Tuesday, May 5, 2009

Sivakumar Utus Surat Kepada Sultan Azlan Shah Mohon Tangguh Sidang 7 Mei

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V.Sivakumar telah mengutus surat kepada Sultan Azlan Shah hari ini memohon agar sidang DUN yang dijadualkan bermula hari Khamis, 7 Mei ditangguh kepada satu tarikh yang ditetapkan oleh Sultan kemudian.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Yang Dipertua Dewan, Sivakumar berkata permohonan itu dibuat berdasarkan pertikaian kedudukan Menteri Besar Perak masih dalam pertimbangan mahkamah dan belum diputuskan lagi.

Beliau berkata surat tersebut telah dihantar ke Pejabat Istana Kinta kira-kira pukul 11.00 pagi tadi.

"Kes Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Dato' Seri Hj Mohammad Nizar Bin Jamaluddin sedang dalam proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Saya berpendapat bahawa adalah tidak munasabah sidang Dewan Negeri diadakan dalam kedudukan YAB Menteri Besar Perak yang masih dalam pertikaian di mahkamah," kata Sivakumar.

Selaku Speaker, Sivakumar juga berkata beliau bimbang akan berlaku perselisihan dan pertelingkahan yang mungkin sukar dikawal pada hari sidang tersebut.

Beliau menjangkakan keadaan akan menjadi tegang dan kedua-dua belah pihak akan bertikam lidah dan mempertahankan pendirian masing-masing.

"Untuk menjaga keharmonian, kemuliaan dan kehormatan dewan, saya telah memohon kepada Tuanku Sultan menangguhkan persidangan ini buat sementara waktu," tambah beliau lagi.

No comments: