Friday, October 19, 2012

Asal cenderung pada UMNO, kecerdikan pun hilang

Oleh ZULKIFLI YAHAYA
Matlamat adalah perkara akhir dan muktamad yang ingin dicapai. Apabila matlamat dicapai, maka berlakulah kesempurnaan pada perkara tersebut. Matlamat hidup manusia tidak beriman adalah pelbagai, mengikut citarasa mereka masing-masing.
Namun matlamat hidup orang beriman cuma satu iaitu mendapatkan keredhaan Allah. Tidak beriman seseorang itu jika matlamat hidupnya bukan untuk mendapatkan keredhaan Allah. 
Oleh kerana usaha untuk mendapatkan keredhaan Allah itu adalah merupakan suatu perjuangan, maka menyempurnakan suruhan Allah adalah satu kemenangan. Orang beriman yang mampu bersolat, berzakat, puasa dan menunaikan haji dianggap orang yang menang kerana berjaya menewaskan semua cabaran sehingga berjaya menunaikan perintah Allah.
Dalam Islam ada perkara yang menjadi kewajipan individu dan ada pula yang menjadi kewajipan kepada pemerintah, bukan individu. Solat wajib ditunai oleh setiap yang beriman, manakala melaksanakan hukum Allah dalam perundangan serta berlaku adil dalam pentadbiran negara adalah menjadi kewajipan kepada pihak pemerintah secara jamai.
Bagi kewajipan individu, lumrahnya semua orang mampu melakukan. Namun bagi kewajipan pemerintah ia terpaksa pula melalui langkah tertentu. Untuk melaksanakan pemerintahan adil (termasuk hukum hudud) ia perlukan kuasa. Ada pihak berusaha mendapat kuasa melalui 'mata pedang'.
Di Malaysia PAS memilih kaedah muwajahah silmiyyah, menyertai demokrasi untuk mendapatkan kuasa. Apabila ditakdirkan kuasa diperolehi maka PAS baru berjaya mendapatkan alat untuk menyempurnakan matlamat mendapat keredhaan Allah melalui melaksanakan perintahNya. Kalau setakat menang pilihanraya ia belum satu kemenangan untuk Islam. Kemenangan ialah apabila perintah Allah terlaksana; sama ada dalam aspek pentadbiran yang adil atau pelaksanaan undang-undang ciptaan Allah ke atas manusia.
Maka jika ada pihak yang menafsirkan kemenangan Islam sebagai kemenangan dalam pilihanraya (melalui kenyataan bahawa Islam tidak pernah menang melalui bantuan orang kafir) maka jelas orang itu tidak faham mana satu alat dan mana satu matlamat.
Persoalan berikutnya ialah dakwaan bahawa PAS telah meninggalkan prinsip perjuangan Islam hanya kerana bekerjasama dengan DAP yang menolak hukum Allah. Di mana pihak penuduh ini mendapat pengesahan rasmi bahawa PAS telah meninggalkan matlamat menegakkan sebuah negara yang mendapat keredhaan Allah (didefinasikan dengan istilah negara Islam)? Kecualilah dalam muktamar PAS, satu resolusi dibuat mengisytiharkan PAS secara rasmi membuang matlamat menegakkan negara yang mendapat keredhaan Allah. Sedangkan ini tidak pernah berlaku.
Apa yang berlaku ialah perubahan istilah mengikut suasana dan realiti. Dahulu PAS pernah guna istilah 'menjadikan Islam sebagai Ad-Din'. Kini guna istilah 'Negara Berkebajikan'. Adakah perubahan istilah itu bertujuan untuk memudahkan urusan kerjasama dengan bukan Islam? Jawapannya kena dirujuk kepada sirah Perjanjian Hudaibiyah. Draf perjanjian yang disediakan oleh pihak Muslimin menyebut 'Muhammad Rasulullah'. Puak Musyrikin membantah, lalu nabi Muhammad SAW bersetuju membuang kalimah 'Rasulullah' digantikan dengan 'Bin Abdullah'. Andai kata pihak yang mendakwa PAS telah membuang prinsip Islam, menggantikan dengan istilah yang kononnya tidak menampakkan keIslaman maka saya khuatir kalau golongan ini hidup di zaman Rasulullah SAW dahulu, mereka akan berkata, "Tengok Nabi Muhammad dah ubah prisip, dah tak mengaku dia Rasulullah" (Wal'iyazubillah).
Kenyataan selanjutnya ialah PAS lebih mementingkan kuasa dari mempertahankan prinsip.  Yang sebenarnya bukan mempertahan prinsip tapi mempertahankan istilah yang kononnya menggambarkan prinsip. Baiklah katakan PAS bertegas untuk menyebut negara Islam dan melaksanakan hudud. Kerana tidak bersetuju dengan PAS maka DAP dan KeADILan tidak bersama. Akibat berpecah, pembangkang tidak berjaya tumbangkan BN. Maka BN tetrus berkuasa. Penyelewengan berleluasa, rasuah jadi darah daging pemerintah, pemborosan menggila lantaran terlalu lama berkuasa, ketidakadilan menyeluruh,indeks moral jatuh menjunam, maksiat sudah tidak terbendung, Islam dilatam, Melayu terus merempat di bidang ekonomi dan akhlak. Adakah pada masa itu, PAS hanya perlu berbangga menepuk dada "Pedulikan segalanya hancur musnah, yang penting prinsip Islam kami PAS tidak tergadai!". Ajaran Islamkah ini?
Bukankah lebih baik, sementara hudud belum dipersetujui bersama, menumbangkan kerajaan yang menyeleweng serta menegakkan sebuah kerajaan yang berintegriti diberi keutamaan.  Dalam kaedah fiqah, tidak mampu buat semua jangan tinggal semua. Dengan kuasa yang diperolehi banyak kebaikan yang boleh dibuat.

No comments: