Thursday, August 30, 2012

Burhanuddin Helmy, PM yang tak pernah kita miliki

30 OGOS ― Di atas robohan kota Melaka,
Kita dirikan jiwa Mereka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.
Pantun Dr Burhanuddin bin Muhammad Nur Al Helmy atau dikenali sebagai Burhanuddin Helmy semasa galak melawan penjajah British melalui parti pimpinannya, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).
Insan ini adalah insan hebat dan istimewa yang berjaya menyatukan rakyat pelbagai kaum pada ketika itu melalui Putera–AMCJA (gabungan Pusat Tenaga Rakyat dan All Malayan Council of Joint Action) menawarkan Perlembagaan Rakyat sebagai persiapan untuk mengambil alih Malaya dari British.
Perlembagaan Rakyat setebal 60 muka surat, hasil usaha Pak Sako yang dirumuskan dan diluluskan pada bulan Ogos 1947.
Sebahagian daripada kandungannya ialah:
• Persekutuan Tanah Melayu merdeka termasuk Singapura.
• Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri dipilih oleh rakyat.
• Kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berpelembagaan.
• Bendera dan Lagu Kebangsaan ditetapkan.
• Taraf warga negara samarata kepada semua penduduk yang taat setia.
• Melayu sebagai nation (negara bangsa) bukan Malayan.
• Agama Islam ditadbir oleh Majlis Mesyuarat Khas.
Putera–AMCJA melancarkan Hartal selepas British menolak gagasan mereka menyebabkan Malaya ibarat “dilanggar Garuda”.
British yang takut dengan perkembangan ini mengisytiharkan darurat.
Putera-AMCJA diharamkan.
Termasuklah pergerakkan politik lain seperti PKMM, PKM, API AWAS, GERAM dan banyak lagi.
Ramai ditangkap termasuklah Dr Burhanuddin dan Ahmad Boestaman.
Gagallah satu usaha progesif yang mahu memerdekakan Malaya.
Dr Burhanuddin terus keluar masuk penjara walaupun selepas Merdeka.
Dituduh komunis dan menjadi ancaman negara.
Malaya gagal untuk hidup dibawah pimpinan seorang tokoh hebat yang diiktiraf dunia dan terus dibelenggu masalah perkauman selepas 55 tahun Merdeka.
 
Fakta kemerdekaan

Walaupun sudah 55 tahun merdeka, penjelasan perlu dibuatkan tentang salah tanggapan yang meluas mengenai sejarah negara.
PKMM adalah parti pertama buat orang-orang Melayu, bersifat progresif dan anti penjajahan.
Dr Burhanuddin bersama-sama dengan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Musa Ahmad, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh, Abu Bakar Bakir, Abdullah CD dan ramai lagi bergerak aktif memperjuangkan kemerdekaan Malaya bersama parti yang ditubuhkan pada tahun 1945 itu, sebelum United Malay National Organization (Umno) ditubuhkan.
Tidak tepat jika Umno mendakwa mereka mempelopori perjuangan kemerdekaan.
Lebih tepat jika Umno katakan, British lebih selesa kemerdekaan Malaya dipimpin oleh Umno berbanding PKMM.
Mengapa? Kerana PKMM mahukan kemerdekaan penuh daripada British.
Ertinya, jika PKMM menang dalam perlawanan memerdekakan Malaya dan Dr Burhanuddin menjadi Perdana Menteri pertama Malaya, semua kepentingan British di Malaya akan lenyap.
Lihatlah apabila Malaya merdeka ditangan Umno, syarikat seperti Guthrie hanya berjaya diambil alih kembali oleh anak tempatan pada tahun 1980an.
Selagi penulisan sejarah tidak ditulis semula untuk memberikan keadilan semua pejuang tanpa mengira latar belakang politik, selagi itulah semangat patriotik rakyat tidak akan kuat.
Minggu lalu di sebuah kedai kopi di Brickfields saya dan dua orang teman memerhatikan bagaimana hanya dua kereta yang meletakkan Jalur Gemilang melalui dari pukul 11 malam sehingga pukul tiga pagi.
Tidakkah kita merasakan ada masalah tentang patriotisme disini?

No comments: