Friday, December 24, 2010

Antara tugas-tugas polis - Pukul Orang !!

Dia ditumbuk bertubi-tubi, digari, ditendang dan dipijak. Bermuntah darahnya, terpelantingnya pada dinding. Dia ditendang sehingga jatuh berguling-guling dari tangga. Wang tunainya sebanyak RM13,000 hilang entah ke mana. Dia dipaksa buat laporan bahawa kecederaan ini disebabkan kemalangan jalanraya. Dia diugut untuk diletakkan dadah dan parang dalam keretanya. Malah, perniagaannya, keselamatan dirinya dan keluarganya akan terancam seandainya beliau membuat laporan polis.

Demikianlah pengalaman Chia Buang Hing (gambar kanan), yang enggan menyogok polis dengan rasuah ketika ditahan kerana cukai jalan kereta isteri yang dipandunya telah melewati tarikh luput. Chia meminta agar polis menyaman dirinya, tetapi dibalas dengan tumbukan bertubi-tubi oleh anggota polis. Beliau dibawa ke balai polis, dibelasah tujuh orang anggota sehingga muntah darah.

Chia Buang Hing yang takut dirinya "mati buta-buta" seperti Teoh Beng Hock secara senyap-senyap meninggalkan cop jari darahnya pada dinding, almari, cermin dan pintu tandas di Jabatan Nakrotik ketika dibawa ke sana. Beliau tidak dapat kencing lagi ketika disuruh untuk berbuat demikian kerana habis air kencingnya ketika dipukul polis.

Lelaki yang berumur 34 tahun ini pernah dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya untuk permohonan reman. Beliau yang sudah cedera, berdarah dan tidak terdaya untuk berdiri mengadu kepada majistret, bahawa dirinya dipukul polis dan duitnya diambil polis. Chia Buang Hing memohon untuk menghubungi isteri dan ibunya, tetapi semuanya tidak dipeduli. Dia dipukul lagi selepas dibawa keluar mahkamah.

Demikianlah pengalaman lima hari Chia Buang Hing, yang didedahkan dalam satu sidang media bersama ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng, pagi ini. Chia Buang Hing akhirnya dilepaskan pada 22 Disember, selepas Pegawai Penyiasat (IO) Azizuddin mengetahui beliau tidak bersalah dan diseksa polis, malah menyuruh Chia membuat aduan selepas itu.

Sembunyikan diri dalam longkang

Chia Buang Hing yang masih diselubungi ketakutan, tidak berani untuk masuk ke balai polis secara bersendirian. Menurut pembantu peribadi ADUN Damansara Utama, Cheah Wing Yin yang mengaturkan agar ahli parlimen Segambut Lim Lip Eng membuat aduan bersama Chia di balai polis Shah Alam semalam, berkata mereka tidak menjumpai Chia Buang Hing setelah tiba di balai.

Apabila dihubungi dengan telefon, barulah mereka mendapati bahawa Chia Buang Hing bersembunyi di dalam longkang kerana terlalu takut untuk masuk ke Balai Polis secara bersendirian. Meskipun melalui segala penyeksaan ini, Chia Buang Hing masih bersyukur, "Saya berterima kasih kepada Tuhan, kerana nyawa saya masih hidup bila keluar (dari balai polis). Saya ingat, dalam balai polis ... saya akan mati di situ. Saya rasa tak ada harapan lagi. Bila saya minta nak hubungi isteri dan ibu, mereka memijak saya dengan lebih kuat... Jadi saya percaya saya akan mati."

Chia Buang Hing menyeru, "Saya mengharapkan bantuan anda. Saya tidak berharap peristiwa macam ni berulang. Seorang yang pukul saya berkata, banyak kes yang tidak disiasat, banyak yang dipukul mati..."

Beliau menahan sebak ketika mengenang apa yang berlaku beberapa hari lalu, berkata "Dengan bantuan YB dan peguam, rakyat, jangan perkara ini berulang pada orang lain... Saya masih berani untuk tampil dan menyuarakannya, kerana ia berlaku pada diri saya. Walaupun doktor kata tidak apa lagi (kecederaannya), tapi saya asyik pening kepala saja beberapa hari ni..."

Polis nampak wang nota

Peristiwa ini berlaku pada jam 11 malam, 18 November, apabila Chia Buang Hing memandu Proton Waja milikan isterinya dari rumahnya di Tropicana menuju ke Kota Damansara. Beliau ditahan polis yang sedang buat halangan jalan (road block) di PJU 3/15, yang memintanya untuk menunjukkan lesen memandu. Chia berkata polis nampak wang nota RM50-nya, ketika beliau menyeluk saku depan seluarnya. Menurut Chia, polis meminta wang daripadanya, tetapi ditolak Chia.

Chia (gambar kiri) berkata kepada polis, "Bang, saya tak mahu bagi duit, saya mahu saman saje. Kalau you angkat duit saya, saya akan report balai." Menurut Chia lagi, anggota polis nampak Kad VIP Kelantannya, seorang polis yang berada di tempat meja berkata, "You Kelantan Istana banyak besar, banyak besar."

Chia mula ditumbuk bertubi-tubi apabila cuba mengambil gambar polis dengan kamera telefon bimbitnya. Chia terus digari, dan dipukul dalam kereta walaupun beliau menjerit "Tolong, polis pukul orang. Polis mahu duit!"

Menurut Chia, pengawal keselamatan di Jalan PJU 3/15 nampak kejadian ini, malah kawannya dalam kereta juga menyaksikan apa yang berlaku. Beliau dibawa ke Balai Polis Dataran Sunway. Beliau terus dipukul, ditendang dan dipijak oleh tujuh orang anggota polis, sehingga Chia muntah darah, cedera di kedua-dua mata, kening sebelah kiri dan di bawah dagu.

Kemudian, seorang anggota polis mengambil wang nota milikan Chia yang berjumlah kira-kira RM10,000 dari sakunya dan taburkan di atas lantai. "You mahu duit ambillah," kata polis tersebut, menurut Chia. Chia mendakwa bahawa dirinya mempunyai RM18,000 pada dirinya, dan beliau hanya keluar balai dengan RM5,000.

Chia Buang Hing ialah pemilik tiga buah kedai pembuat bingkai, dan Pengerusi kepada Kuil Guan-Di di Kuala Lumpur-Selangor. Chia menjelaskan bahawa dirinya memungut wang pendapatan di ketiga-tiga kedainya pada hari itu, untuk membayar jamuan hari jadi ibunya di restoran. Malah, beliau membawa dana bantuan untuk seorang penganut agama dari persatuan kuil-nya. Ini menjelaskan mengapa beliau membawa wang tunai begitu banyak pada dirinya ketika ditahan.

Diugut polis

Chia Buang Hing diugut untuk membuat laporan bahawa kecederaannya disebabkan kemalangan jalan raya, seandainya beliau mahu dibenarkan untuk menelefon isteri dan ibunya, dan dibebaskan. Malah, polis yang menggarinya berkata, "Kalau you tak buat report itu, saya akan taruh parang besar yang berdarah dan taruh dadah dalam kereta awak kasi you supaya kaukau (dahsyat), dan lokap sama lu long term."

Pada jam 3 pagi 19 November, Chia dibawa ke IPD PJ, dan diugut polis untuk menyuntik Chia dengan dadah. Chia diarahkan untuk kencing di Jabatan Nakrotik, tetapi beliau gagal berbuat demikian kerana habis air kencingnya semasa dipukul polis. Menurutnya, polis memasukkan kencing polis sendiri ke dalam botol dan memasukkan sesuatu ke dalamnya.

Chia ditolak oleh polis yang menggarinya sehingga jatuh berguling-guling dari tingkat ketujuh hingga ke tingkat ketiga. Chia mendengar suara polis berbunyi "Mahu tolak lu mati". Pada ketika itu, Chia sudah muntah darah dan berbuih di mulut. Menurut Chia lagi, beliau dibawa oleh lima anggota polis ke satu padang dan ditolak jatuh, namun beliau tidak mati, dan akhirnya dibawa ke hospital.

Selepas pemeriksaan di Hospital Sungai Buloh, Chia terus dibawa ke mahkamah untuk dipohon reman. Aduan Chia tentang kecederaannya dan permintaannya tidak dipedulikan majistret. Chia kemudian dibawa untuk disiasat pegawat penyiasat bernama Azizuddin. Azizuddin membuat panggilan di depan Chia kepada polis yang memukulnya, mendapati Chia tidak bersalah dan diseksa polis.
Chia yang dilepaskan pada 22 Disember, membuat aduan polis semula di balai polis Shah Alam pada 23 Disember bersama Lim Lip Eng. Beliau tidak lagi menaruh kepercayaan kepada polis di IPD Petaling Jaya, dan beliau mendakwa dirinya masih mampu cam polis yang memukulnya.

Menurut Lim Lip Eng, IPK Selangor telah mengesahkan bahawa mereka akan menjalankan siasatan ke atas balai polis Kota Damansara dan mengambil keterangan daripada mangsa kes ini - Merdeka Review

‘Menghadam’ maklumat transformasi


25 Dis — SUATU kaji selidik yang dikendalikan oleh Merdeka Centre mendapati 52 peratus daripada responden yang dikaji selidik tidak tahu tentang program transformasi ekonomi dan daripada 48 peratus yang tahu, 80 peratus daripada mereka memberitahu tidak tahu banyak tentang program tersebut.
Kurang daripada setengah 47 peratus daripada mereka yang dikaji selidik menganggap program-program transformasi ini akan membawa negara kita ke arah negara berpendapatan tinggi.
Ada dua pilihan kepada yang berkenaan untuk melayan maklum balas ini. Pertama, tidak usah dipedulikan kerana maklum balas begini tidak penting dan hanya akan mematahkan semangat mereka yang berfahaman bahawa transformasi ini adalah satu-satunya usaha yang bakal membawa perubahan besar. Kedua, mengambil kira maklum balas ini kerana mereka yang memberikan maklum balas pada hari terbuka program transformasi tempoh hari mempunyai kepentingan sendiri.
Kalau hendak diambil kira maklum balas ini, perlulah sesuatu dilakukan supaya maklumat yang penting sampai kepada fahaman rakyat seperti yang dikehendaki.
Dalam ilmu komunikasi penghantar mesej tidak boleh membuat andaian yang penerima maklumat mempunyai kerangka rujukan sama seperti penghantar maklumat. Banyak maklumat yang dihantar boleh disalah interpretasi atau tafsir atau ditokok tambah mengikut kerangka rujukan si penerima.
Dalam kajian tersebut dinyatakan walaupun sudah banyak maklumat disebarkan tentang program transformasi ekonomi ini tetapi masih rendah lagi tahap kefahaman rakyat. Ini bermakna banyak lagi maklumat yang perlu disampaikan kepada rakyat.
Mungkin roadshow ke setiap negeri perlu diadakan supaya wakil-wakil dari kampung dan daerah dapat menghadiri ceramah ini. Lapisan masyarakat yang bakal dijemput ini tentulah berbeza dengan mereka yang hadir pada hari terbuka tempoh hari.
Apakah penting atau tidak pentingnya rakyat biasa memahami apa yang dilakukan? Atau mereka yang terbabit dengan pelaksanaan program ini sahaja yang perlu ambil tahu, seperti penjawat awam dari peringkat atas sehingga bawah. Mereka ini bakal melaksanakan program-program berjiwa besar.
Kemudian kita juga berhadapan dengan penyebar maklumat yang tidak dipelawa seperti di dalam blog-blog dan alam siber.
Mereka ini sedikit sebanyak akan melentur pemikiran masyarakat awam. Mahasiswa adalah satu-satunya kumpulan rujuk yang berpengaruh yang membaca blog-blog ini dan bila balik bercuti menceritakan kepada ibu bapa mereka fahaman mereka yang tidak semestinya pengertian yang dikehendaki oleh pihak yang bertanggungjawab.
Dua minggu lalu, saya ada menulis tentang risiko program besar-besaran ini.
Pertama risiko daripada pelaksanaannya dan kedua risiko dari segi kewangan. Walaupun kerajaan dijangka membelanjakan lapan peratus daripada RM1.3 trilion dalam masa 10 tahun ini bererti sebanyak RM104 bilion perlu digembeling. Kita memerlukan pertumbuhan tidak kurang enam peratus setiap tahun sehingga 10 tahun untuk mencapai hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi. Pertumbuhan ini banyak bergantung kepada respons daripada sektor swasta kita.
Kita tidak boleh berharap sangat dengan pelabur asing kerana pelabur asing ini banyak juga kerenah mereka dan kalau mereka tahu yang kita ini terlampau ‘terdesak’ sangat, mereka tentu akan jual mahal. Tinggallah syarikat kita yang diharap akan menjana pertumbuhan yang dijangka itu. Apakah mereka ini akan sanggup bertukar haluan dan mengarahkan pelaburan mereka balik ke sini?
92 peratus daripada RM1.3 trilion ialah satu angka yang besar. Mereka yang terbabit dengan projek-projek kemasukan ini akan terpaksa menjual bon kepada orang ramai dari luar dan dalam negeri untuk membiayai projek-projek mereka. Ambil contoh MRT yang bernilai RM36 bilion, tentu sebahagian daripada pakej kewangan pembiayaan melibatkan penjualan bon untuk tempoh matang beberapa tahun.
Baik orang luar mahupun orang dalam negeri, mereka akan menjual bon sebagai salah satu jalan pembiayaan. Tidak ada seorang pun yang akan meletakkan ‘hard cash’ untuk sesuatu projek, kecuali mungkin PNB dengan menara 100 tingkatnya.
Ada baiknya kita melihat apa yang berlaku di Dubai dengan pelbagai rancangan mega mereka yang akhirnya terbengkalai dan bon mereka tidak dapat ditebus balik. Kini, sesetengah hartanah di sana dijual pada paras 20 peratus nilai asal mereka.
Dubai juga mempunyai hasrat untuk menjadi tempat yang terulung di Timur Tengah dengan ramai orang bank berkejar ke sana memberikan pinjaman sehinggalah ‘belon’ hartanah mereka pecah.
Siapakah yang bakal mendapat manfaat daripada Menara Warisan 100 tingkat tersebut misalnya? Macam bangunan KLCC hendak menyewa untuk ruang pejabat pun ramai yang tak mampu. Kemudian ruang untuk jualan, berapa kerat sangat orang Melayu yang mampu berniaga di sana.
Sewa tetap akan terus naik sehinggalah tidak terdaya untuk menyewa lagi. Sebagai suatu institusi yang bertanggungjawab dengan pelaburan, bukankah PNB patut melihat peluang-peluang untuk mengembangkan sayap mereka keluar negara dalam bidang-bidang yang menguntungkan dan berkongsi pulangan daripada pelaburan luar tersebut dengan pemegang unit.
Kita lihat dalam tahun 2008 dulu semasa krisis kewangan global, banyak institusi antarabangsa seperti Citicorp, UBS, Morgan Stanley tersungkur sehingga memerlukan penyelamat. Kita patut mengambil peluang tersebut dan memperluaskan portfolio pelaburan kita ke luar negara, terutama sekali yang mampu memberikan pulangan yang menguntungkan. Memanglah hartanah pun suatu pelaburan tetapi di mana letaknya bidang kepakaran PNB? Hartanah atau pelaburan portfolio? — Utusan Malaysia

* Dato’ Salleh Majid ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia)

Apa lagi warga Guru? Nyahkan BN dalam PRU13

Menggelabah sungguh Najib dan Muhyiddin nampaknya...he he!!

Dalam satu pertemuan dengan guru besar beberapa sekolah baru-baru ini, mereka memberitahu bahawa peruntukan untuk sekolah dah semakin mengecil. Sehingga tuntutan perjalanan guru dan lain-lain tuntutan berkaitan tugas mereka tidak dibayar.

Jadi...apalah lagi yang ditunggu..
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa) melainkan kaum itu sendiri mengubah nasibnya” Maksud Surah Ar-Ra'd ayat 11 ...
Negara tak akan muflis kerana imbuhan khas pendidik PR, jamin Anwar

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan inisiatif imbuhan khas pendidik bulanan RM500, dijanjikan Pakatan Rakyat, tidak akan menyebabkan negara muflis sebagaimana didakwa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

“Saya kesal dengan kenyataan Menteri Pelajaran (Tan Sri Muhyiddin Yassin) baru-baru ini yang memperlekehkan peranan guru sebagai pembina negara.

“Beliau menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap orang setiap bulan akan menyebabkan Malaysia muflis,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, Pakatan Rakyat telah meneliti kesan kewangan akibat pelaksanaan imbuhan khas pendidik bulanan itu.

Inisiatif menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan merupakan salah satu daripada 10 perkara yang terkandung dalam Program 100 Hari Pakatan Rakyat yang diumumkan menerusi Buku Jingga pada konvensyen mereka di Pulau Pinang, Ahad lalu.

Pakatan Rakyat berjanji akan melaksanakan reformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara, ekonomi, pendidikan dan sebagainya berdasarkan prinsip yang digariskan dalam Dasar Bersamanya.

Tegas beliau, Pakatan Rakyat percaya bahawa tindakan utama yang perlu diambil untuk memulihkan kualiti pendidikan negara adalah dengan menjaga kebajikan guru secara berterusan dan bertanggungjawab.

“Oleh itu, jumlah RM3.2 bilion setiap tahun bukanlah jumlah yang terlalu besar demi masa depan anak-anak Malaysia,” katanya.

Pakatan Rakyat menganggarkan kos itu dengan mengambil kira kewujudan 537,221 jawatan dalam perkhidmatan pendidikan termasuklah pengurusan kementerian (24,153), dasar dan pembangunan pendidikan (4,059), operasi pendidikan (498,399) dan pembangunan profesionalisme keguruan (10,610).

“Usaha menaik taraf mutu pendidikan negara bermula dengan reformasi pendidikan dari pihak atas sehinggalah ke tahap pengajaran di bilik darjah (keberkesanan pembelajaran dan pengajaran).

“Oleh itu, Pakatan Rakyat berhasrat untuk memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 kepada semua pegawai dan guru yang bertanggungjawab di dalam sistem pendidikan kita,” kata beliau.

Menurut Anwar, inisiatif itu akan menelan belanja RM3.2 bilion setahun dan jumlah itu adalah kecil jika dibandingkan dengan pembaziran-pembaziran lain yang kini berleluasa di bawah Umno-Barisan Nasional (BN).

Dalam ulasan yang dilihat sindiran, kata Anwar, kos perbelanjaan semua lawatan Perdana Menteri ke luar negara setakat ini sebanyak RM8.7 juta boleh menanggung imbuhan bagi 1,450 orang guru.

Malah, katanya, bayaran kepada APCO sebanyak RM77 juta bagi 2009 boleh menampung imbuhan bagi 12,800 orang guru iaitu keseluruhan tenaga kerja yang membangunkan profesionalisme keguruan.

“Pembaziran Umno-BN sebanyak RM131 juta bagi menampung perbelanjaan perunding dan kos operasi Pemandu bagi 2010 boleh membayar imbuhan bagi 21,833 lagi orang guru iaitu hampir keseluruhan tenaga kerja kementerian.

“Ini belum lagi pembaziran-pembaziran mega seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada sektor korporat dan kroni, kos menyelamatkan kroni yang melibatkan Empangan Bakun sebanyak RM6 bilion dan ketirisan akibat rasuah yang dianggarkan mencecah RM28 bilion setiap tahun,” kata Anwar, bekas menteri kewangan.

Justeru, Anwar berpendapat bahawa persoalan sama ada negara mampu membayar imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap bulan ini tidak timbul.

“Perkara yang sebenar adalah keikhlasan Umno-BN untuk mengangkat martabat pendidikan di negara ini,” katanya lagi.

Menurut Anwar lagi, hakikatnya bidang pendidikan tidaklah berada dalam senarai kepentingan Umno-BN.

Ketika berada dalam kerajaan Anwar juga pernah menjadi menteri pelajaran.

“Isu kualiti pendidikan telah ditimbulkan sejak sedekad yang lalu, tetapi sehingga kini tidak ada satu langkah konkrit untuk mengiktiraf sumbangan guru di samping memastikan kerjaya perguruan menarik minat calon-calon yang berkualiti tinggi,” katanya.

Justeru kata beliau, langkah Pakatan Rakyat memperkenalkan imbuhan ini adalah langkah pertama ke arah memartabatkan kerjaya perguruan setaraf dengan kerjaya profesional lain seperti jurutera, doktor dan akauntan.

Semalam, The Malaysian Insider melaporkan persetujuan Perdana Menteri untuk menubuhkan satu badan perundingan khas untuk menyelesaikan isu-isu perkhidmatan perguruan.

Najib memaklumkan perkara itu selepas merasmikan persidangan tritahunan Cuepacs kelmarin.

Perkara ini telah disyorkan Cuepacs sejak 2002 tetapi menurut Anwar, hanya selepas Pakatan Rakyat membuat cadangan yang konkrit untuk menaikkan martabat perguruan, Umno-BN memberikan reaksi cemas.

“Baru sekarang, Perdana Menteri mahu mendengar keluh kesah guru-guru yang bergelumang dengan pelbagai masalah setiap hari,” katanya lagi.

Anwar juga menegaskan, ia bukanlah caranya kerajaan merancang kebajikan pendidikan negara.

“Tanggungjawab menjaga kebajikan guru-guru bukanlah satu reaksi yang hanya ada tindakan apabila Pakatan Rakyat bersuara,” katanya.

PAS: Kita sedia kenal siapa SPR

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 22 dan 30 Januari depan iaitu hari cuti sebagai tarikh penamaan dan pengundian bagi PRK Dun Tenang, jelas memperlihatkan sikap 'double standard' suruhanjaya itu.

Menurut Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa, SPR dilihat tidak konsisten apabila pada PRK Galas 4 November lalu, pengundian dibuat pada hari bukan cuti umum sehingga memaksa kerajaan negeri Kelantan pada waktu itu mengumumkan tarikh itu sebagai cuti peristiwa.

Katanya, apabila berdepan PRK di kerusi yang dikuasai Pakatan Rakyat, SPR dilihat cenderung mengadakan proses penamaan dan pengundian pada hari bekerja, sedangkan apabila di kerusi BN, tindakan sebaliknya dilakukan SPR.

"Kita dapat melihat dengan jelas perbezaan ini dan ini bukannya pelik dalam negara kita ini.

"Kita kenal siapa SPR ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

SPR hari ini mengumumkan tarikh PRK Dun Tenang, Johor pada 30 Januari tahun depan manakala penamaan calon pula pada 22 Januari.

Walaupun berdepan situasi itu, Nasharuddin mahu jentera PAS berkerja bersungguh-sungguh bagi memenangkan calon PAS yang akan bertanding kelak.

Kepada jentera yang sudah mula menjalankan tugas, beliau mahu semua tenaga kerja yang ada dimobilisasi pada tahap terbaik berdepan Umno BN.

"Bagi kita cuti ke tak cuti ke, kita tetap masuk dengan niat untuk menang dengan memberi tentangan sehebat mungkin kepada lawan kita, BN," katanya lagi.

Beliau juga optimis PAS berpotensi menang apabila pada pilihan raya umum lalu mereka dapat mengurangkan majoriti kepada 2,492 undi berbanding sebelumnya.

"Kejayaan mengurangkan majoriti pada PRU lalu akan menjadi perangsang kepada PAS untuk menambah satu lagi kerusi di Johor nanti," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan PAS akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan isu PRK Tenang termasuk soal pemilihan calon. -Hrkh

PRK Tenang: 30 Jan undi, 22 penamaan calon

Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, di Labis, Johor ditetapkan pada 30 Januari (Ahad) depan.

Manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 22 Jan, (Sabtu) kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff.

ec announces no by election will be held in perak 030209 spr chairman 02Keputusan itu dibuat selepas SPR bermesyuarat pagi ini, katanya dalam satu sidang akhbar di Putrajaya.

Menurut Abdul Aziz (kanan), seramai 14,753 pengundi yang melibat 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos, layak memilih ADUN Tenang.

Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun ketiga tahun ini yang telah dikemaskini sehingga 17 Disember lalu.

Abdul Aziz berkata, sebanyak 376 petugas telah dilantik sepanjang lapan hari tempoh berkempen. Manakala seorang pengurus pilihan raya dan tiga penolongnya daripada Majlis Daerah Labis turut dilantik.

'Dengar nasihat, patuh arahan'
SPR menubuhkan tiga pasukan penguatkuas kempen pilihan raya untuk mengurus perjalanan pilihan raya dan mengawal kempen.

Pilihan raya itu juga akan menggunakan tiga dewan dan sembilan buah sekolah sebagai tempat pengundian yang melibatkan 32 saluran mengundi.

azlanKatanya, penamaan calon akan diadakan di Majlis Daerah Labis manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis akan dijadikan pusat penjumlahan undi.

Sementara itu, Abdul Aziz turut mengambil kesempatan mengingatkan majikan supaya memberi kebenaran kepada pekerja mereka bagi keluar mengundi.

"Mungkin ada daripada pihak swasta yang bekerja pada hari pilihan raya. Oleh itu, majikan mesti memberikan kebenaran kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi. Jika tidak mereka boleh dihukum melalui akta pilihan raya.

"Saya juga akan menulis surat kepada ketua setiausaha sumber manusia supaya jangan menghalang pengundi keluar mengundi," katanya lagi. -M'kini

Dr Aziz Bari : Nazri Selindung Kebenaran

SHAH ALAM : Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Aziz cuba lari dari menjawab persoalan asas kenapa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen menghukum Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa memberikan beliau peluang untuk membela diri bersabit isu Apco.

Pensyarah Undang-Undang Professor Dr Abdul Aziz Bari berkata tindakan Nazri tiba-tiba muncul dengan dua surat penjelasan daripada Apco bersabit isu itu tidak boleh dijadikan alasan menafikan Ketua Pembangkang itu hak membela diri.

Aziz berkata maklumat daripada syarkat pro-Zionis itu menafikan ia terbabit dalam slogan One Israel bukan benda baru.

"Surat yang dihantar oleh Apco dan didedahkan oleh Nazri sama sahaja, (kerana) sebelum ini kita diberitahu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Apco dan 1Malaysia merupakan idea beliau dan bukannya daripada luar.

"Yang kita hendak dengar sekarang ialah bukti secara terbuka dan telus dari Ketua Pembangkang bahawa dia ada bukti Apco ada hubungan dengan rejim Yahudi, dan ini yang (beliau) tidak diberikan kesempatan dan peluang... dan terus digantung (enam bulan).

"Perkara ini yang perlu diberi perhatian oleh pihak BN dan bukan soal surat Apco, atau soal itu dan ini. Pada saya, ini tidak sedikit menjejaskan atau menjawab soal Ketua Pembangkang di Parlimen," kata Aziz Bari.

Aziz berkata Nazri dan Ahli Parlimen Muar Razali Ibrahim yang menganggotai jawatankuasa itu memberikan pelbagai alasan menghalalkan tindakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan menggantung Anwar selama enam bulan tanpa dipanggil untuk membela diri.

Namun akibat dicemuh oleh rakyat, Nazri kini tampil secara tiba-tiba mengumumkan bahawa Apco telah memberikan surat yang kononnya membuktikan Anwar berbohong kepada Parlimen.

"Surat itu tidak berguna kerana ianya datang daripada pihak yang dituduh , jadi kerajaan boleh kata apa sahaja untuk melepas diri dan menunjukkan mereka betul," kata Aziz.

Nazri semalam mengemukakan dua bukti dokumen, iaitu surat daripada Apco dan kenyataan notari berkanun oleh Robert Shrum, perunding politik yang menggubal konsep One Israel.

Kedua-dua dokumen itu hanya dikemukakan setelah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan menggantung Anwar selama enam bulan, Tiga ahli parlimen lain iaitu Karpal Singh, Sivarasa Rasiah dan Azmin Ali turut digantung enam bulan bersabit isu sama.

Anwar sebelum ini menyatakan kesediaan untuk mengemukkan dokumen dan keterangan bersabit hubung kait Apco dan slogan IMalaysia.

Beliau turut mengaitkan syarikat pro Zionis itu kepada rejim Tel Aviv yang menggubal slogan One Israel dalam tahun 90an.

Bagaimanapun Jawatankuasa Hak dan Parlimen terus menghukum Anwar tanpa memanggilnya untuk member keterangan. Barisan Nasional kemudian menggunakan kelebihan majoriti di Parlimen untuk memperakukan hukuman itu.
tvs

Pakatan: SPR ‘tunduk’ desakan adakan pilihan raya kecil hari cuti

KUALA LUMPUR, 25 Dis — PAS mendakwa keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam menetapkan penamaan calon dan pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang pada hari cuti mingguan menunjukkan agensi itu “akhirnya tunduk” kepada gesaan Pakatan Rakyat selama ini.
Sambil menafikan pihaknya tidak berpuas hati dengan pemilihan hari penamaan calon dan pengundian itu kali ini, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar tetap menyifatkan SPR “double standard” sepanjang pilihan raya kecil diadakan.
Hari penamaan calon pilihan raya kecil DUN Tenang adalah pada 22 Januari iaitu hari Sabtu manakala pengundian, jika ada saingan, akan berlangsung 30 Januari yang jatuh pada hari Ahad.
“SPR memang double standard, itu semua orang tahu.
“Tapi akhirnya SPR tunduk kepada tuntutan yang Pakatan Rakyat buat selama ini yang mana kita mahu pilihan raya kecil diadakan pada cuti umum.
“Ini menunjukkan SPR telah tunduk kepada Pakatan Rakyat, ia juga menunjukkan SPR sudah mula mengamalkan demokrasi seperti mana yang sepatutnya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
PAS akan mewakili Pakatan Rakyat manakala Umno pula membawa cabaran Barisan Nasional di DUN Tenang kali ini.
PAS sedang menghalusi empat nama manakala Umno-BN pula tujuh.
SPR meramalkan peratusan keluar mengundi dalam lingkungan 80 peratus berbanding 74 peratus 8 Mac 2008.
Pilihan raya kecil ke-14 ini diadakan bagi mengisi kekosongan berikutan kematian penyandang Datuk Sulaiman Taha, wakil rakyat Umno-BN, 17 Disember lepas.
Ia pilihan raya kecil pertama di Johor sejak Mac 2008, malah ia juga yang pertama sejak pilihan raya kecil DUN Tambatan yang diadakan pada 1989.
DUN Tenang, salah satu daripada dua kerusi negeri dalam Parlimen Labis yang berjirankan kerusi Parlimen Pagoh yang bersempadankan kawasan Parlimen Pagoh di sebelah barat, Parlimen Sekijang di utara dan negeri Pahang di sebelah timur.
Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.
Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, SPR yang dipengerusikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sentiasa menyusahkan negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat apabila pilihan raya kecil diadakan.
“Bila pilihan raya kecil diadakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat, SPR akan menyusahkan pengundi apabila umumkan ia diadakan pada hari bekerja.
“Tapi bila ia diadakan di negeri Barisan Nasional (BN), SPR umumkan pada cuti umum pula. SPR sahaja nak menyusahkan Pakatan Rakyat,” katanya sambil merujuk dengan beberapa pilihan raya kecil yang telah diadakan sebelum ini termasuk di Bagan Pinang, Galas, Manek Urai dan Kuala Terengganu.
Harakahdaily pula memetik Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa menyifatkan tindakan SPR menetapkan tarikh 22 dan 30 Januari depan iaitu hari cuti sebagai tarikh penamaan dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Tenang, jelas memperlihatkan sikap “double standard” badan itu.
Beliau berkata, SPR dilihat tidak konsisten apabila pada pilihan raya kecil DUN Galas 4 November lalu, pengundian dibuat pada hari bukan cuti umum sehingga memaksa kerajaan negeri Kelantan pada waktu itu mengumumkan tarikh itu sebagai cuti peristiwa.
Katanya, apabila berdepan pilihan raya kecil di negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, SPR dilihat cenderung mengadakan proses penamaan dan pengundian pada hari bekerja sedangkan apabila di kerusi BN, tindakan sebaliknya dilakukan SPR.
Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,753 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.
Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus) dan lain-lain 11 orang (0.07%).
Mengikut pecahan umur, seramai 3,271 pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun, 3,602 (40-49 tahun), 2,788 (50-59 tahun), 1,897 (60-69 tahun), 1,188 (70-79 tahun), 268 (80-89 tahun) dan lebih 90 tahun pula 70 orang.

Thursday, December 23, 2010

Anwar: Menteri pelajaran perlekeh peranan guru

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kesal dengan kenyataan menteri pelajaran baru-baru ini yang didakwanya telah memperlekehkan peranan guru sebagai pembina negara.

Ianya berhubung hasrat Pakatan Rakyat untuk memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 kepada semua pegawai dan guru yang bertanggungjawab dalam sistem pendidikan.

"Beliau menyebut bahawa tindakan memperkenalkan imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap orang setiap bulan, akan menyebabkan Malaysia muflis," kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Sebaliknya, Anwar yang juga ketua umum PKR berkata, Pakatan telah meneliti kesan kewangan dari pelaksanaannya.

"Kita mengambil kira bahawa terdapat 537,221 jawatan dalam perkhidmatan pendidikan termasuklah pengurusan kementerian (24,153), dasar dan pembangunan pendidikan (4,059), operasi pendidikan (498,399) dan pembangunan profesionalisme keguruan (10,610).

"Usaha menaiktaraf mutu pendidikan negara bermula dengan reformasi pendidikan dari pihak atas (penggubalan dasar, pembangunan keguruan) sehinggalah ke tahap pengajaran di bilik darjah (keberkesanan pembelajaran dan pengajaran)," katanya lagi.

Menurut Anwar, imbuhan khas pendidik itu akan menelan belanja RM3.2 bilion setahun.

"Jumlah ini adalah kecil jika dibandingkan dengan pembaziran lain yang kini berleluasa di bawah Umno/BN.

"Kos perbelanjaan semua lawatan perdana menteri ke luar negara setakat ini sebanyak RM8.7 juta boleh menanggung imbuhan bagi 1,450 guru.

"Bayaran kepada APCO sebanyak RM77 juta bagi tahun 2009 boleh menampung imbuhan bagi 12,800 guru iaitu keseluruhan tenaga kerja
yang membangunkan profesionalisme keguruan," katanya.

Selain itu, tambahnya, pembaziran Umno/BN sebanyak RM131 juta bagi menampung perbelanjaan perunding dan kos operasi PEMANDU bagi tahun 2010, boleh membayar imbuhan bagi 21,833 lagi guru, iaitu hampir keseluruhan tenaga kerja kementerian.

"Ini belum lagi pembaziran mega seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada sektor korporat dan kroni, kos menyelamatkan kroni

yang melibatkan Empangan Bakun sebanyak RM6 bilion dan ketirisan akibat rasuah yang dianggarkan mencecah RM28 bilion setiap tahun.

"Justeru, persoalan sama ada negara mampu membayar imbuhan khas pendidik sebanyak RM500 setiap bulan ini tidak timbul. Perkara yang sebenar adalah keikhlasan Umno/BN untuk mengangkat martabat pendidikan di negara ini," katanya.

Hakikatnya, tegas Anwar lagi, bidang pendidikan tidaklah berada di dalam senarai kepentingan Umno/BN.

Menurutnya, isu kualiti pendidikan ditimbulkan sejak sedekad lalu, tetapi sehingga kini tidak ada satu langkah konkrit untuk mengiktiraf sumbangan guru di samping memastikan kerjaya perguruan menarik minat calon berkualiti tinggi.

"Langkah Pakatan Rakyat memperkenalkan imbuhan ini adalah langkah pertama ke arah memartabatkan kerjaya perguruan setaraf dengan kerjaya profesional lain seperti jurutera, doktor dan akauntan," tegas Anwar.

Semalam, tambahnya, akhbar melaporkan persetujuan perdana menteri untuk menubuhkan badan perundingan khas untuk menyelesaikan isu-isu perkhidmatan perguruan.

"Perkara ini telah disyorkan CUEPACS sejak tahun 2002 lagi - tetapi hanya selepas Pakatan membuat cadangan yang konkrit untuk menaikkan martabat perguruan, Umno/BN memberikan reaksi cemas.

"Baru sekarang, perdana menteri mahu mendengar keluh kesah guru-guru yang bergelumang dengan pelbagai masalah setiap hari. Ini bukanlah caranya kita merancang kebajikan pendidikan negara.

"Tanggungjawab menjaga kebajikan guru-guru bukanlah satu reaksi yang hanya ada tindakan apabila Pakatan bersuara.

"Pakatan percaya tindakan utama yang perlu diambil untuk memulihkan kualiti pendidikan negara adalah dengan menjaga kebajikan guru secara berterusan dan bertanggungjawab.

"Oleh itu, jumlah RM3.2 bilion setiap tahun bukanlah jumlah yang terlalu besar demi masa depan anak-anak Malaysia," tegas Anwar.

Monday, December 20, 2010

Guan Eng mahu saman Utusan lagi




Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan mengeluarkan saman malu ke atas akhbar Utusan Malaysia kerana didakwa mengeluarkan fitnah dan tohmahan ke atasnya dalam laporan muka depan dan rencananya hari ini.

NONESetiausaha akhbarnya Cheong Yin Fan berkata akhbar milik Umno itu benyak memfitnah Lim, seperti dalam isu perarakan maulud nabi, probohan kampung Melayu dan pasar Ramadan Komtar.

"Oleh kerana Utusan tidak memberikan hak jawab kepada ketua menteri, maka tidak ada pilihan lain kecuali untuk buat saman malu di mahkamah untuk dapat balik kebenaran dan keadilan," kata Cheong.

Menurutnya, saman itu akan diuruskan oleh firma guaman Karpal Singh & co.

Dalam kenyataan hari ini, Cheong mendakwa, apa yang berlaku jelas sekali Utusan dan setengah pemimpin BN akan menggunakan isu 3R atau race (bangsa), religion (agama) dan raja untuk membohongi rakyat bahawa DAP anti perkara dan pihak itu.

NONE"Kumpulan yang berniat jahat ini tidak dapat memberikan sebarang bukti tetapi mereka akan tetap dengan agenda bahawa DAP anti-Melayu, anti-Islam dan anti-raja untuk menjatuhkan DAP dan PR.

"Jelas Konvensyen PR kedua semalam begitu berjaya sehingga Utusan dan pemimpin BN menggunakan sekali lagi senjata fitnah untuk cuba sabotaj dan menjejaskan kejayaan Konvensyen PR ini, khususnya kejayaan Program 100 Hari yang memberikan faedah kepada rakyat bila PR berkuasa," katanya.- mkini

Karpal: PAS Paling Berdisiplin Dalam PR, Anwar Gagal Pilih Calon Berintegriti


Karpal: PAS Paling Berdisiplin Dalam Pakatan Pembangkang

KEPALA BATAS: DAP mengiktiraf PAS sebagai parti yang paling berdisiplin dalam Pakatan Rakyat kerana wakil rakyatnya sangat setia dan tidak pernah bertindak keluar parti.

Pengerusi DAP, Karpal Singh sebaliknya berkata, wakil rakyat partinya sendiri bertindak keluar seperti yang berlaku di Perak.

"PAS paling berdisiplin kerana tak ada seorang pun daripada mereka yang undur diri.

"DAP pernah ada seorang di Perak, PKR pun ada ramai (keluar parti)," katanya pada Konvenyen Pakatan Rakyat Kedua di sini, Ahad

Sepanjang tahun ini, wakil rakyat PKR paling ramai melompat parti termasuk mengakibatkan kejatuhan kerajaan pakatan pembangkang di Perak sepanjang tahun ini.

Dalam pada itu, Karpal membidas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak mengendahkan teguran dan amaran pemimpin komponen Pakatan Rakyat khususnya berkaitan pemilihan calon pilihan raya sehingga ada di kalangan pemimpin bertindak keluar parti.

Katanya, kegagalan Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat menentukan calon yang berintegriti telah merugikan pakatan pembangkang itu hingga menggadaikan penguasaan mereka di Perak selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

"Dalam pilihan raya akan datang letaklah calon-calon yang boleh dipercayai serta beritegriti.

"Jangan ulangi kesilapan lalu lagi kerana ia akan merugikan kita,"
katanya.

Selain itu Ahli Parlimen Gelugor itu turut menegur Anwar mengenai tindakannya menerima penyertaan bekas Pengerusi PKR WilayahPersekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dalam parti itu.

Menurutnya, beliau pernah memberi amaran kepada Anwar agar tidak menerima Zaid kerana sudah mengenali latar belakangnya sejak sekian lama.

"Sebelum Zaid sertai PKR, saya telah... bukan tegur, tapi beri amaran kepada Anwar, tapi beliau terima juga.

"Dia (Zaid) tak boleh dipercayai, tapi Anwar tak dengar. Walaupun beliau pemimpin utama dalam Pakatan Rakyat, tapi kadangkala lakukan kesilapan, silap buat keputusan," katanya. -mstar

Negara Islam: Karpal tutup mulut Umno

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Penegasan Karpal Singh bahawa DAP menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan sedia berbincang dengan PAS berhubung isu negara Islam, dilihat membuka satu episod baru, muafakat dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, biarpun duduk sebumbung dibawah payung Pakatan Rakyat, isu negara Islam antara yang dilihat masih menjadi tembok pemisah antara PAS-DAP.

Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pendirian terbaru Karpal itu ujarnya adalah satu kejayaan baru Pakatan Rakyat sekaligus meletakkan keakraban ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP kini pada tahap terbaik.

Ketika dihubungi Harakahdaily hari ini, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, PAS mengalu-alukan keterbukaan DAP itu dan melihat ianya satu perkembangan sangat positif dalam Pakatan Rakyat.

"Kita sangat alu-alukan kenyataan positif sebegini. Kesediaan untuk berbincang isu negara Islam ini adalah satu anjakan pemikiran besar oleh tokoh DAP itu," katanya.

Penegasan terbaru DAP itu juga katanya memperlihatkan komitmen sebenar Pakatan Rakyat untuk mempertahankan Islam dan apa sahaja yang terkandung dalam Perlembagaan negara.

Ianya juga sekaligus menolak dakwaan bahawa Pakatan Rakyat akan menjual Islam dan Melayu jika menguasai pemerintahan negara.

Beliau juga yakin, kenyataan Karpal itu akan menutup mulut Umno BN dari terus memanipulasi isu yang sejak dahulu membelengu PAS dan DAP itu, khususnya berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

"Dalam isu negara Islam ini, kita sebenarnya dikelirukan oleh permainan musuh-musuh kita.

"Namun keterbukaan Karpal menerima Islam sebagai agama rasmi, memperlihatkan satu komitmen bersungguh-sungguh DAP mempertahan Islam dan perlembagaan negara," katanya lagi.

Karpal yang juga Pengerusi kebangsaan DAP, sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Kepala Batas semalam berkata,
beliau mahu isu negara Islam segera dibincang oleh Pakatan Rakyat kerana beliau tidak mahu BN mengeksploitasi isu tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

DAP katanya boleh membincangkan isu tersebut dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mursyidul am PAS yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Karpal juga meletakkan keyakinan, isu tersebut boleh mencapai konsensus sekira satu perbincangan bersama diadakan.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim memaklumkan satu pertemuan antara pemimpin ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu akan dibuat secepat mungkin bagi merealisasikan hasrat itu. -Hrkh

Asri akan umum parti pilihannya apabila PRU-13 dipanggil

Mohd Asri Zainul Abidin (kiri) bersama Mohd Nizar Jamaluddin selepas majlis perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua di Kepala Batas.
KEPALA BATAS — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan membuat keputusan parti politik yang beliau hendak sokong apabila pilihan raya umum ke-13 dipanggil, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.
“Pilihan raya umum pun belum dipanggil, dan apabila pilihan raya umum diadakan, saya akan menyatakan parti yang saya akan sokong nanti,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di sisi Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua di sini.
Mohd Asri menghadiri majlis perasmian Konvensyen Pakatan Rakyat yang diadakan Dewan Millenium di sini dan dilihat menghabiskan masa sehingga tengah hari mengikuti perjalanan konvensyen.
Ketika ditanya sama ada keputusan itu bermakna akan menyertai mana-mana parti kelak, Mohd Asri berkata, “tengok dulu. Saya sedang melihat..”
“Perkara itu saya masih memikirkan, saya sedang melihat perkembangan politik, iklim dan cuaca politik negara ini,” kata pensyarah Universiti Sains Malaysia ini dengan senyuman.
Ini kali pertama beliau menghadiri konvensyen Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun Mohd Asri bukan asing dalam majlis-majlis anjuran Umno dan PAS. Beliau pernah menghadiri muktamar agung tahunan PAS yang diadakan di Kota Baru Jun lalu. Akhir Jun lalu, Mohd Asri menegaskan, beliau tidak menyertai mana-mana parti politik buat masa sekarang dan “tidak bercadang untuk memilih jalan itu” walaupun disebut-sebut akan memasuki Umno.
“Ingin saya tegaskan kepada rakyat Malaysia bahawa saya sehingga kini tidak menyertai mana-mana parti politik,” kata beliau ketika itu. Ulama yang dilihat sebagai aliran pemikiran ‘progresif’ ini menjadi tumpuan aktif Umno dan PAS sejak lebih setahun lalu.
Beliau telah memberi bayangan sedang memikirkan perkara tersebut sejak akhir tahun lalu. Bagaimanapun pada pertemuan hari ini, Mohd Asri memberitahu The Malaysian Insider, beliau masih berharap Kelantan akan kekal ditadbir oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada pilihan raya umum ke-13.
“Kelantan mesti ditadbir oleh Datuk Nik Aziz, PAS sebab beliau sudah membuktikan pentadbiran Kelantan sebagai pentadbiran contoh, yang harus diamalkan oleh mana-mana parti yang memerintah negara ini,” katanya.
TG Nik Aziz genap 20 tahun memimpin Kelantan, yang jatuh ke tangan PAS pada pilihan raya umum 1999. “Malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sendiri sudah membersihkan beliau daripada dakwaan rasuah... beliau telah memberikan kita satu kerajaan contoh,” kata Mohd Asri sambil menambah, TG Nik Aziz selaku Menteri Besar Kelantan telah menunjukkan sikap bersopan santun.
Mengenai kehadiran pada konvensyen Pakatan Rakyat hari ini, Mohd Asri berkata, beliau memutuskan untuk melihat perkembangan perikatan tiga parti itu dari dekat. “Urus setia konvensyen menjemput saya datang, jadi menerima jemputan untuk melihat dengan dekat, memahami secara langsung selepas hampir tiga tahun (Pakatan) bergerak,” katanya.
Sehubungan itu kata Mohd Asri, beliau melihat beberapa idea yang dibangkitkan dalam Buku Jingga, antaranya isu rasuah dan ketirisan memang sesuatu yang baik. Buku Jingga adalah agenda Pakatan yang menggariskan perincian dasar dan langkah yang berlandaskan Dasar Bersama untuk merealisasikan cita-cita Pakatan Rakyat membina sebuah negara yang makmur dan adil.
Intipati Buku Jingga dibentangkan oleh Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa, Ketua Pemuda DAP Anthony Loke dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail.
“Ada banyak idea menarik yang dibangkitkan, macam yang dikatakan oleh YB Anthony Loke, tetapi persoalannya adakah Pakatan Rakyat boleh melaksanakannya.
“Oleh itu, Pakatan Rakyat perlu menyakinkan bahawa ia boleh melaksanakan apa yang disebutkan, contoh isu ketirisan dan rasuah... perkara ini semua orang cakap dan sudah tahu, tetapi apakah Pakatan Rakyat boleh meyakinkan orang ramai dengan melaksanakannya. Ini persoalan yang perlu dijawab oleh Pakatan Rakyat.
“Orang ramai akan tertarik dengan parti yang boleh meyakinkan mereka dengan program pelaksanaan,” kata beliau lagi.[MI]

Ada sinar di jiwa Karpal selepas konvensyen.

Isu negara Islam PAS boleh dibincang, kata Karpal
KEPALA BATAS — Karpal Singh mahu dasar negara Islam yang menjadi isu ‘duri dalam daging’ dalam hubungan Pakatan Rakyat sejak kebelakangan ini diselesaikan dengan segera agar tidak digunakan sebagai senjata oleh musuh-musuh politik mereka.

Sehubungan itu, Pengerusi DAP Kebangsaan ini berkata, beliau yakin perkara tersebut boleh dibincangkan dan dicari jalan penyelesaian.
“Saya mahu perkara ini diselesaikan dengan segera supaya tidak dijadikan isu oleh musuh kita,” kata Karpal ketika menggulung perbahasan Konvensyen Pakatan Rakyat Kedua.
Di akhir ucapan itu, Karpal, 70, yang menggunakan kerusi roda diberikan tepukan gemuruh berdiri oleh para perwakilan konvensyen.
Dalam ucapannya Karpal juga menjelaskan bahawa kata-kata ‘over my dead body’ yang dilafazkan pada 1990, tahun PAS mengambil alih kerajaan negeri Kelantan, telah difahami di luar konteks.
“Apa yang sayakan 20 tahun lalu dibaca di luar konteks. Islam adalah agama rasmi (Persekutuan) dan rakyat agama lain juga ada hak.
“Oleh itu tidak baik untuk mengatakan Perlembagaan Persekutuan membolehkan mengadakan negara Islam, tetapi yang ini boleh dibincangkan, saya tidak mahu BN mengesksploitasikan isu ini... ini boleh dibincang dengan (Mursyidul Am PAS) Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. (Presiden PAS) Tok Guru Datuk Seri Abdu Hadi Awang,” kata beliau.
“Ini adalah satu isu yang harus dibincang dengan segera, kena dipercepatkan,” kata Karpal lagi.
Ketika konvensyen sulung tahun lalu TG Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Karpal akan terbuka hati untuk menerima idea negara Islam.
Kedua-dua Karpal dan TG Nik Aziz muncul di pentas yang sama dan duduk bersebelahan pada konvensyen Disember 2009.
Karpal berkali-kli menegaskan meskipun DAP semakin selesa membina ikatan kukuh bersama PAS dalam Pakatan Rakyat manakala parti-parti sekular Umno dan PKR pula giat memikat para ulama, ia masih berpendirian menentang usaha pembentukan sebuah negara Islam.
“Mustahil bagi DAP berkompromi dalam hal ini. Kami tidak boleh kompromi agar negara berubah menjadi negara Islam (jika PR mengambil alih kerajaan pada masa depan),” kata Karpal.
“Ia (Malaysia) sebuah negara sekular. Saya percaya Allahyarham Tunku Abdul Rahman (perdana menteri pertama) pernah menyebut sebelum ini mengenai Malaysia,” kata ahli politik veteran ini kepada The Malaysian Insider Jun lalu.
Karpal sebelum ini pernah menyalahkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengubah realiti sebuah negara sekular menerusi kenyataan-kenyataan politiknya yang dibuat oleh beliau pada masa-masa lalu, yang telah “mengelirukan orang ramai” berkenaan identiti Malaysia.
“Perlembagaan menyediakan peruntukan mengenai perkara ini. Tiada peruntukan dalam perlembagaan yang mengatakan Malaysia sebuah negara Islam.
“Agama rasmi Malaysia ialah Islam tetapi tidak bermakna ia sebuah negara Islam,” kata beliau lagi.
Pada 1990, ketika satu ceramah di Sungai Pinang, akhbar-akhbar memetik beliau sebagai berkata biar PAS membina “negara Islam dengan melangkah mayat saya.”
“Mereka (pemberita) tidak membuat laporan konteks kenyataan saya ketika itu.
“Saya mengatakan demikian dalam hubungan kepada perlembagaan. Tetapi saya kekal dengan pendirian itu, mengatakan perkara yang sama sekarang,” kata Karpal Jun lalu.
Ikatan antara DAP dan PAS bukan sesuatu yang baru dalam bentuk Pakatan Rakyat.
Kedua-dua parti itu pernah menjalin kerjasama dengan mewujudkan Barisan Alternatif pada pilihan raya umum 1999, tetapi gagal meneruskan jalinan ekoran isu negara Islam.
Dalam ucapannya, Karpal juga berkata, Pakatan Rakyat tidak harus membentuk kerajaan pusat jika memenangi pilihan raya umum ke-13 tanpa Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini merupakan Ketua Pembangkang dan ketua umumnya.
“Kita tidak boleh pergi ke Putrajaya (membentuk kerajaan persekutuan) tanpa Anwar,” kata Karpal sambil menambah beliau akan menggunakan segala keupayaan yang ada untuk membebaskan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Karpal merupakan peguam utama kes liwat dihadapi Anwar, yang menurutnya merupakan satu fitnah.
Sehubungan itu, Karpal juga mahu parti-parti komponen Pakatan Rakyat memilih calon yang terbaik dan integriti, dan tidak mahu kesilapan pilihan raya umum 2008 berulang.
Malah Karpal juga menyindir Anwar tidak mendengar nasihatnya agar tidak menerima masuk Datuk Zaid Ibrahim, yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru sebagai ahlinya tahun lalu.
“Saya ada beri Anwar amaran, bukan nasihat tetapi dia tak dengar,” kata beliau yang turut mengungkit personaliti Datuk Seri Zahrain Hashim dan Zulkifli Noordin, masing-masing ahli Parlimen Bayan Baru dan Kulim-Bandar Bahru yang keluar PKR awal tahun ini.
Oleh itu kata Karpal, Pakatan Rakyat memerlukan pemilihan calon terbaik untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. -MI

Menteri KDN Sembunyi Hubungan Umno-Apco


KEPALA BATAS 20 DIS: Menteri Dalam Negeri,Datuk Hishamuddin Hussein cuba menyembunyikan kebimbangan Umno bahawa hubungan parti itu dan syarikat pro-zionis Apco Worldwide  akan terbongkar jika ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi peluang untuk mengemukakan bukti mengenai isu itu.
Anwar berkata Hishamuddin tidak menjawab persoalan asas iaitu kenapa beliau digantung parlimen selama enam bulan tanpa dibenar mengemukakan bukti dan dokumen mengenai hubung kait kerajaan umno-Barisan Nasional dengan Apco.
"Kenyataan terbaru 'menteri keris' Datuk Hishamuddin, yang mencabar saya mengemukakan bukti mengenai Apco. Apa yang sudah disebut oleh YB Karpal Singh sebentar tadi, itu dia. Kita minta ruang. Sebahagiannya sudah saya ucapkan, sebahagiannya lagi iaitu perjanjian ada ditangan saya.
"Tapi saya tidak diberi peluang, saudara tahu mengapa Umno gentar untuk memberi ruang dan peluang saya sampaikan maklumat kerana dia tahu saya ada maklumat. Jadi jangan bagi peluang, kerana dalam jawatankuasa itu, prosiding akan dicatat. Jangan bagi ruang untuk berucap di parlimen kerana prosiding itu akan dicatat," kata Anwar.
Anwar berkata Hishamuddin sekali lagi memperlihatkan kedangkalan beliau apabila cuba untuk memutar belitkan isu pendedahan wikileaks dalam sidang akhbar sama.
Beliau hairan sebagai Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin langsung tidak membangkitkan pendedahan wikileaks mengenai Perdana Menteri dan warga Mongolia Altantuya Sharibbu yang mati dibom.
"Apa kata wikileaks, pertama di Malaysia yang pimpin negara Malaysia ini orang yang tidak ada wibawa, kata wikileaks. Saya tak mesti setuju. Tapi Menteri Hishamuddin kenapa pada kenyataan ini, disambung lagi, Najib Razak perlu menang politik untuk mengelak dirinya dari didakwa kes bunuh Altantuya Sharibu Mongolia," katanya lagi.
Anwar berkata Hishamuddin sengaja lupa bahawa beliau bukan bekas Menteri Kesihatan, Chua Soi Lek yang terbabit dalam skandal video lucah dan kini diangkat menjadi presiden MCA dan penasihat utama Najib mengenai hal ehwal orang Cina.
Kata Datuk Hishamuddin, wikileaks tengok Anwar, dia tahu ada perangkap, dia pergi ke tempat yang di perangkap. Saya bukan bekas Menteri Kesihatan. Dia buat fitnah, saya dah kata ini fitnah ini jahat. Jangan ulang, oh dia kata ini yang dikatakan oleh Singapura. Apa jawapan saya, ya kalau Singapura katakan begitu termasuk Lee Kuan Yuew, silakan hadir bersama Mahathir bersama Gani Patail, bawa bukti di mahkamah  kita lawan di mahkamah dengan peguam kita.

Shamsul persoal tujuan rombongan Ali Rustam ke Indonesia

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin mempersoalkan tujuan sebenar pesawat yang membawa rombongan pelaburan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Melaka yang ditahan di Lapangan Terbang Surabaya, Indonesia baru-baru ini.
Ini kerana sebahagian besar rombongan yang dikatakan dalam misi mencari pelaburan ke Timor Leste itu merupakan ahli-ahli keluarga kerajaan negeri Melaka, termasuk salah seorang anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sepertimana yang dilaporkan akhbar dalam talian Indonesia, Kompas.com.
“Lebih menghairankan, timbul persoalan mengapakah anak perdana menteri turut serta dalam penerbangan berkenaan, berdasarkan laporan Kompas.com. “Jesteru kita mendesak Ali Rustam supaya dia memberi penjelasan apakah sebenar yang berlaku. Apakah rombongan ini mencari pelaburan atau rombongan pelancongan ala Disney land seperti yang dilakukan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo dahulu,” soal Shamsul.
Shamsul yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Melaka mempersoalkan kos sewa pesawat dan penginapan selama dua hari ahli rombongan terbabit, yang pastinya akan menelan belanja ratusan ribu ringgit.
“Jika sekiranya betul laporan Kompas menyatakan anak Najib dibawa sekali, kita mahu tahu apakah tujuan sebenar Ali Rustam dan apakah kaitan rombongan mencari pelaburan dengan anak perdana menteri.
“Jika ia rombongan pelaburan ke Timor Leste, ia sepatutnya untuk beri pulangan kepada negeri dan tujuan ini tidak sepatutnya disalahgunakan untuk membawa ahli-ahli keluarga pegawai kerajaan negeri Melaka,”tegas Shamsul.
Mengikut akhbar dalam talian Indonesia, Kompas.com pesawat itu ditahan di Bandar udara Internasional Juanda, Surabaya pada 14 Disember pada sekitar jam 12.15 waktu Indonesia barat.
Menurut laporan portal itu lagi, pesawat carter jenis BAE 146-200 itu membawa seramai 81 orang, sebahagian besar merupakan ahli keluarga pegawai-pegawai berpangkat senior kerajaan negeri Melaka.
“Pesawat membawa 81 penumpang dan sebagian besar merupakan keluarga Kesultanan Melaka. Di antaranya adalah salah satu menteri Malaysia dan putra Perdana Menteri Malaysia Najib Razak,”jelas laporan itu.
Walaubagaimanapun, memetik laporan Bernama, pesawat itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari Dili Timor Leste dan ditahan pada kira-kira pukul 2 petang waktu Indonesia sebelum dibenarkan berlepas semula mengguna pesawat MAS ke Melaka pada pukul 11 malam hari yang sama.
Media-media Malaysia juga tidak menyebut bahawa anak perdana menteri turut ditahan dalam pesawat berkenaan, yang menguatkan spekulasi bahawa pesawat khas itu membawa  rombongan ‘pelaburan dalam percutian’.
Sebelum ini, Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo bersama keluarganya dan beberapa orang bekas exco kanan negeri itu membelanjakan hampir RM 1.8 Juta untuk melakukan 2 trip lawatan ke luar negara, termasuk perjalanan ke Paris Disneyland dan Orlando Disneyland.
Perkara itu didedahkan dalam siasatan yang dijalankan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) Selangor pada April 2009.

Buku Jingga garis program Pakatan perintah negara

KUALA LUMPUR,  20 Dis: Pakatan Rakyat (PR) mengeluarkan Buku Jingga yang mengariskan rancangan berbentuk jangka pendek dan jangka panjang dalam mentadbir negara sekiranya mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.
Buku Jingga yang merupakan dasar bersama dipersetujui parti-parti dalam PR itu dikeluarkan melalui Konvensyen Ke-2 PR di Pulau Pinang pada 19 Disember dan disebut sebagai rencana dasar serta kebijakan untuk membela rakyat berlandaskan empat kerangka.
Kerangka pertama digariskan dalam buku itu ialah demokrasi yang telus dan tulen untukmemperkasakan ketuanan rakyat.

Kedua, memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk mem jana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil.

Ketiga, keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh.
Keempat, Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.
"Dasar Bersama ini menggariskan iltizam kami untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman," kata buku tersebut yang ditandatangani oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Preiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Selain itu tiga perkara pertama diangkat dalam dasar bersama PR meliputi komitmen mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.
Diikuti pula dengan Komitmen mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.
Dan seterusnya Komitmen memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.
Program 100 hari memerintah
Buku tersebut turut mengariskan program 100 hari PR yang dilihat sebagai rancangan jangka pendek selepas berjaya mentadbir negara yang disebut sebagai permulaan kepada reformasi iaitu:
  • Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
  • Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
  • Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
  • Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan  imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.
  • Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
  • Menyediakan perkhidmatan internet wifi  percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
  • Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
  • Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.
  • Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.
  • Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.
Jawatankuasa Parlimen Pakatan Rakyat
Selain itu buku itu juga menyebut bidang-bidang yang akan diberi tumpuan khusus PR dalam usaha menterjemahkan dasar bersama ialah  membebaskan institusi Negara, mewujudkan kemakmuran Melalui Pengagihan ekonomi yang adil dan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.
Dalam usaha membebaskan institusi negara PR akan meneruskan konsep pentadbiran yang kompeten, bertanggungjawab dan telus seperti yang telah diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat; sebagai gambaran sebuah pentadbiran yang membebaskan institusi-institusi negara dari cengkaman campur tangan politik.
PR juga akan mewujudkan Council of Experts dalam isu-isu utama negara seperti ekonomi, politik dan sosial untuk merangka dan mengemaskini dasar sedia ada agar bertepatan dan mujarab menangani kemelut negara dan masyarakat.
Seterusnya memperkukuhkan Jawakatankuasa Parlimen Pakatan Rakyat yang memantau fungsi dan keberkesanan Kementerian-kementerian, dengan penerbitan laporan Jawatankuasa Parlimen Pakatan Rakyat setiap enam bulan sekali.
Dan akhirnya memperhebatkan proses pendidikan politik melibatkan golongan sasaran yang lebih besar mengenai peri penting keutuhan institusi-institusi negara yang berintegriti; dengan kerjasama NGO dan masyarakat sivil/madani disamping istiqamah dalam kempen dan gerak kerja politik untuk memberi tekanan kepada pentadbiran sedia ada agar membebaskan institusi-institusi negara dari campur tangan politik.
Pendapatan isi rumah RM4000 sebulan
Dalam aspek pengagihan ekonomi yang adil, PR akan menukar aliran pemikiran rakyat supaya beralih dari tumpuan kepada persoalan ekuiti yang sering ditimbulkan lawan kepada langkah-langkah khusus meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat.
Dalam masa yang sama PR akan membongkarkan penyelewengan harta rakyat atas nama menjaga hak Melayu/Bumiputra termasuklah skandal kehilangan RM52 bilion saham yang diperuntukan kepada golongan elit dan kroni pemerintah atas nama Melayu/Bumiputra serta meneruskan skim bantuan terus kepada rakyat tanpa diskriminasi.
PR juga akan mempertahankan hak rakyat untuk mendapat bantuan kerajaan dalam bentuk subsidi minyak dan barangan keperluan asas selain membela golongan termiskin berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500 tanpa mengira  kaum dengan mensasarkan matlamat menjamin pendapatan isi rumah minima RM4,000 setiap  keluarga dalam tempoh 5 tahun Pakatan Rakyat berkuasa.
Dalam aspek pengagihan ekonomi yang adil itu, PR juga menjamin kelangsungan bekalan makanan negara pada harga yang tidak membebankan negara dengan langkah-langkah drastik dalam tempoh dua tahun memerintah di peringkat persekutuan untuk mengurangkan pergantungan kepada import makanan.
Air dan rawatan percuma
Bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, Buku Jingga itu menyebut PR akan menyempurnakan pengambilalihan pengurusan industri air di Lembah Klang demi menjamin tarif air yang berpatutan untuk rakyat dan meneruskan Skim Air Percuma yang telah dinikmati rakyat serta menjamin tidak ada penswastaan sektor kesihatan bagi memastikan khidmat kesihatan yang bermutu dan percuma dapat terus disediakan kepada rakyat terbanyak.
Perkara lain yang turut digariskan di bawah program untuk meningkatkan pendapatan boleh gunarakyat ialah:
  • Mewujudkan Perbadanan Perumahan Negara sebagai badan induk yang mengawal, membangunkan dan mengurustadbir skim pembangunan rumah rakyat untuk menjamin setiap keluarga di Malaysia mampu memiliki kediaman yang selesa pada harga yang berpatutan dengan pendapatan mereka.
  • Menyelesaikan kes-kes projek perumahan terbengkalai yang menekan rakyat dengan apa jua kaedah yang difikirkan sesuai oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat pada kadar yang segera.
  • Meneruskan dan meningkatkan skim mikrokredit yang diperkenalkan untuk memberi bantuan khusus kepada golongan termiskin melonjakkan kedudukan ekonomi mereka, melalui bantuan kewangan, latihan dan pemantauan. Setakat ini, RM70 juta telah diperuntukkan untuk skim mikrokredit di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Nik Aziz Dibenar Keluar Hospital

KOTA BAHARU 20 DIS: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dibenarkan keluar hari ini.

Beliau yang menerima rawatan susulan kerana menghidap sakit pinggang di Hospital Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.
    
Sementara itu, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi meluangkan masa lebih sejam melawat Nik Aziz hari ini.

Beliau diiringi anggota exco Pemuda Umno Datuk Reezal Merican Naina Merican.          
   
Abdullah kelihatan memasuki hospital itu pada 10.30 pagi dan keluar pada 11.45 pagi, dan 15 minit kemudian, Nik Aziz pula keluar dari wad hospital itu
dengan menggunakan kerusi roda sebelum memasuki kereta rasmi setelah dibenarkan pulang berehat di rumahnya.
   
Nik Aziz memberitahu pemberita bahawa beliau dan Abdullah "bercakap perkara biasa".
   
Setiausaha Sulit Khas Menteri Besar, Rosdi Abdullah, berkata Nik Aziz dibenarkan pulang oleh doktor kerana kesihatannya bertambah baik selepas
menjalani rawatan pembedahan laser di bahagian pinggangnya.-Bernama.

Azan: Notebook 1 Malaysia Ada Penyelewengan Berlapis





Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail mendakwa wujud penyelewengan dalam pemberian notebook 1Malaysia yang diagihkan kepada rakyat miskin apabila individu yang dilantik sebagai 'pemberi' atau 'penerima' diberi pilihan sama ada untuk menerima wang RM400 atau pun notebook berkenaan.
'Pemberi' ini biasanya dikalangan ketua-ketua bahagian Umno manakala 'penerima' dikalangan penyokong tegar Umno.
"Kononnya buat alasan bagi komputer percuma, saya hendak mencabar kerajaan yang pada saya ada skandal yang amat besar yang perlu dibongkar sebab nilai pemberian 1 juta notebook keseluruhannya berjumlah RM1 bilion dibazirkan.
"Apakah hasilnya? beri komputer yang tidak seberapa kepada budak-budak miskin, bawa balik rumah, tak tahu nak guna lepas itu jadi skandal berlapis.
"Ada orang yang dilantik sebagai pemberi atau penerima akhirnya diberi pilihan sama ada hendak komputer atau hendak duit, orang itu kata hendak duit lah, sebab kalau bagi duit, dapat RM400.
"Banyak di kawasan luar bandar yang sepatutnya menerimanya komputer telah ditawarkan duit RM400," jelasnya kepada Tv Selangor.
Akhirnya kata Azan, projek pemberian notebook tersebut lebih terdedah kepada penyelewengan apabila penerima-penerima notebook tersebut hanya mengambil wang dan bukannya notebook.
Ujarnya lagi, beliau kini sedang mengumpul bukti-bukti untuk mendedahkan perkara tersebut di Parlimen.
Tegasnya, kalau betul kerajaan benar-benar melaksanakan pemberian tersebut, sepatutnya sudah tidak ada lagi orang miskin di negara ini.
"Notebook ini diberikan kepada siapa? kepada kroni sahaja. Kemudian, yang mustahaknya adalah nilai sebenar notebook yang diberikan itu cuma bernilai RM200 berbanding RM1000 yang dijual kepada kerajaan. Notebook yang diberikan itu setakat ketuk tulis nombor dengan perkataan, internet, Wi-Fi semuanya tak ada, tidak boleh buat apa-apa pun.
"Setakat nama saja komputer tapi hakikatnya tidak mempunyai apa-apa fungsi, nilainya murah kualitinya tetapi dinilai RM1000  tetapi pada hal nilai yang sebenar hanya RM200," ujar beliau.
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan hari ini berkata sehingga kini belum menerima sebarang aduan rasmi mengenai penyelewengan pengagihan notebook 1Malaysia sementara Azan ketika dihubungi menegaskan beliau telah membangkitkan isu penyelewengan tersebut di Parlimen tetapi tidak dihiraukan.
Timbalan menteri berkenaan Datuk Joseph Salang dalam kenyataannya berkata walaubagaimanapun,kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bersama-sama Kementerian Pelajaran mengadakan pemantauan dan penambahbaikan proses pengagihan secara berterusan.

Soalan yang Kerajaan Pusat tidak menjawab sehingga kini?

Soalan yang rakyat mahukan jawapannya... Pada tahun 2008, pemimpin pembangkang mendesak supaya satu siasatan dijalankan terhadap pembelian 12 helikopter Eurocopter bernilai RM2.3 bilion yang mereka dakwa dilakukan secara tidak betul.
Kementerian Pertahanan didakwa lebih membayar RM1.4 bilion ketika membeli pesawat itu dari Eurocopter untuk Tentera Udara Diraja Malaysia.Pengadu mendakwa Malaysia menandatangani surat hasrat untuk membeli 12 helikopter Eurocopter EC725 Cougar pada harga RM2.3 bilion, sedang Brazil hanya membayar AS$1.2 bilion untuk membeli 50 unit model yang sama.
Soalan yang rakyat Malaysia mahu jawapannya ialah: Apakah kerajaan Malaysia membeli pesawat terbaik dari segi nilai wang?

Apakah ada kajian kesesuaian dilakukan untuk membandingkan harga dan fungsi helikopter berkenaan?

Dan mengapa ada isu berhubung pembelian pesawat tersebut sehingga memerlukan Jawatankuasa Kira-kira Awam melakukan siasatan?

Tahun sebelumnya pada lewat 2007, Ketua Audit Negara telah membentangkan satu laporan di Parlimen, mendakwa bahawa satu kontrak untuk membina kapal tentera laut diberikan kepada PSC-Naval Dockyard, anak syarikat Penang Shipbuilding & Construction Sdn Bhd, yang dimiliki Tan Sri Amin Shah Omar Shah, menghadapi masalah serius.

Syarikat Malaysia itu dikontrakkan untuk menyerahkan enam bot peronda kepada Tentera Laut pada 2004 dan penghantarannya selesai pada April 2008.

Kontrak itu seharusnya merupakan sebahagian daripada 27 bot peronda luar pantai yang menelan belanja RM24 bilion. Kontrak ini turut merangkumi hak untuk menyelenggara dan memperbaiki semua kapal tentera laut. Bagaimanapun, hanya dua kapal peronda telah diserahkan pada pertengahan 2006.

Terdapat 298 aduan yang direkodkan terhadap dua bot tersebut, berhubung beratus-ratus item yang tidak lengkap. Harga asal kontrak RM5.35 bilion melambung kepada RM6.75 bilion pada Januari 2007.

Menurut Ketua Audit Negara, ia berpunca daripada kegagalan salahurus kewangan yang serius dan ketidakmampuan teknikal kerana PSC tidak pernah membina, kecuali kapal pukat tunda atau bot polis, sebelum diberi kontrak tersebut oleh Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Laporan tersebut mendapati nilai kontrak seharusnya hanya RM4.9 bilion dan dua bot yang diserahkan itupun didapati cacat.

Datuk Seri Najib Tun Razak, RAKYAT mohon jawapan!!

Tidak mustahil Pakatan menang di Tenang, kata Hadi

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Meskipun menyedari gelanggang saingan “tidak sama rata”, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mahu jentera Pakatan Rakyat meningkatkan usaha meraih sokongan pengundi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
Sehubungan itu, kata Hadi, tidak mustahil bagi Pakatan Rakyat yang akan meletakkan calon PAS memenangi pilihan raya kecil DUN Tenang sekiranya kesemua jentera bekerjasama ke arah itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang, pilihan raya kecil ke-14 sejak Mac 2008, Jumaat ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata parti Islam itu kini sedang membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Tenang.
“Kita ada cawangan di sana, kita kini sedang membuat persiapan jentera bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Tenang.
“Kita sedar untuk capai kemenangan tidak mudah kerana keadaan padang yang tidak sama rata yang kalau lihat memihak kepada BN.
“Tetapi walaupun tidak sama rata tidak mustahil bagi kita untuk mencapai kemenangan di sana,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
Mengenai soal siapa yang akan menjadi calon PAS di DUN Tenang, Hadi bagaimanapun berkata satu mesyuarat akan diadakan bagi menentukan siapa yang akan menggalas tanggungjawab itu.
“Mengenai soal calon kita masih belum tentukan, kita akan adakan mesyuarat dan kita serah kepada PAS Johor untuk menentukan calon.
“Setakat ini kita masih belum putuskan siapa calon kita di DUN Tenang,” katanya.
BN dan Pakatan Rakyat sudah mengumumkan akan menurunkan calon masing-masing. BN akan diwakiki Umno manakala Pakatan Rakyat pula PAS.
Kerusi DUN Tenang kosong setelah Datuk Sulaiman Taha meninggal dunia Jumaat lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini.
Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.
DUN Tenang yang terletak dalam kawasan Parlimen Labis mempunyai 14,511 pengundi berdasarkan perangkaan SPR 2008 dengan kira-kira 50 peratus pengundi adalah kaum Melayu, Cina 38 peratus dan India 12 peratus.
Ia pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008 dan yang pertama diadakan di Johor.

Tarikh pilihan raya kecil DUN Tenang diumum Jumaat

KUALA LUMPUR 20 Dis — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan tarikh pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, pilihan raya kecil ke-14 sejak Mac 2008, Jumaat ini.

Difahamkan pilihan raya kecil kali ini akan diadakan minggu ketiga bulan depan. SPR mempunyai 60 hari untuk mengadakan pilihan raya sejak kekosongan wujud.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Johor pada Jumaat lalu berhubung kekosongan kerusi Tenang berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha dari Barisan Nasional (BN).


“Sehubungan itu, SPR akan mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan semua perkara berkaitan dengan pilihan raya kecil DUN Tenang pada 24 Disember di Putrajaya,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini.

Katanya, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akan mengumumkan mengenai tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian selepas mesyuarat khas itu.

BN dan Pakatan Rakyat sudah mengumumkan akan menurunkan calon masing-masing. BN akan diwakiki Umno manakala Pakatan pula PAS.

Kerusi DUN Tenang kosong setelah Sulaiman meninggal dunia Jumaat lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini.

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

DUN Tenang yang terletak dalam kawasan Parlimen Labis mempunyai 14,511 pengundi berdasarkan perangkaan SPR 2008 dengan kira-kira 50 peratus pengundi adalah kaum Melayu, Cina 38 peratus dan India 12 peratus.

Ia pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008 dan yang pertama diadakan di Johor.


The Malaysian Insider

Saturday, December 18, 2010

PRK Tenang, Ujian Terakhir BN Dan Pakatan

ANALISIS terhadap Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat akan memperlihatkan pertempuran yang sengit apabila mereka menghadapi pilihan raya kecil Tenang, yang pertama di Johor, dengan tekanan lebih mengenai impinan untuk Putrajaya, dan juga keupayaan menyusup kedalam kubu BN.

Wakil rakyat Tenang Sulaiman Taha meninggal dunia awal pagi kelmarin disebabkan kencing manis. Dia dimasukkan kedalam Hospital Pakar Ampang Puteri sejak 24 Nov. Dengan kematiannya, negara akan menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil, ke-14, sejak 2008.

Johor dikenali sebagai salah satu "votebanks" untuk BN, sebuah negeri yang telah menyelamatkan gabungan pemerintah daripada penghinaan dan menjadi penghalang kepada pembangkang pada pilihanraya umum 2008 dimana BN kehilangan lima buah negeri dan dua pertiga majoriti di parlimen.

Dan di tengah-tengah spekulasi meluas Perdana Menteri Najib Tun Razak akan mengadakan pemilihan pada suku pertama tahun depan, undi di Tenang dilihat menjadi satu lagi 'bayangan' pilihan raya umum ke-13.

Fokus sekali lagi akan diberikan kepada corak pengundian bukan Melayu. Orang Melayu mewakili hampir 50% daripada pengundi. Cina dan India mewakili 39% dan 12% pengundi, satu perbezaan yang besar di antara 14,511 pengundi berdaftar bagi kawasan pengundian separa bandar ini.

Kekalahan Pakatan dalam dua pilihan raya kecil yang diadakan serentak di Galas, Kelantan and Batu Sapi, Sabah, menjadi tanda undi Cina telah kembali kepada BN. Presiden MCA Dr Chua Soi Lek meraikan fakta tersebut dan menyatakan keyakinanannya bahawa perkara ini akan berterusan.

Sasaran Pakatan Kurangkan Majoriti BN

Ini akan menjadi di antara halangan-halangan Pakatan di Tenang. Perkembangan 2008 kelihatan peralihan undi bukan Melayu dan "liberal progresif" sokongan orang Melayu bandar berlaku termasuk di Tenang, bagaimanapun fenomena ini tidak memberi kesan yang banyak.

Chua kelihatan akan mengekalkan sokongan baik terhadap MCA dan di atas kertas ia kelihatan tidak begitu sukar. Tenang termasuk kawasan pilihan raya Parlimen Labis. Ia benteng utama MCA dan kepada pucuk pimpinan anak lelakinya, Chua Tee Yong.

Keputusan 2008 , di mana arwah Sulaiman mengalahkan calon PAS, Mohd Saim Siran, ia kelihatan sukar untuk Pakatan menjangkakan satu keputusan yang baik. Undi Melayu kekal kepada Melayu Umno. Mohd Saim telah dikalahkan bukan sahaja pada 2008 tetapi juga dalam pilihan raya umum 2004.

Bagaimanapun Majoriti BN menurun dengan banyak. Ia telah dikurangkan hampir separuh. Kemenangan Sulaiman diberi saingannya dengan jumlah yang sangat besar, 5,517 majoriti sebelum ini tetapi pada 2008 ia hanya 2,492. Pengurangan drastik dianggap berpunca daripada peralihan undi Cina dan India kepada Pakatan.


Sasaran paling pragmatik untuk Pakatan ialah untuk meneruskan usahanya untuk mengurangkan terus majoriti pesaingnya sebagai satu pertempuran yang simbolik. Sekiranya ini berlaku, blok pembangkang boleh meraikan kejayaan dalam "perang saraf" di mana ia boleh bermegah meraikan sokongan bukan Melayu yang berterusan. Ia juga akan memberi isyarat bahawa kempen Pakatan telah berjaya meresapi Johor.

Bagaimanapun masih terlalu awal untuk menentukan sama ada Pakatan akan meletakkan calon PAS untuk bertanding di Tenang dalam usaha Pakatan untuk memberikan cabaran yang sengit di sana.
Pertarungan Pertama Presiden Baru MIC

Setakat yang diketahui setakat ini, berdasarkan pola sokongan pengundian Melayu menunjukkan orang Melayu kekal terbahagi, dan sokongan untuk kedua-dua pihak kekal tidak berubah. Keberkesanan PAS boleh diukur dengan usahanya untuk menarik peneroka-peneroka Felda masuk ke dalam kem mereka. Rizab tanah Felda merupakan sebahagian kecil pemilih Tenang.

Sementara itu, pilihan raya kecil ini juga menjadi ujian pertama sebenar G Palanivel sebagai Presiden baru MIC, parti komponen berasaskan India ketiga terbesar dalam BN.

S Samy Vellu meletakkan jawatan sebagai presiden MIC pada 6 Dis selepas menerajui parti itu selama 31 tahun, dipercayai diatur oleh Umno kerana mendapati kebencian terhadap bekas menteri dikalangan pengikutnya semakin tinggi.

Ia satu fakta yang diketahui pemimpin-pemimpin kanan Umno dan merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk Samy Vellu berhenti. Dia telah dilihat menjadi penghalang dan menyekat usaha Najib untuk mendapatkan semula undi bukan Melayu kembali ke dalam kem BN.