Thursday, January 12, 2012

Rakyat Terengganu kecewa stadium tak dibaiki

KUALA LUMPUR, 12 Jan: Kekecewaan rakyat Terengganu terhadap kelemahan Kerajaan BN negeri itu sudah tidak dapat disembunyikan lagi, apabila Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh sejak bulan Jun 2009 lalu masih juga belum dibaiki sehingga kini.
(Gambar: Bangunan Stadium Sultan Mizan yang runtuh...belum dibaik pulih, pihak yang bertanggungjawab lepas bebas)

Kelemahan keterlaluan Kerajaan BN Terengganu itu sebaliknya menjadi tanda tanya lain apabila pihak kerajaan negeri kelihatan lebih berminat menghidupkan stadium lama, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, yang terletak di tengah bandar Kuala Terengganu daripada mengambil tindakan membaiki stadium tersebut.


Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dr Alias Razak berkata, pada hal Kerajaan Terengganu sebenarnya tidak mempunyai sebarang alasan untuk melengah-lengahkan usaha membaiki stadium itu.

Menurutnya, jika hendak dikatakan kerana tidak mempunyai wang tentunya tidak munasabah kerana Kerajaan Terengganu sememangnya diketahui umum mempunyai banyak wang.

Katanya, berdasarkan belanjawan yang dibentangkan, Kerajaan BN Terengganu mempunyai wang melebihi RM2 bilion setiap tahun, malah jumlah tersebut belum lagi dimasuk kira peruntukan tambahan pada setiap bulan Ogos.

"Jadi dengan itu, atas alasan apakah Kerajaan Terengganu yang berada di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said masih juga belum membaiki stadium itu hingga sekarang?

"Sedangkan masuk tahun ini dah tiga tahun stadium itu runtuh. Jadi nak tunggu hingga bila lagi baru nak baiki?" katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang terletak di Gong Badak, Kuala Terengganu siap dibina sekitar Mei 2008 dengan kos sebanyak RM228 juta dan dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sendiri.

Setelah dibina, stadium tersebut pernah digunakan untuk satu program besar, Sukma yang kebetulan tiba giliran Terengganu menjadi tuan rumah bagi kejohanan tersebut sebaik pembinaannya siap sepenuhnya.

Bagaimanapun, stadium itu hanya sempat digunakan dalam tempoh setahun sahaja kerana runtuh pada bulan Jun 2009, sehingga hampir keseluruhan bumbungnya tersungkur ke tanah.

"Sejak stadium itu runtuh, saya sendiri telah beberapa kali bertanya mengenai perkara itu pada persidangan DUN Terengganu. Jawapan yang diberi, pihak kerajaan sehingga sekarang masih lagi menunggu laporan daripada perunding di Kuala Lumpur," kata Dr Alias (gambar) yang juga Adun Bukit Tunggal, Kuala Terengganu.

Sehingga kini, tambahnya, tindakan yang dilakukan oleh pihak kerajaan hanyalah membersihkan stadium tersebut dengan membawa keluar atap-atap yang runtuh yang diserahkan kepada sebuah kontraktor tempatan.

"Jika hanya itu usaha yang dilakukan, apalah maknanya? Sedangkan atap-atap yang dibawa keluar itu diberikan kepada kontraktor terbabit yang juga kroni pemimpin Umno Terengganu," ujarnya.

Beliau berharap agar pentadbiran Ahmad Said mengambil daya usaha yang lebih jauh untuk mengatasi masalah itu agar stadium yang dibina dengan kos yang tinggi dan mampu menampung penonton yang lebih ramai itu tidak menjadi sia-sia.

Sekiranya usaha untuk membaiki stadium itu tidak dilakukan, tetapi stadium lama juga yang hendak digunakan, katanya, ia tentunya satu tindakan kurang cerdik daripada Kerajaan Terengganu.

"Pada hal, stadium lama itu sepatutnya tidak lagi digunakan untuk kegiatan sukan atau bagi pertandingan bola sepak setelah adanya stadium baru yang lebih baik.

"Sebaliknya tapak stadium lama itu sepatutnya digunakan bagi pembangunan negeri, khususnya untuk projek-projek perekonomian demi mempertingkatkan ekonomi rakyat," tegas beliau

No comments: