jika Barisan Nasional (BN) mengambil alih kuasa dengan Menteri Besar baru mengangkat sumpah hari ini. Pengerusi DAP, Karpal Singh mendakwa, Sultan Perak telah bertindak di luar bidang kuasanya dalam mengenepikan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Nizar. Katanya, Nizar akan memfailkan saman terhadap Sultan dan kerajaan negeri yang baru di Mahkamah Tinggi Ipoh, Selasa ini jika BN mengambil alih kuasa. Semalam, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak berkenan untuk membubarkan DUN seperti yang dipohon Pakatan Rakyat dan menitahkan Nizar meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar. Pejabat Sultan Perak mengeluarkan kenyataan pada 2.15 petang semalam yang menyatakan bahawa Sultan Azlan Shah telah menitahkan Nizar meletak jawatan setelah baginda berpuas hati Menteri Besar itu tidak lagi mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ekoran tindakan empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat keluar daripada parti masing-masing untuk menyokong BN.

Speaker pohon upacara angkat sumpah MB Perak ditangguh

IPOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar berkata, beliau akan menulis surat kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi memohon perkenan baginda supaya menangguhkan upacara mengangkat sumpah Menteri Besar yang baru. Sivakumar berkata, beliau akan menghantar surat pada jam 3 petang ini untuk tujuan itu dan turut memohon perkenan Sultan untuk mengadakan mesyuarat DUN tergempar. Upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dijadualkan pada pukul 3.30 petang ini di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Pelantikan beliau itu telah mendapat perkenan daripada Sultan Perak, semalam.

UMNO menggunakan apa sahaja untuk menghalau Mohd NizarDatuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin diarah keluar dari pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pagi ini. Beliau diarah keluar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim. ,Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.06 pagi ketika Mohammad Nizar sedang mengadakan sidang akhbar di pejabat Menteri Besar sebelum Abdul Rahman masuk dan meminta semua yang berada dalam bilik termasuk termasuk wartawan keluar dengan cara yang biadap. Tindakan Abdul Rahman itu membuatkan yang hadir tidak berpuas hati. Mohammad Nizar bersama beberapa `Exco kerajaan negeri' kemudiannya keluar meninggalkan Bangunan Perak Darul Ridzuan pada pukul 10.40 pagi dan membuat kenyataan di rumah kediamannuya, seperti gambar di atas.

Pengkhiatan kepada Pakatan Rakyat

SULTAN Perak Sultan Azlan Shah (tengah) dan Raja Muda Raja Dr Nazrin Shah (kiri) menerima menghadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang Hee Yit Foong di Istana Kinta di sini, semalam berikutan tindakannya keluar dari DAP dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN). Baginda turut menerima menghadap tiga lagi ADUN Pakatan Rakyat yang keluar dari parti masing-masing dan memberi sokongan kepada BN. Terdahulu, Sultan Azlan Shah menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga Pengerusi BN Perak bagi mendapatkan perkenan baginda untuk BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri

Pertahan Perak hingga titisan darah terakhir

IPOH, 6 Feb (Hrkh) - "Kita akan mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat Perak sehingga ke titisan darah terakhir," demikian penegasan Menteri Besar Perak Dato' Seri Mohd Nizar Jamaludin di hadapan kira-kira 10,000 penyokongnya yang membanjiri kediaman rasmi malam tadi. Beliau yang memberi ucapan yang berapi dan penuh semangat demi mempertahankan kerajaan rakyat daripada dirampas oleh kerajaan BN. Nizar dalam ucapan penutupnya itu berjanji akan berjuang habis-habisan untuk merobohkan Umno dan BN yang telah membuat rakyat negeri ini huru-hara. Beliau juga berkali-kali membuat penegasan tidak akan meletak jawatan Menteri Besar biarpun sudah mendapat arahan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak. Terdahulu, beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat diberi peluang memberi ucapan antaranya, Exco Kanan Perak, Ngeh Koo Ham; Pesuruhjaya PAS Perak,Ustaz Ahmad Awang; Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub; Ketua Muslimat PAS,Ustazah Nuridah Salleh dan Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin. Orang ramai mula membanjiri kediaman Menteri Besar seawal jam 6 petang sebaik sahaja mendapat maklumat permit untuk berhimpun di Stadium Ipoh tidak dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Suasana agak luar biasa, apabila rakyat berbilang bangsa Melayu, Cina dan India datang berduyun-duyun mendengar amanat pimpinan mereka, walaupun terpaksa duduk di atas rumput yang basah dek hujan turun bermula tengah hari itu. -

10,000 penyokong PR berkampung di kediaman MB Perak




















Kesemua 28 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini akan memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru esok, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Beliau berkata, kesemua mereka yang bermesyuarat petang tadi telah memutuskan untuk tidak menghadiri majlis itu dengan alasan beliau masih Menteri Besar yang sah dan belum meletakkan jawatan. "Saya telah diarahkan untuk meletakkan jawatan dan sekiranya saya berbuat demikian bermakna secara automatik keseluruhan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meletakkan jawatan. "Niat buruk Barisan Nasional untuk menjatuhkan kerajaan negeri berpunca daripada perasaan takut selepas kekalahan dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu...pelbagai keadilan, ketelusan dan kebajikan yang telah ditunjukkan selama 10 bulan memerintah amat menakutkan mereka," katanya dalam forum khas yang diadakan di kediaman Menteri Besar di sini malam ini. Lebih 10,000 penyokong PR berkampung di kediaman ini selepas perjumpaan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Perak gagal kerana stadium telah dikunci.

No comments: