Selain dakwat kekal, SPR perlu bersih daftar pemilih
KOTA BHARU, 12 Jan: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata bukan hanya dakwat kekal yang perlu dipersoalkan, sebaliknya masaalah pendaftaran pemilih juga perlu diambil kira.
Menurutnya, daftar pemilih yang dilaksanakan oleh pihak tertentu perlu bersih dan amat tidak wajar sekiranya ditambah warganegara lain sebagai pemilih.
(Gambar: Nik Aziz menyampaikan watikah perlantikan kepada ahli majlis PBT Kelantan)
“Kenapa perlu disabitkan dengan warga negara lain, Bangladesh la, Burma, ini semuanya berlaku hasil dari kerja mereka yang tidak yakin pada rakyat sendiri.
“Mereka yakin rakyat tidak akan mengundi parti mereka, kerana itu daftar rakyat dari negara lain sebagai pemilih. Ini yang kacau (daftar pemilih),”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung penggunaan dakwat kekal selepas menyampaikan watikah perlantikkan sebagai Ahli-Ahli Majlis PBT Negeri Kelantan 2012, disebuah hotel di sini tengahari tadi.
Media masa hari ini menyiarkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Hussin, penggunaan dakwat kekal pada Pilihanraya Umum Ke-13, harus.
“Apa yang perlu kita ingat berhubung pilihanraya ini adalah soal ‘bersih’ serta ketaqwaan kepada Allah sehingga tidak ada lagi pengundi yang mengundi lebih dari sekali,”ujarnya.
Katanya, apalah ertinya kemenangan dari cara yang tidak halal, sedangkan di akhirat nanti mereka yang terlibat akan dihalang masuk syurga.
Beliau bagaimanapun melahirkan ucapan terima kasih pada pihak tertentu di atas usaha tersebut.
No comments:
Post a Comment