Wednesday, May 8, 2013

Rafizi: Perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat malam ini diteruskan

PKR menegaskan perhimpunan “Suara Rakyat Suara Keramat” yang dijadual berlangsung di Stadium Kelana Jaya malam ini diteruskan seperti dirancang meskipun tidak dibenarkan polis.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, perhimpunan yang dianjurkan ini adalah berdasarkan semangat Akta Perhimpunan Aman yang diguna pakai sebelum ini di mana permit untuk perhimpunan tidak diperlukan, sekadar memaklumkan kepada pihak polis.

“Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad telah memaklumkan secara rasmi kepada pihak balai berkenaan.
“Ini bertepatan dengan amalan biasa sebelum ini memandangkan perhimpunan diadakan di tempat persendirian yang telah dipersetujui dengan pengurusan dan pemilik stadium,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menegaskan, perhimpunan yang dirancang pembangkang malam ini merupakan perhimpunan haram berikutan penganjur tidak membuat sebarang permohonan kepada polis.
  
Sehubungan itu, Ismail berkata, polis akan menahan peserta jika perhimpunan itu tetap diadakan.
  
"Penganjur perlu mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Ini kerana tindakan berarak di tempat tertentu tanpa kebenaran bertujuan membangkitkan kemarahan adalah salah disisi undang-undang," katanya.


Mengulas perkara itu, Rafizi berkata, beliau percaya dengan keikhlasan dan kebijaksanaan pasukan polis di bawah pimpinan Ismail yang menghargai hak rakyat untuk berhimpun seperti ditunjukkan dalam perhimpunan-perhimpunan sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengecam anasir penghasut yang cuba menakut-nakutkan rakyat terutamanya golongan bukan Melayu kononnya perhimpunan itu adalah satu alasan agar satu pergolakan kaum bermula.

“Beberapa pesanan ringkas merujuk kepada peristiwa 13 Mei yang kononnya dikaitkan dengan perhimpunan malam ini sedang berlegar jelas berniat jahat.

“Saya akan membuat satu laporan polis di Balai Polis Tropicana pada jam 3 petang ini agar pihak berkuasa menyiasat secepat mungkin pihak yang cuba menimbulkan huru-hara dan ketakutan dengan memainkan sentimen perkauman melalui edaran pesanan ringkas tersebut,” katanya lagi.

No comments: