PAS adalah parti yang sentiasa terbuka untuk menerima teguran dan
kritikan sama ada daripada dalam atau luar parti. Dalam muktamar
baru-baru ini, ahli diberikan hak seluas-luasnya untuk menegur pimpinan.
Isu penolakan terhadap Kepimpinan Ulamak, penstrukturan semula Harakah,
ketegasan dalam perlaksanaan undang-undang Islam dan lain-lain telah
menjadi fokus para perwakilan untuk menegur pimpinan. Ia jauh sekali
berbanding parti UMNO yang menutup pintu ahlinya untuk menegur.
PAS juga bersedia untuk menerima teguran daripada luar. Bahkan PAS
menjemput mereka untuk berdialog dan menegur secara direct dalam majlis
yang dianjurkan oleh PAS sendiri walaupun ada orang yang sehingga
sekarang tidak memberikan tarikh setelah bersetuju untuk datang.
Doktrin yang perlu ditolak
Menjawab teguran bukan bermakna tidak menerima teguran tersebut.
Kadang-kadang jawapan perlu diberikan sebagai satu penjelasan. Doktrin
bahawa teguran yang dijawab dianggap tidak diterima harus ditolak. Di
samping itu, ada yang menuduh bahawa jawapan yang diberikan adalah
reaksi melenting dan melatah. Perlu diingat bahawa senyap, tidak
menjawab tidak semestinya bermakna menerima teguran kerana kadang-kadang
ia ditolak kerana malas menjawab.
Keras atau lembut dalam menjawab pula adalah berdasarkan teguran yang
diberikan. Ini kerana kadang-kadang teguran yang dibuat bukan untuk
membaiki tetapi lebih untuk membina persepsi yang buruk terhadap orang
yang ditegur.
Justeru itu, tidak pelik jawapan yang diberikan kadang-kadang agak
keras. Lihat sahaja kata-kata Saidina Abu Bakar yang keras terhadap
Urwah bin Mas'ud, wakil musyrikin Mekah dalam peristiwa perjanjian
Hudaibiyyah: "Kamu ini manusia yang menghisap kelentik kemaluan berhala
al-Latta." Jawapan keras ini dihamburkan oleh Abu Bakar r.a. apabila
Urwah menegur Rasulullah s.a.w. yang dilihat ingin menghapuskan dan
memusuhi bangsa sendiri (Lihat Sofiy ar-Rahman, 1991).
Undang-undang Islam adalah prinsip dan perjuangan PAS
PAS sebagai sebuah gerakan Islam sentiasa menjaga prinsip dan anjal
dalam perkara cabang. Inilah yang diajar oleh Islam dan ditegaskan oleh
Muhammad Iqbal, seorang pujangga India bahawa tajdid dan perubahan
adalah mesti bertolak daripada keteguhan prinsip dan turathnya.
Perkara-perkara yang baik daripada pemikiran baru boleh diambil setelah
ditapis dan tidak berlawanan dengan prinsip Islam (Muhammad Iqbal wa
manhajuhu fi tajdid al-fikri al-Islami, 2000).
Prinsip dan perjuangan PAS adalah untuk menegakkan Islam termasuk
undang-undang-undangnya. Ia adalah syariat Allah yang tidak ada kompromi
dalam perlaksanaan. Ia adalah prinsip dan perjuangan PAS yang tidak
pernah berubah daripada dahulu sehinggalah sekarang.
Semua negara memerlukan undang-undang. Tidak ada negara yang tidak
ada undang-undang. Cumanya undang-undang apakah yang hendak dipakai. PAS
sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam ingin melihat
undang-undang Islam dilaksanakan dalam negara ini kerana yakin terhadap
keberkesanannya untuk menghapuskan jenayah. Ia adalah undang-undang yang
datang daripada Allah yang menciptakan manusia. Dia tahu apa yang baik
dan buruk untuk manusia dan Dia tahu bagaimana cara untuk menyelesaikan
masalah manusia.
Orang Islam perlu meyakini bahawa undang-undang Islam adalah terbaik
untuk mencegah manusia melakukan kesalahan dan jenayah. Ia akan
memberikan keadilan kepada semua. Rasuah, salah guna kuasa, memerah
harta negara dan kezaliman yang menghiasi politik Dunia Muslim akan
dapat diatasi dengan undang-undang tersebut. Rakyat yang membenci
pemerintahan zalim sekian lama akan merasa aman dengan terlaksananya
undang-undang tersebut dan merasai keadilannya.
Keberkesanan undang-undang Islam akan memberikan hak kepada orang
yang dizalimi kerana Islam tidak membenarkan berlakunya kezaliman. Orang
yang miskin dan melarat akan terjaga kebajikannya dengan diberikan
makanan dan keperluan asasi. Harta negara dibahagi secara adil dan
kerajaan diurus dengan penuh amanah di bawah undang-undang Islam. Bahkan
bandar yang kotor akan menjadi menjadi bersih dan pengurusan yang buruk
menjadi terurus. Rakyat diberikan ilmu dan pendidikan. Ini semua kerana
Islam telah dilaksanakan secara menyeluruh termasuk undang-undangnya.
Jangan bina persepsi yang buruk terhadap undang-undang Islam
Rakyat tidak seharusnya dibina dengan persepsi yang buruk terhadap
undang-undang Islam. Jangan ditanam persepsi bahawa perlaksanaan
undang-undang Islam akan menjadikan negara tersebut negara Mullah.
Adalah silap jika berpandangan demikian kerana Rasulullah s.a.w. juga
melaksanakan undang-undang Islam di Madinah dan Madinah bukan negara
Mullah.
Kesilapan Taliban ketika memerintah Afghanistan dengan undang-undang
Islam tidak boleh menafikan keindahan undang-undang tersebut. Ini kerana
mereka terlalu jumud dengan mazhab Hanafi, tanpa melihat mazhab yang
lain sehingga dilihat terlalu keras melaksanakan undang-undang Islam.
Wanita dipaksa memakai purdah dan dilarang bekerja.
PAS berbeza dengan Taliban kerana PAS mengemukakan undang-undang
Islam yang meraikan kepelbagaian pandangan mazhab dalam Islam dengan
melihat realiti semasa. Contohnya, PAS mengambil ketetapan bahawa Hudud
tidak akan dilaksanakan ke atas orang bukan Islam. Wanita akan terus
dibenarkan bekerja dan dibela. Justeru, jangan jadikan kesilapan Taliban
untuk menafikan keindahan undang-undang Islam.
Persoalannya, kenapa perlu dipilih untuk menanam persepsi buruk
terhadap undang-undang Islam sedangkan kita ada pilihan untuk membina
persepsi yang baik terhadap undang-undang ini. Kenapa perlu dibina
persepsi bahawa undang-undang Islam hanyalah membawa mimpi buruk kepada
rakyat. Tangan rakyat akan dipotong, ataupun wanita akan direjam dengan
batu, ataupun wanita dipukul kerana tidak bertudung dan seterusnya.
Jangan ditiru cara UMNO yang membina persepsi buruk terhadap
undang-undang Islam. Undang-undang ini jika dilaksanakan akan menghalang
pembangunan kerana batu-batu telah digunakan untuk merejam, berlakunya
kekacauan dan pengangguran, rakyat boleh makan sup tangan dan lain-lain
lagi yang memburukkan undang-undang Islam.
Kita ada pilihan untuk menanam persepsi yang baik kerana
undang-undang Islam membawa rahmat dan kebaikan. Tidak akan ada rakyat
yang akan dipotong tangannya, disebat dan direjam dengan batu kerana
tidak ada lagi orang yang akan sanggup mencuri dan berzina disebabkan
gerun terhadap hukuman Allah. Ia adalah pencegahan daripadaNya.
Orang-orang yang dizalimi pasti gembira terhadap hukuman Allah ini.
Hanya orang yang zalim sahaja tidak senang dengan hukuman Allah.
PAS sentiasa segar dengan ijtihad baru
Walaupun PAS sebagai gerakan Islam sentiasa tegas dengan prinsipnya
memperjuangkan undang-undang Islam, PAS sentiasa menilai pendekatannya.
PAS memperkatakan tentang ijtihad-ijtihad baru mengenai politik
termasuklah ijtihad tahalluf siasi. PAS telah lama berijtihad bahawa
pilihanraya adalah syari'e walaupun sebahagian gerakan Islam yang lain
baru terlibat dengannya. Begitu juga PAS membenarkan wanita bertanding
dalam pilihanraya. PAS sentiasa memahami teks dalam kerangka konteks
kerana sedar politik terdedah kepada perubahan.
Atas kesedaran tentang hakikat politik Islami dan memahami tabiat
baru politik Malaysia, PAS menggunakan pelbagai pendekatan baru.
Slogan-slogan yang menakutkan tidak pernah digunakan.
Slogan-slogan Islam yang lebih memberikan harapan telah lama
dilaungkan. PAS melaungkan slogan kebajikan dan khidmat masyarakat sejak
sekian lama dan dipertegaskan lagi dalam muktamar yang berakhir
baru-baru ini dengan konsep negara berkebajikan. PAS memberikan khidmat
kepada rakyat. Menambat hati mereka dengan janji yang selaras dengan
cita dan cinta rakyat.
Di negeri Kelantan sebagai contoh, kerajaan Pas telah memberikan
pelbagai servis kepada rakyat seperti projek Al-It'am (kupon beras
percuma), Az-Ziwaj (bantuan perkahwinan), Ladang Rakyat, bantuan armalah
(ibu tunggal) dan sebagainya. Kebajikan rakyat sentiasa dijaga di
samping penerangan kepada masyarakat tentang Islam dan undang-undangnya
sentiasa berjalan dan mendapat sambutan yang baik. Semua yang dilakukan
ini adalah untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi perlaksanaan
undang-undang Islam di negeri tersebut.
'Arab Spring' tidak merubah prinsip gerakan Islam
Perlu dijelaskan bahawa walaupun 'Arab Spring' berlaku kerana tidak
puas hati dengan pemerintah yang zalim tetapi rakyat memilih gerakan
Islam untuk menggantikan pemerintahan tersebut. Ini kerana mereka yakin
terhadap Islam dan undang-undangnya sebagai alternatif walaupun
pilihanraya yang diadakan turut disertai oleh parti-parti yang berbentuk
sekular, nasionalis dan sosialis.
Gerakan Islam yang memerintah di negara Arab sekarang ini tidak pernah
mengubah prinsip perjuangan mereka. Dr. Moursi selaku Presiden Parti
al-Hurriyyah wal 'Adalah selepas 'Arab Spring' sebelum menjadi Presiden
Mesir menegaskan hasrat menegakkan undang-undang Islam ketika muktamar
pertama partinya. Setelah menjadi Presiden Mesir, dia juga menyatakan
keinginannya untuk melaksanakan undang-undang Islam apabila ditanya
dalam satu majlis bersama rakyatnya.
Akhirnya, nasihat dan teguran saya kepada penulis artikel 'Relevankah
PAS dalam realiti baru?" supaya jangan menggunakan agama supaya orang
ramai makin jauh daripada agamanya. Jangan tanam persepsi buruk di
kalangan rakyat terhadap undang-undang Islam atas nama agama sehingga
orang takut kepadanya. Penulis artikel tersebut perlu terbuka untuk
menerima nasihat dan teguran ini sebagaimana beliau inginkan orang lain
menerima tegurannya. Pun begitu, saya tidak lupa untuk mengucapkan
terima kasih atas nasihat dan teguran yang beliau berikan.
Penulis adalah pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat).