Oleh ZULKIFLI YAHAYA
Matlamat
adalah perkara akhir dan muktamad yang ingin dicapai. Apabila matlamat
dicapai, maka berlakulah kesempurnaan pada perkara tersebut. Matlamat
hidup manusia tidak beriman adalah pelbagai, mengikut citarasa mereka
masing-masing.
Namun matlamat hidup orang beriman
cuma satu iaitu mendapatkan keredhaan Allah. Tidak beriman seseorang
itu jika matlamat hidupnya bukan untuk mendapatkan keredhaan Allah.
Oleh
kerana usaha untuk mendapatkan keredhaan Allah itu adalah merupakan
suatu perjuangan, maka menyempurnakan suruhan Allah adalah satu
kemenangan. Orang beriman yang mampu bersolat, berzakat, puasa dan
menunaikan haji dianggap orang yang menang kerana berjaya menewaskan
semua cabaran sehingga berjaya menunaikan perintah Allah.
Dalam
Islam ada perkara yang menjadi kewajipan individu dan ada pula yang
menjadi kewajipan kepada pemerintah, bukan individu. Solat wajib ditunai
oleh setiap yang beriman, manakala melaksanakan hukum Allah dalam
perundangan serta berlaku adil dalam pentadbiran negara adalah menjadi
kewajipan kepada pihak pemerintah secara jamai.
Bagi
kewajipan individu, lumrahnya semua orang mampu melakukan. Namun bagi
kewajipan pemerintah ia terpaksa pula melalui langkah tertentu. Untuk
melaksanakan pemerintahan adil (termasuk hukum hudud) ia perlukan kuasa.
Ada pihak berusaha mendapat kuasa melalui 'mata pedang'.
Di
Malaysia PAS memilih kaedah muwajahah silmiyyah, menyertai demokrasi
untuk mendapatkan kuasa. Apabila ditakdirkan kuasa diperolehi maka PAS
baru berjaya mendapatkan alat untuk menyempurnakan matlamat mendapat
keredhaan Allah melalui melaksanakan perintahNya. Kalau setakat menang
pilihanraya ia belum satu kemenangan untuk Islam. Kemenangan ialah
apabila perintah Allah terlaksana; sama ada dalam aspek pentadbiran yang
adil atau pelaksanaan undang-undang ciptaan Allah ke atas manusia.
Maka
jika ada pihak yang menafsirkan kemenangan Islam sebagai kemenangan
dalam pilihanraya (melalui kenyataan bahawa Islam tidak pernah menang
melalui bantuan orang kafir) maka jelas orang itu tidak faham mana satu
alat dan mana satu matlamat.
Persoalan
berikutnya ialah dakwaan bahawa PAS telah meninggalkan prinsip
perjuangan Islam hanya kerana bekerjasama dengan DAP yang menolak hukum
Allah. Di mana pihak penuduh ini mendapat pengesahan rasmi bahawa PAS
telah meninggalkan matlamat menegakkan sebuah negara yang mendapat
keredhaan Allah (didefinasikan dengan istilah negara Islam)? Kecualilah
dalam muktamar PAS, satu resolusi dibuat mengisytiharkan PAS secara
rasmi membuang matlamat menegakkan negara yang mendapat keredhaan Allah.
Sedangkan ini tidak pernah berlaku.
Apa
yang berlaku ialah perubahan istilah mengikut suasana dan realiti.
Dahulu PAS pernah guna istilah 'menjadikan Islam sebagai Ad-Din'. Kini
guna istilah 'Negara Berkebajikan'. Adakah perubahan istilah itu
bertujuan untuk memudahkan urusan kerjasama dengan bukan Islam?
Jawapannya kena dirujuk kepada sirah Perjanjian Hudaibiyah. Draf
perjanjian yang disediakan oleh pihak Muslimin menyebut 'Muhammad
Rasulullah'. Puak Musyrikin membantah, lalu nabi Muhammad SAW bersetuju
membuang kalimah 'Rasulullah' digantikan dengan 'Bin Abdullah'. Andai
kata pihak yang mendakwa PAS telah membuang prinsip Islam, menggantikan
dengan istilah yang kononnya tidak menampakkan keIslaman maka saya
khuatir kalau golongan ini hidup di zaman Rasulullah SAW dahulu, mereka
akan berkata, "Tengok Nabi Muhammad dah ubah prisip, dah tak mengaku
dia Rasulullah" (Wal'iyazubillah).
Kenyataan
selanjutnya ialah PAS lebih mementingkan kuasa dari mempertahankan
prinsip. Yang sebenarnya bukan mempertahan prinsip tapi mempertahankan
istilah yang kononnya menggambarkan prinsip. Baiklah katakan PAS
bertegas untuk menyebut negara Islam dan melaksanakan hudud. Kerana
tidak bersetuju dengan PAS maka DAP dan KeADILan tidak bersama. Akibat
berpecah, pembangkang tidak berjaya tumbangkan BN. Maka BN tetrus
berkuasa. Penyelewengan berleluasa, rasuah jadi darah daging pemerintah,
pemborosan menggila lantaran terlalu lama berkuasa, ketidakadilan
menyeluruh,indeks moral jatuh menjunam, maksiat sudah tidak terbendung,
Islam dilatam, Melayu terus merempat di bidang ekonomi dan akhlak.
Adakah pada masa itu, PAS hanya perlu berbangga menepuk dada "Pedulikan
segalanya hancur musnah, yang penting prinsip Islam kami PAS tidak
tergadai!". Ajaran Islamkah ini?
Bukankah
lebih baik, sementara hudud belum dipersetujui bersama, menumbangkan
kerajaan yang menyeleweng serta menegakkan sebuah kerajaan yang
berintegriti diberi keutamaan. Dalam kaedah fiqah, tidak mampu buat
semua jangan tinggal semua. Dengan kuasa yang diperolehi banyak kebaikan
yang boleh dibuat.