“Seribu orang tua hanya dapat bermimpi, satu orang pemuda dapat mengubah dunia”. Presiden Soekarno.
Dalam sejarah politik dan struktur pemerintahan di Malaysia, Parti
Islam se-Malaysia (PAS) memainkan peranan yang cukup penting dalam
menentukan corak dan landas perjuangan politik di Tanah Melayu sejak
ditubuhkan pada 4 April 1956.
Antara gagasan terpenting PAS yang dicerakinkan dalam perlembagaannya
(pindaan 2001) adalah “memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini
sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya
nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah” dan
“mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara”
Dan cita-cita ini jelas terungkap dalam pemasyhurannya: “Bahawa dengan
sesungguhnya adalah diisytiharkan, demi untuk menyempurnakan taqwa
kepada Allah dan kebaktian kepada sesama manusia, yang dijadikan bagi
menegakkan al-amru bil ma‘ruf wan nahyu ‘anil munkar dalam kehidupan
bermasyarakat dan bernegara, maka inilah diisytiharkan sebuah
pertubuhan yang dinamakan Parti Islam Se-Malaysia.”

Dalam bukunya
Islam Embedded
yang menganalisis sejarah perkembangan PAS sejak tahun 1951-2003, Dr
Farish Noor menzahirkan pandangannya tentang PAS sebagai: “the most
remarkable political party in the history of Malaysia”. Kebangkitan PAS
antara tahun 1999-2003 telah meletakkannya ke posisi yang penting dalam
arus politik tanah air: “the Pan-Malaysian Islamic Party (PAS) had
become the biggest and most important opposition party in Malaysia”.
Dr Mujahid Yusof Rawa dalam bukunya
Menuju PAS Baru berhujah
bahawa perjuangan membina kekuatan parti harus diperkukuh dengan wacana
baru yang dapat merumuskan pandangan politik Islam yang syumul dan
dinamis.
Dr Siddiq Fadzil, dalam ucapannya yang noltalgik “Memahami Garis-Garis
Besar Haluan Perjuangan” merumuskan bahawa perjuangan “Islam mempunyai
misi tahriri-tanwiri (pembebasan dan pencerahan) yang bertujuan
mengangkat harkat dan darjat manusia.”
Antara tiga garis besar yang membentuk fikrah dasar perjuangan PAS
adalah menzahirkan cita-cita murni melaksanakan tuntutan syari’at,
menyalakan obor nahdah, dan menegakkan syiar agama dan iltizam
perjuangan ini terus dibakar dan dinyalakan dalam perjuangan menuntut
pembaharuan dan reformasi Islam.
Pemimpin ulung yang telah berjasa membangun dan memperkasai perjuangan
ini sejak mula ialah Dr Burhanuddin al-Helmy yang memimpin perjuangan
daripada tahun 1956-1969, sang doktor yang telah menebus dan mewakafkan
hidupnya untuk satu perjuangan yang tidak dapat dikompromi dan
ditawar-tawar oleh sogokan dan ugutan penjajah.
Latar kehidupan
Nama asalnya ialah Amir Burhanuddin bin Ungku Mohammad Noor. Beliau
dilahirkan pada 29 November 1911 di Kampung Changkat Tualang, Kota
Bharu, Perak. Pak Doktor ini berasal daripada keturunan ulama dan sufi
dari Sumatra yang berhijrah ke Tanah Melayu. Bapanya, Haji Muhammad
Noor, adalah seorang alim Minangkabau yang mengajar tasawuf dan
mengusahakan ladang tani. Beliau pernah berguru dengan Sheikh Mohammad
Khatib al-Minangkabawi dan beberapa pemuka agama di Mekah. Ibunya
Sharifah Zahrah Habib Osman adalah wanita Melaka daripada suku peranakan
Arab-Melayu. Mereka bertemu di Perak setelah Haji Muhammad Noor
kembali dari menunaikan haji di Mekah.
Menurut Dr Burhanuddin dalam lakaran kisah hidupnya: “Ayahanda saya
adalah seorang tasawwuf dan bertariqah Naqshabandi serta dengan lurus
dan wara‘nya. Maka saya daripada kecilnya dilatih secara wara’nya dan
mesti kuat beribadat mengikut-ngikut dia sembahyang berjemaah, membaca
Qur’an dan [Maulid karya] al-Barzanji, ahzab dan zikir. Sebagai orang
muda tiadalah saya tahu apa-apa. Saya ikut-ikut itu kerana malu dan
segan jua. Saya lakukan dengan berat kerana kawan-kawan lain dapat
lepas dan bermain-main saya tidak.” (Simposium Tariqat dan Tasawuf,
1972)
Dr Buhanuddin digelar al-Hulaymi atau al-Helmy kerana karakternya yang
tenang dan penyabar, seperti bapanya yang digelar Abi Halim,
sebagaimana dilukiskan oleh Saliha Haji Hassan dalam tulisannya,
Dr Burhanuddin Al-Helmy, A Political Biography:
“Pilihan kata asal al-Hulaimi itu benar-benar melambangkan
keperibadian Dr Burhanuddin yang lemah-lembut, santun, tenang, sabar…
istilah al-Hulaimi menurut hukum tatabahasa Arab mempunyai makna yang
sama dengan al-Helmy tetapi dalam bentuk yang merendah atau lebih kecil
(Saliha Hj. Hassan 1997;
Dr Burhanuddin Al-Helmy, A Political Biography). Beliau turut dikenal sebagai Pak Doktor dalam kalangan pengikut dan rakannya.
Pada tahun 1927, beliau merantau ke Pulau Pinang untuk menuntut di
Madrasah al-Mashoor al-Islamiyyah dan berguru dengan pemikir dan
reformis penting seperti Shaikh Abu Bakar al-Rafi‘i, Haji Arshad
al-Bawayih, dan Ashiran Yaakob, yang menggerakkan perjuangan kaum muda
yang telah dicetuskan oleh Syed Sheikh al-Hadi, dan Sheikh Mohamad
Tahir Jalaluddin al-Azhari di Tanah Melayu. Beliau menamatkan
pelajarannya dengan memperoleh thanawi (menengah atas) pada 1934.
Kemudian, dengan biasiswa yang ditawarkan oleh saudagar India Muslim,
beliau melanjutkan pelajaran ke India dan mengambil kursus perubatan
homeopatik di Madrasah al-‘Ulum Musalmanan (Anglo Indian College) di
Aligarh. Madrasah yang ditubuhkan oleh Sir Sayyid Ahmad Khan pada tahun
1875 ini berhasrat untuk melahirkan para reformis Islam yang mahir
dalam falsafah moden dan disiplin sains yang luas.
Dr Burhanuddin berhasil menyiapkan tesis kedoktorannya dalam bidang
falsafah, dan sewaktu menyusun disertasinya beliau merujuk kepada
karya-karya besar dalam bahasa Arab dan Eropah, dan menelusuri sejarah
pemikiran dan peradaban dunia yang ditulis oleh kelompok sarjana dari
timur dan barat, dan berhasil menggarap dan menguasai dengan baik lima
bahasa besar.
Demikian dirakamkannya: “Maka saya di India, saya dapat mempelajari
bahasa Inggeris dan Perancis, dan dalam mempelajari ilmu-ilmu
kedoktoran homeopati asas Belanda, memudahkan saya mempelajari bahasa
Jerman. Kemudian masuklah saya ke dalam perguruan psikologi-metafizik,
ilmu al-ruhani juga falsafah dan perbezaan-perbezaan agama besar di
dunia ini. Apabila menyusun-nyusun tesis untuk kedoktoran failasuf
(PhD) maka terpaksalah saya berfikir mendalam mengambil di mana titik
berat, inti sari dan pati punca perbezaan dan perbalahan. Maka
termasuklah membahaskan berkenaan dengan sufi itu termasuk dalam
falsafah.”
Setelah pulang ke tanah air, berbekalkan pengalaman dan kelulusannya,
beliau diterima mengajar di Madrasah al-Juneid, Singapura. Beliau turut
menawarkan khidmat perubatan homeopati di dua cawangan kliniknya, di
Johor Bharu dan di Jalan Picitan, Singapura yang dibina dengan bantuan
seorang doktor India, Dr N. Rajah.
Pengaruh Tasawuf
Pak Doktor tertarik kepada tariqat Naqhshabandiyyah yang berkembang di
India, yang mempunyai dasar dan hujah tasawwuf yang meyakinkan. Tariqat
ini aktif mendakyahkan ajarannya di Asia Tenggara dengan pengaruh yang
signifikan di kalangan pengikutnya yang terus berkembang dengan
pantas. Ketika di India, beliau menghadiri halaqat-halaqat tasawuf ini
dan mengutip pengalaman ma‘rifi, dhawqi dan tajribi melalui pembacaan
yang substantif.
Perkara ini dikupas dalam tulisannya: “Saya pelajari sufi daripada
bahasa-bahasa Eropah. Terpaksalah balik saya mengenal al-Ghazali,
al-Badawi, al-Rifa‘i, al-Rumi, al-Qushairi, Ibnu ‘Ata’illah dan
lain-lain serta rujuk kitab-kitab Eropah itu kepada kitab Arab maka
barulah saya mencari kitab-kitab Arabnya pula. Kemudian setelah saya
siasati kedatangan Islam ke Nusantara kita ini dan datuk nenek kita
memeluk agama Islam yang hanif ini terutamanya kesan-kesannya ialah
daripada ulama-ulama’ Syafi’i dan ulama-ulama’ tasawwuf, sama ada
ulama-ulama’ itu datang secara saudagar atau secara muballigh; bukan
masuk melalui ulama-ulama’ fiqh. Islam masuk di Nusantara kita ini
berkembang tidak dengan kekerasan atau paksa tetapi dengan kemahuan hati
dan pilihan jua yang dapat mengatasi agama Hindu dan Buddha
sebagaimana yang diperjuangkan oleh wali songo di Jawa dan lain-lain
kepulauan maka beransur-ansur nampaklah saya kesenian ilmu tasawwuf.”
Faham tasawuf yang dipintalnya turut merangkul tasawuf moden dan
agresif yang mendakap semangat jihad. Dan perjuangannya terus digilap
dan dipasak dengan lebih jelas setelah menghadam disiplin agama dan
sosial yang penting seperti falsafah, perbandingan agama, tasawwuf dan
ilmu tariqat.
Menurutnya pengajian tasawwuf harus dibarengi dengan pengetahuan
falsafah dan perbandingan agama, sebagai asas keilmuan yang zahir,
seperti dinyatakannya dalam buku Simposium Tariqat dan Tasawuf: “Bagi
memudahkan mendekati ilmu tasawwuf dan tariqat-tariqatnya bagi mencari
ilmu pada zaman kebendaan dan ilmiah ini, eloklah lebih dahulu
mempelajari ilmu fizik kemudian pelajari ilmu metafizik atau maa wara’a
al-taba’ah, ilmu falsafah dan ilmu perbezaan antara agama-agama.”
Kerangka Pemikiran
Dr Mujahid Yusof Rawa, dalam penulisannya yang kritis seperti
Rejuvenasi PAS dan Menuju PAS Baru mengungkapkan bahawa langkah
perjuangan yang digariskan Dr Burhanuddin harus diangkat dan
dilontarkan dalam menuju PAS baru. Beliau menuntut supaya hierarki PAS
berganjak ke arah perubahan, stereotaip dicabar dan pembaharuan dan
kesedaran politik tentang esensi kebebasan, kesedaran watan, faham
keadilan dan nafas perjuangan dan semangat kemerdekaan ditanam dan
dipugar. Begitu juga strategi perjuangannya dalam politik tergambar
daripada kegiatannya dalam Kesatuan Melayu Muda (KMM) menentang
pendudukan British dan Jepun, seperti diungkapkannya:
“Maka ahli-ahli kebangsaan Melayu kiri telah mengambil langkah Musa
dalam istana Firaun. Ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di
luar mengambil bahagian di hutan di rimba jadi anti-fasis, ada yang
menjalankan gerakan rayap – semut api – harimau dan sebagainya.”
Dalam pergerakan politik, Pak Doktor memilih wadah Islam sebagai landas
perjuangan. Beliau disifatkan sebagai sosok pemikir yang terbaik
dilahirkan dalam dekadnya, dan penggagas siyasah syar‘iyyah dan fiqh
awlawiyyat Islam, dan faqih besar dalam mazhab. Pendekatan politiknya
adalah berteraskan amalan perlembagaan dan undang-undang, dengan
memilih cara aman untuk menuntut perubahan.
Demikian seperti yang diungkapkan dalam pidatonya dalam Persidangan
Agung PAS di Kelab Sultan Sulaiman pada Disember 1956. “Jalan kekerasan
tidaklah lagi jalan yang sesuai untuk menyelesaikan segala soal hidup
manusia. PAS menentang kekerasan kerana kekerasan adalah bertentangan
dengan dasar dan ideologi PAS. Perjuangan kemerdekaan tanah air akan
diteruskan oleh PAS dengan jalan aman dan damai, dengan jalan
berperlembagaan.”
Menurut Dr Dzulkefly Ahmad, perhitungan politiknya adalah bercorak
situational politics (siyasah waqi‘) seperti yang dihuraikan oleh
saudara Salahuddin Ayub ketika membahaskan sumbangan dan falsafah
perjuangan dan pemikiran dakwah Pak Doktor: “Dalam konteks ini, saya
ingin mengajak para pemuda semua untuk kita menghayati pemikiran dakwah
yang digagaskan oleh Almarhum Prof Dr Burhanuddin al-Helmy. Beliau
amat menekankan keterbukaan dalam pendekatan dakwah yang sesuai dengan
naluri masyarakat sebagaimana berhikmahnya Wali Songo yang menggunakan
saluran seni hiburan untuk mengajak masyarakat kepada Islam. Pendakwah
tidak menghukum, tetapi memujuk dan menasihati. Perbezaan bukan asas
kepada perpecahan, tetapi menzahirkan keterbukaan. Jangan kerana kita
sukakan susu, lalu mengatakan kopi tidak baik, tetapi minumlah susu dan
hargailah peminum kopi.”
Itulah keterbukaan yang ditunjukkan oleh Dr Burhanuddin. Beliau
dikenali sebagai tokoh reformis, tetapi sangat disenangi oleh ulama
kaum tua. Beliau terkenal sebagai ahli tasawuf, tetapi begitu rapat
dengan ulama kaum muda. Beliau menyusun strategi dakwah dengan
mendekati golongan sosialis-komunis, memulakan kerjasama dengan
parti-parti bukan Melayu tanpa rasa chauvinis, mendukung perjuangan
nasionalis, tetapi kekal sebagai tokoh yang Islamis. Pengikut dan
pengkagumnya bukan sekadar orang-orang politik, tetapi juga
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan. Inilah model pendakwah yang mesti
dicontohi oleh Pemuda PAS pada masa akan datang.” (Seminar Pemikiran Dr
Burhanuddin al-Helmy, 2009)
Ahmad Boestamam menulis tentang kekuatan pengaruh Dr Burhanuddin dan
kecekalan perjuangannya: “Di atas segala-galanya, Dr. Burhanuddin
al-Helmy adalah seorang patriot. Dan kalau kepada beliau hendak
diberikan suatu gelaran yang tepat, layak dan sesuai dan hak sekali
bagi beliau ialah Bapak Kebangsaan Melayu” (Ramlah Adam 1993; Dr.
Burhanuddin al-Helmy: kajian mengenai kegiatannya dalam PKMM
1946-1948.).
Sewaktu menuntut di India, Pak Doktor telah mula bergelut dengan arus
pemikiran Islam moden yang dicanang oleh Sayyid Ahmad Khan, Jamaluddin
al-Afghani, Syed Ameer Ali (1849-1928), Aga Khan, Nehru dan Muhammad
Ali Jinnah (pemimpin Islam Pakistan).
Pandangannya yang progresif turut dibentuk daripada pengalamannya
menuntut di Indonesia, yang meraikan semangat ikhtilaf, mengangkat
kekuatan akal dan ijtihad, mengembangkan faham budaya dan politik yang
dinamis dan menggerakkan reformasi dan cita-cita pembaharuan yang
kental untuk merobohkan benteng taqlid yang mengikat kebebasan fikrah
yang diwarisi daripada pemikiran masyarakat yang jahil dan bobrok.
Hal ini dinyatakan dalam makalahnya Tasawuf dan Tariqah: “Bila saya
lepas belajar ke luar di Indonesia, dapat saya belajar bahasa Belanda
dan guru-guru agama saya pula ulama-ulama kaum muda dan berfaham
progresif dalam Islam, maka fikiran saya terbentuk dengan membaca
keterangan-keterangan moden dan majalah-majalah moden seperti al-Manar
dan al-Fath. Saya pelajari ilmu-ilmu usul fiqh, usul al-ahkam, mazahib
al-arba’ah (mazhab empat) dan membaca kitab-kitab Bidayah al-Mujtahid,
Subul al-Salam, kitab-kitab [Syeikh al-Islam] Ibn Taimiyyah, Ibnu
al-Qayyim, asy-Syaukani, [Syeikh] Abdul Wahhab al-Wahhabi (yakni
[Syeikh] Muhammad Abdul Wahhab), al-Sayyid Jamaluddin al-Afghani,
Muhammad Abduh, Rashid Redha dan akhirnya Tantawi. Saya pun terbalik
bertentang dengan ayah saya dalam pendirian. Saya memusuhi jumud kolot.”
Untuk mengejar cita-cita ini, beliau menggerakkan perjuangan menuntut
perubahan dan reformasi dengan berkecimpung dalam politik marhaen dan
gerakan rakyat. Selama lebih 30 tahun mengharungi perjuangan (1930-1960
an) beliau telah memimpin pertubuhan-pertubuhan penting seperti KMM
(Kesatuan Melayu Muda), KRIS (Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung),
PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya), PUTERA-AMCJA (Pusat Tenaga
Rakyat-All Malayan Council of Joint Action), dan Persatuan Islam
Sa-Tanah Melayu atau Parti Islam se-Malaysia (PAS).
Pada tahun 1937, Pak Doktor menerbitkan majalah Taman Bahagia, sebagai
tapak perjuangannya untuk memecahkan monopoli British di Tanah Melayu,
seperti diungkapkannya: “apa lagi sebagai seorang wartawan muda pada
tahun 1937 saya keluarkan majalah Taman Bahagia lalu tertangkap kerana
saya didapati oleh penjajah berpolitik tegas dan berbahaya kepada
penjajah dan akan membangkitkan kesedaran rakyat, hinggalah sekarang
‘Malaya jadi Palestin kedua’ masih kedengaran diperkatakan orang.”
Kamaruddin Jaafar dalam artikelnya Perjuangan dan Pemikiran Politik Dr
Burhanuddin al-Helmy merumuskan bahawa dalam tiga dekad perjuangannya,
riwayat politik Dr Burhanuddin dapat dirangkum dalam tiga ciri utama:
kemerdekaan, kebangsaan Melayu dan Islam. Nilai-nilai ini ditanam dalam
perjuangannya menentang penjajah dengan semangat dan daya tahan yang
kental, dengan usaha menyemarakkan nilai progresif dan ide radikal dalam
ideologi dan aqidah perjuangan PAS, seperti diungkapkan oleh Ahmad
Boestmam dalam bukunya
Merintis Jalan ke Puncak: “Kalau PAS
berjiwa kiri dan progresif juga untungnya kepada Partai Rakyat Malaya,
demikian saya memperhitungkan. Setidak-tidaknya Partai Rakyat Malaya
tidak akan menghadapi ‘lawan’ yang bertambah sebagaimana kalau kiranya
PAS berjiwa kanan dan tidak progresif.”
Pak Doktor menggariskan strategi perjuangan dan matlamat politik yang
ideal dan hala tuju yang jelas dalam harakat PAS, dengan merangka
agenda yang praktis dan inklusif, yang menggabungkan tradisi pemikiran
daripada semua aliran untuk mempertahankan kemerdekaan, seperti yang
dilafazkannya dalam Muktamar tahunan pada 1956: “Tiap-tiap kita
mengingini satu negara Malaya yang demokratis dan berdaulat dalam erti
kata yang sebenarnya. Cita-cita ini belum tercapai sekarang dan tidak
akan tercapai pada 31 Ogos 1957 ini. Ke arah cita-cita itulah PAS akan
berjuang bahu membahu dan saling berbimbingan tangan dengan segala
golongan dalam masyarakat.”
Dalam mengeratkan perpaduan ini beliau mengungkapkan kesediaan PAS bertahaluf siyasi (mengikat kerjasama politik):
“Dan PAS juga tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya sajalah yang
mempunyai kesanggupan, yang mempunyai kelayakan, yang mempunyai tenaga
dan kebijaksanaan untuk berjuang mencapai kemerdekaan dan kedaulatan
bangsa dan tanah airnya. PAS tidak merasa dan tidak mensifatkan dirinya
sajalah yang berkewajipan memikul tugas suci kemerdekaan bangsa dan
tanah airnya kerana itu adalah tugas rakyat bersama.
Saya katakan bahawa penjajahan adalah bercorak internasional, satu
gergasi yang pengaruh dan kekuatannya dirasakan di seluruh dunia.
Kerana itu, penjajahan tidak boleh ditentang hanya dengan tenaga satu
golongan saja, satu parti saja, tetapi sebaliknya hanya dengan
tenaga-tenaga anti-imperialis seluruh dunia, tenaga-tenaga
anti-imperialisme seluruh masyarakat.
Oleh itu, PAS sanggup bekerjasama dengan apa sahaja golongan, apa saja
parti, apa saja aliran dalam masyarakat atas dasar kepentingan
kemerdekaan bangsa dan tanah air… perjuangan itu sama besarnya dengan
perjuangan yang telah kita pusakai daripada datuk-nenek kita menentang
penjajahan semenjak kejatuhan empayar Melaka dahulu.
Sudah tentu perjuangan yang sebesar itu mengkehendaki tenaga yang
sebulat-bulatnya dari seluruh rakyat negeri ini, menghendaki pengorbanan
yang rela daripada segenap golongan progresif dalam masyarakat.
Tenaga-tenaga nasionalisme, keagamaan dan sosialisme yang sihat dalam
masyarakat harus kita gemblengkan, kita padukan mulai sekarang untuk
merupakan satu tenaga besar demi tugas perjuangan kemerdekaan dan
kedaulatan tanahair kita.”
Kamarudin Jaffar dalam bukunya,
Dr Burhanuddin al-Helmi: Politik Melayu dan Islam
menzahirkan kekuatan idealisme perjuangan yang dicanangnya dan iktibar
serta kesannya dalam pemberdayaan bangsa: “Adalah diakui umum bahawa
Dr Burhanuddin al-Helmy merupakan seorang tokoh terkemuka di alam
Melayu ini. Sumbangan beliau di bidang politik, perjuangan kemerdekaan
dan ilmu perubatan serta peranan Islam yang diletakkan oleh beliau di
bidang-bidang tersebut perlu sekali dipelajari oleh masyarakat kita hari
ini”.
Lontarannya yang memukau:
“Di atas robohan kota Melaka,
kita dirikan jiwa merdeka,
bersatu-padulah segenap baka,
membela hak keadilan pusaka”
Yang diucapkan semasa kongres PKMM ke-2, tanggal Disember 1946 di
Melaka cukup menzahirkan aspirasi dan cita-cita besarnya untuk
mengangkat harakat bangsa dan agama, dan terserlah dalam perjuangannya
mendirikan partai Islam dan memimpin harakah perjuangan yang terbesar
di Malaysia.