Monday, May 25, 2009

PRK N41 Manek Urai (01) :PAS Kuala Krai Siap Sedia Hadapi UMNO BN

PAS kawasan Kuala Krai telah menggerakkan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya kecil Dun Manek Urai berikutan kematian wakil rakyat kawasan itu, Haji Ismail Yaakub pagi Jumaat lalu.

Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, persiapan awal telah digerakkan bermula semalam dengan mengadakan beberapa pertemuan.

"Dan malam ini akan diadakan mesyuarat jawatankuasa PAS kawasan di Dun Manek Urai.


Kita membuat persiapan awal sebelum jentera peringkat negeri turun," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kemalangan jalan raya di Ladang Pasir Gajah, petang tadi.

Malam semalam seorang pemuda India, Kumara Dewan, 32 mati akibat kemalangan jalan raya di Kampung Keroh. Sumbangan disampaikan kepada ayah mangsa, B Balakrishnan.

Mangsa dijangka melangsungkan perkahwinan pada Ogos depan. Dia juga mengusahakan kedai runcit di ladang tersebut. Kumara merupakan anak kedua daripada empat adik beradik.

Abdul Latif yang juga Adun Mengkebang berkata, PAS Kuala Krai akur sepenuhnya mana-mana calon yang diketengahkan pimpinan bagi mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil tidak lama lagi.

Beliau juga berharap mendapat kerjasama jentera pilihan raya Pakatan Rakyat dari seluruh negara seperti mana yang berlaku di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

"Saya yakin sepenuhnya seluruh jentera Pakatan Rakyat akan turut memberi sumbangan dalam pelbagai cara untuk mempertahankan Dun Manek Urai," katanya.

Beliau juga berharap Umno tidak meletakkan calon di Manek Urai memandangkan sebelum ini mereka tidak mahu membazirkan wang kerajaan.

"Sekarang kita akan lihat mereka akan bertanding atau tidak. Kalau di Penanti mereka menarik diri atas alasan tidak mahu membazir," katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Krai, Ustaz Mahadi Mat Zin berkata, pemuda PAS kawasan itu akan bekerja keras mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil tersebut.

Dalam satu perkembangan lain, Umno Kelantan pula kini amat mengharapkan semangat Pengkalan Pasir pada 2005 berulang di Manek Urai, biar pun empat pilihan raya kecil pasca Mac 2008 nasib tidak menyebelahi mereka.

Lebih-lebih lagi Umno Kelantan di bawah Dato' Mustapa Mohamed, yang dianggap berjaya memulih kedudukan Umno pada pilihan raya umum 2004.

Maka tidak hairanlah sejak berita Adun Manek Urai, Haji Ismail Yaakub (Paksu Mail) jatuh sakit tersebar, Umno sudah melakukan gerak kerja keluar masuk kampung.

Difahamkan antara pemimpin Umno yang melobi untuk dicalonkan bekas Adun Manek Urai, Zulkifli Omar apabila dikatakan sudah menjelajah ke beberapa kampung di kawasan Dun terbabit.

Dan semalam beliau difahamkan mengadakan pertemuan dengan penduduk di Kampung Budi.

"Pertemuan tersebut diadakan di sebuah kedai kopi. Zuki berucap di depan beberapa penduduk yang ada di kedai kopi tersebut dengan menjanjikan mahu memberi pelbagai bantuan kepada penduduk.

"Kalau hendak zink dia sanggup beri. Seorang rakan yang hadir pada pertemuan itu memberitahu sudah acap kali dia mendengar bekas wakil rakyat menabur janji serupa," kata seorang penduduk Sidi Mamat, 42 di sini.

Bagaimanapun laluan Zulkifli untuk dicalonkan pada pilihan raya kecil yang bakal diadakan sukar memandangkan beliau tewas merebut jawatan Naib Ketua Bahagian Kuala Krai pada pemilihan yang diadakan tahun lepas.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Kuala Krai tewas kepada Jalal Che Muda.

Sementara itu di Kampung Manek Urai Lama, orang ramai masih lagi menziarahi keluarga Paksu Mail untuk merakamkan ucapan takziah.

Manakala pada sebelah malam diadakan tahlil arwah di masjid yang terletak tidak jauh daripada rumah Adun terbabit.

Sementara itu, seorang ahli Umno di Kubang Kerian turut merasai kehilangan Paksu Mail kerana Allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin yang bersikap peramah dan mesra rakyat.

"Sebenarnya saya tidak rapat dengan arwah Paksu, tetapi sesekali bertemu kita dapat merasai bagaimana kemesraan beliau dengan orang ramai.

"Peribadinya luhur. Beliau berkawan dengan sesiapa sahaja termasuk pemimpin Umno. Sebab itulah saya juga merasai pemergian Paksu," katanya.

Paksu Mail kembali ke Rahmatullah pada pagi kelmarin di Hospital Raja Perempuan Zainab Kota Bharu selepas hampir sebulan menjalani rawatan. Beliau menderita penyakit gaot, jantung dan darah tinggi.

Allahyarham berkhidmat sebagai wakil rakyat di Dun Manek Urai selama lima penggal dan tidak pernah kalah dalam pilihan raya.

Seorang bekas pemimpin Parti Semangat 46 berkata, arwah Paksu Mail merupakan seorang wakil rakyat patut diteladani semua ahli politik. -harakahdaily

1 comment:

Anonymous said...

saya seorang pengundi DUN manek urai merasa sgt sedih sebab tidak dapat balik mengundi untuk PRK DUN Manek Urai krn perlu menjaga isteri yang bekerja dan anak berusia 3 bulan di ibu negara..

saya meminta pada semua penyokong PR dan parti PAS termaksud TG Nik Aziz...
-Badai-