Monday, November 26, 2012

MURSHID Juga Kata Tak Salah Doa Hancurkan Organisasi


Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid) berpandangan berdoa untuk menghancurkan sesebuah organisasi tidak salah, jika ia membawa kebaikan.

Pengerusinya Dr Zaharuddin Abdul Rahman (gambar) berkata, doa yang menjurus kepada organisasi, bukan individu, tidak melanggar adat berdoa.

“Sekiranya doa itu dari individu yang dizalimi, maka doa untuk menghancurkan organisasi tertentu (yang bertanggungjawab) dibenarkan.

“Doa seperti menunjukkan mangsa meluahkan kekecewaan yang sudah sampai ke puncak akibat sering dizalimi,” katanya dipetik Sinar Harian.

Bagaimanapun, katanya, lebih baik mendoakan agar individu atau sesebuah organisasi itu mendapat petunjuk, dan ampunkan kesalahan mereka.

Isu doa sebelum ini timbul ekoran doa pada program Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Mohamad ke IV sempena Muktamar PAS ke-58 baru-baru ini.

Doa yang dibaca Nik Razi Nik Mat semasa mengimamkan solat hajat itu antara lain menyebut 'Hancur BN' dan 'KO BN' pada pilihan raya akan datang.

Sementara itu, akhbar berbahasa Melayu itu juga turut memetik pandangan Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa umat Islam boleh memohon doa kehancuran jika merasa diri mereka ditindas dan juga dizalimi.

Beliau berkata, secara umumnya sesiapa sahaja boleh memohon doa kehancuran sekiranya merasakan diri dizalimi.

“Misal kata ada orang menganiaya atau menzalimi kita, boleh ke kita berdoa kepada mereka? "Jawapannya boleh, tidak timbul isu tidak boleh mendoakan kehancuran sesama Islam,” katanya dipetik akhbar itu lagi.

Asri berkata, doa memohon kehancuran ini bukan suatu yang baru, malah wujud sejak zaman Rasulullah lagi apabila terjadi kepada para sahabat, tetapi dilakukan secara berkias (berlapik).

No comments: