Tuesday, May 21, 2013

Akta Perhimpunan Aman, Adam Adli dan 'Black505'

Mohammad Faizal Che Yusof,
MENGIMBAU kembali 29 November 2011, setelah dibahaskan hanya beberapa jam dengan penyertaan hanya beberapa orang ahli Dewan Rakyat, rang undang-undang Perhimpunan Aman akhirnya diluluskan dengan protes besar-besaran oleh wakil-wakil dari Pakatan Rakyat.

Menuruti penggubalan Akta Perhimpunan Aman, (Akta 736) pula ialah pindaan kepada Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memasukkan beberapa peruntukan baru termasuklah Seksyen 124B iaitu peruntukan berkaitan dengan aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.

Rang Undang-undang Kanun Keseksaan 2012 yang mencadangkan pindaan Kanun Keseksaan tersebut yang telah dibentangkan untuk bacaan pertama pada persidangan Dewan Rakyat April 2012 lalu adalah sejajar dengan pengenalan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Turutan-turutan penggubalan undang-undang di atas telah dibuat tanpa melalui satu proses awam yang menimbulkan rasa tidak puashati banyak pihak. Ia dilihat dibuat secara tergesa-gesa dan itulah trend penggubalan undang-undang kita.

Apakah kesan penggubalan undang-undang di atas? Dalam memperkasakan kuasa dan penyertaan rakyat jelata dalam menentukan halatuju Negara, rantaian undang-undang di atas sebenarnya telah memberi kelebihan yang cukup baik kepada pemerintah dan lebih-lebih lagi kepada parti yang menguasai kerajaan.

Parti menguasai kerajaan kini mempunyai senjata yang ampuh untuk berhadapan dengan anasir-anasir yang dirasai mampu menggugat kedudukan mereka. Itulah apa yang saya fikir dari pemerhatian isi perundangan yang digubal.

Pindaan kepada Kanun Keseksaan yang memasukkan kesalahan “aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen” mempunyai ruang tafsiran yang cukup luas. Tidak dinyatakan apakah “aktiviti-aktiviti yang menjejeaskan demokrasi berparlimen”.

Itulah yang didepani oleh Adam Adli hari ini. Selain berhadapan dengan siasatan di bawah seksyen 4 Akta Hasutan 1948 (Akta 15), beliau juga disiasat di bawah Kanun Keseksaan yang telah dipinda tersebut.

Apa saja boleh dikatakan terjatuh sebagai aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen. Mengeluarkan kritikan kecil atau besar, menyampaikan ucapan-ucapan atau pidato yang tidak menyenangkan parti memerintah, melakukan aktiviti yang boleh mendatangkan rasa penolakan rakyat kepada parti pemerintah dan pelbagai macam tafsiran boleh dibuat kepada peruntukan pindaan.

Dalam situasi hari ini, pasca PRU13 telah memperlihatkan penolakan rakyat kepada keputusan rasmi yang telah diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya SPR. Sesiapa saja boleh kata bahawa penolakan itu bukan menggambarkan kehendak mejoriti rakyat. Sesiapa saja boleh menyebut bahawa protest dan perhimpunan black out 505 adalah perbuatan orang kecewa yang kalah dalam medan yang ketempangannya bukan lagi rahsia.

Dalam suasana hari ini, selain meluahkan rasa secara perhimpunan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, apa lagi yang boleh rakyat lakukan? Dakwaan, bukti kecurangan dan ketidakadilan dalam PRU13 hanya dijawab secara sebelah pihak dengan meninggalkan persoalan-persoalan yang terus bermain di fikiran rakyat.

Dakwat kekal yang gagal menangani pengundian berganda, warga asing yang memiliki MyCard keluar mengundi, pengundi tulin yang dihalang untuk mengundi, penguasaan media massa yang keterlaluan oleh parti penyandang, semuanya disaksikan oleh rakyat yang hari ini terdedah dengan kepantasan maklumat.

Apa lagi keupayaan rakyat bilamana segala macam kepincangan yang diharap diselesaikan secara bersemuka melalui debat umum hanya tinggal harapan? Benar jika dikata kita ada institusi keadilan dan mahkamah. Namun apa gunanya institusi yang ada jika system perjalanannya terus diragui dan tidak lagi mendapat kepercayaan umum?

Sesungguhnya suasana yang ada pada hari ini penuh mencabar khususnya kepada pemerintah semasa. Menangani keadaan semasa dengan cara lama hanya meletakkan Malaysia sebagai sebuah Negara yang rakyatnya terus gagal berfungsi sebagai masyarakat yang berasaskan maklumat dan ilmu.

Kepincangan PRU13 yang kini menjadi rahsia umum tanpa ditangani dengan bijaksana hanya akan melahirkan lebih ramai Adam Adli. Harus diinsafi, kini rakyat bertindak dengan maklumat dan kefahaman. Mereka berhimpun secara aman atas keyakinan bahawa perhimpunan aman adalah suatu hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Mereka keluar tanpa perlu dibayar. Mereka keluar dengan iltizam yang tinggi untuk melihat Malaysia pada masa hadapan sebagai sebuah Negara demokrasi yang benar-benar untuk rakyat. Mereka keluar dengan tekat bahawa Negara ini milik mereka bukan milik warga asing yang mengundi. Mereka keluar dengan kepercayaan selama ini kekayaan bumi ini hanya diratah oleh segolongan hartawan yang kekayaannya mampu membeli undi hingga jutaan ringgit di setiap kawasan.

Kepada sekalian pimpinan yang telah terpilih dalam PRU13, denyut nadi rakyat hari ini perlulah dirasai dan dirai. Halusilah setiap fakta yang membangkitkan rasa duka rakyat dengan penuh bijaksana dan keisafan. Segalanya masih belum lewat. Apatah lagi pintu kebaikan itu sentiasa terbuka untuk dimasuki oleh sesiapa saja bagi memastikan Malaysia yang lebih sejahtera pada masa hadapan.

No comments: