KUALA LUMPUR: Himpunan Hijau Anti Lynas mencapai matlamat apabila kumpulan pejalan kaki Stop Lynas berjaya tiba di Dataran Merdeka kira-kira jam lima petang tadi.
Hampir 20,000 orang berjaya tiba di hadapan Dataran Merdeka. Mereka duduk di atas jalan raya mendengar ucapan Pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tack.
Wong Tack dalam ucapannya berkata, kumpulan yang berjalan kaki dari Kuantan, Pahang akan duduk di Dataran Merdeka sehingga pagi esok bagi menunjukkan bantahan mereka.
"Kita berada di sini kerana sayangkan negara kita.
"Kita akan tidur di sini dan kita minta ahli parlimen datang jenguk kita kerana mereka menaiki kenderaan, cuma tiga minit sahaja sedangkan kita sudah jalan jauh," katanya.
Perjalanan sejauh 300 kilometer itu bermula sejak 13 November lalu.
Mereka tiba di Tol Gombak, jam 3 petang semalam sebelum berarak ke Kolej Universiti Islam Dr. Zulkifli Mohamed ((KUIZM), di Taman Melewar pada jam 4 petang.
Ketibaan mereka disambut PAS kawasan Batu dengan Yang DiPertua PAS Batu, Cikgu Ishak Surin yang turut bersama-sama berjlan kaki dari Tol Gombak ke Taman Melewar.
Pagi tadi, kumpulan tersebut bergabung dengan kumpulan dari Kuala Lumpur mula berarak dari KUISM ke Sentul Pasar.
Mereka seterusnya berarak ke Maju Junction sebelum bergabung dan berarak ke Dataran Merdeka.
Cikgu Ishak turut bersama-sama ke Dataran Merdeka bersama kaum Cina, Melayu dan India dari pelbagai peringkat umur.
Mereka duduk di Dataran Merdeka kira-kira sejam sebelum sebahagiannya beransur pulang.
Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang turut serta ialah Presiden PKR, Datuk Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden, Tian Chua dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
Tiada kejadian yang tidak diingini sepanjang perarakan. -Hrkh
No comments:
Post a Comment