Sunday, May 3, 2009



Ustaz Latif YDP PAS paling muda di Kelantan

KUALA KRAI, 3 Mei : - Mungkin satu tranformasi baru berlaku di Kelantan apabila golongan muda diberi peluang menerajui pentadbiran PAS kawasan.

Sedangkan kebiasaannya Yang Dipertua (YDP) PAS terdiri daripada mereka yang agak berusia.

Namun di Kuala Krai perwakilan memilih Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, 38 sebagai YDP baru PAS apabila menewas penyandangnya pada mesyuarat agung yang diadakan semalam.

Pada pemilihan itu Abdul Latif mengatasi bekas anggota parlimen Kuala Krai, Ustaz Ibrahim Mahmood. Manakala Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaacob mengekalkan jawatan sebagai Timbalan YDP apabila menewaskan pencabarnya, Ustaz Zulkefli Yaacob.

Ismail Jalil pula menang sebagai Naib YDP apabila berjaya mengatasi Mohd Razali Abdullah.

Ketua Urusan Ulamak, Ustaz Ismail Sulaiman, Ketua Dewan Pemuda, Ustaz Mahadi Mat Zain dan Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Norizan Mohd Zain.

Manakala di PASIR PUTEH, tiada perubahan dalam kepimpinan PAS kawasan itu biar pun berlaku pertandingan agak sengit bagi kesemua jawatan utama.

Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad kekal sebagai YDP apabila mengatasi dua pencabarnya iaitu anggota parlimen Pasir Puteh, Ustaz Mohamad Hussin dan Adun Selising, Drs Saiful Baharin Mohamad.

Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat juga mengekalkan jawatan sebagai Timbalan YDP apabila menewaskan tiga pencabarnya iaitu Yuganu Yunus, Zarir Yaakub, Sidi Ahmad Taib.

Manakala Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim menang di kerusi Naib YDP apabila berjaya mengenepikan Ibrahim Ismail dan Adnan Othman.

Ketua Urusan Ulamak, Ustaz Wan Leh Wan Dollah. Ketua Dewan Pemuda, Mohd Nazlan Abdullah dan Ketua Dewan Muslimat, Hajah Kalthom Othman.

Sementara itu, di PENGKALAN CHEPA, Dato' Mohd Amar Abdullah mengekalkan jawatan YDP kawasan tersebut, timbalannya Haji Yusof Ludin, manakala naib YDP, Haji Osman Awang yang berjaya mengatasi Dr Izani Hussin.

Wan Ubaidah Omar kekal sebagai Ketua Dewan Muslimat dan Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz - ketua Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa.

Seramai 230 perwakilan dari tiga Dun iaitu Cempaka, Kijang dan Panchor hadir pada mesyuarat tersebut yang diadakan di Kompleks Purnama, semalam.

Sementara itu Mohd Amar berkata, PAS Pengkalan Chepa mencatat sejarah apabila pertama kali berlaku pertandingan merebut jawatan utama iaitu Naib Yang Dipertua. Harakahdaily.

No comments: