Saturday, January 28, 2012

FGVH: Strategi dapat RM1.5b hanya janji lisan


KUALA LUMPUR, 29 Jan: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa strategi yang digariskan Felda untuk meraih pendapatan RM1.5 bilion setahun selepas penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH), hanyalah janji lisan dan tidak memberi apa-apa jaminan.

Sebaliknya, Pengerusi Anak, Mazlan Aliman (gambar) berkata, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan dan juga Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad perlu mengemukakan jaminan bertulis mengenai langkah-langkah yang akan diambil Felda sebagai jaminan aset peneroka tidak akan terjejas.

"Ahmad Maslan kata ada strategi untuk dapatkan RM1.5 bilion itu. Tapi itu hanya cakap mulut, tak ada hitam putih.

"Sebab itu saya cabar kerajaan kemuka jaminan bertulis, bukti dan fakta supaya kedudukan Felda sebagai institusi tanah terbesar ini diyakini," kata beliau kepada Harakahdaily.


Kelmarin, Ahmad  menafikan Felda akan mengalami defisit 1.2 hingga 1.5 bilion seperti yang didakwa Anak.

Beliau berkata, antara kaedah yang dipertimbangkan untuk mendapatkan pendapatan RM1.5 bilion itu ialah melalui pajakan tanah kepada FGVH, yang boleh disifatkan keuntungan bersama kepada Felda dan FGVH.

Ahmad turut menyifatkan Anak mendakwa demikian kerana tidak mendapat maklumat secukupnya mengenai pengapungan Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Mengulas mengenainya, Mazlan berkata, Anak mendakwa demikian berdasarkan fakta-fakta yang diperoleh darpada perjanjian pajakan tanah di antara Felda dan FGVH.

Sehubungan itu, beliau mengulangi pelawaan berdebat dengan Ahmad supaya kedua-dua pihak boleh mengemukakan bukti dan fakta mengenai perbelanjaan Felda.

"Mereka kata kita buat tuduhan melulu, hasut peneroka, sedangkan kita kemukakan apa yang terkandung dalam perjanjian dan apa yang diperoleh daripada pihak pengurusan Felda sendiri.

"Sebab itu saya ulang cabaran debat supaya masing-masing boleh kemuka bukti," katanya.

Tambahnya, penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia dengan mendapat segala kenikmatan daripada Felda hanya akan membuatkan Felda hilang kuasa untuk berdikari seperti sebelum ini.

"Saya nampak strategi yang dikatakan Ahmad itu menyebabkan kuasa terletak di tangan FGVH dan Felda yang sebelum ini menjana pendapatan sendiri, hilang sifat berdikari.

"Dulu Felda dibantu kerajaan, selepas itu menjalankan pengurusan sendiri tapi kini terpaksa bergantung kepada FGVH yang belum tentu berjaya," katanya.

No comments: