Thursday, May 19, 2011

Statistik Mengejutkan Penceraian di Malaysia..!!

by Kak Pornah   
.Penceraian! Tahukah anda bahawa ia perkara yang Halal dilaksanakan dalam konteks Islam namun amat tidak disukai Allah? Penceraian di antara suami dan isteri ibarat merobohkan sebuah masjid malahan lebih daripada itu ia bisa menggegar Tiang Arasy!

Menyentuh soal penceraian, ianya dilihat sebagai sesuatu yang normal yang berlaku dalam masyarakat hari ini. Tak kurang juga yang beranggapan bahawa isu penceraian kini telah menjadi ‘trend’ atau gaya hidup bagi golongan-golongan tertentu. Tak perlu nak tuding jari kepada artis atau selebriti tanah air yang sememangnya cukup sinonim tentang kamus cerai berai, sebaliknya penyakit yang satu ini tidak mengenal siapa mangsanya.
 
Merujuk kepada statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2009, kadar perceraian di kalangan pasangan suami isteri Islam di negara ini berlaku dalam tempoh setiap 15 minit! Adalah menjadi sesuatu yang membimbangkan apabila soal institusi keluarga ini dipandang remeh sehinggakan soal perkahwinan dijadikan perkara ‘main-main’ oleh golongan tertentu.

 
.Menyelak pula catatan statistik kes penceraian yang berlaku pada tahun 2002, sekitar 13,937 kes telah dicatatkan. Sepanjang tahun 2007 dan 2008, 75,299 kes penceraian rumahtangga direkodkan termasuklah kes tertunggak tahun-tahun sebelumnya. Suatu jumlah skala besar yang harus diberikan perhatian serius oleh masyarakat untuk ditangani segera. 
 
Seterusnya, kajian JAKIM pada tahun 2007 mendapati 32.2 peratus perkahwinan untuk tempoh lima tahun pertama mengalami perceraian. Lima tahun pertama boleh diibaratkan sebagai usia perkahwinan yang masih malar hijau, namun itulah realiti yang berlaku dalam masyarakat kita yang lebih suka mencari jalan singkat dengan menjadikan penceraian sebagai ‘jalan terbaik’ buat mereka!  
 
Mungkin ada benarnya kenyataan bahawa tempoh sepuluh tahun pertama merupakan tahun yang paling kritikal buat pasangan yang berkahwin. Hal ini demikian kerana, 59.9 peratus rumah tangga pasangan berkahwin telah berakhir dengan penceraian. Tempoh masa sedekad yang diambil untuk mengenali pasangan ‘secara halus’ adakalanya menemui jalan penamat sementelah ditambah faktor-faktor sampingan kurang enak yang tidak diundang!
 
Pada tahun 2009 sebanyak 27,116 kes perceraian telah dicatatkan daripada sejumlah 135,136 perkahwinan didaftarkan pada tahun yang sama. Meskipun ianya bukanlah jumlah dominan jika dibandingkan dengan kadar perkahwinan, namun ia masih wajar untuk digusarkan.
 
.Sekadar mengintai-ngintai statistik kadar penceraian mengikut negeri pada tahun 2008, Selangor mendahului dengan catatan sebanyak 3558, diikuti Kedah 2407, Johor 2329, Kelantan 2266 dan Perak 1951. Itu baru catatan untuk lima buah negeri, belum termasuk negeri-negeri lain. Dan ia juga bagi kes yang ‘berjaya’ didaftar secara rasmi namun bagaimana pula jumlah kes yang tidak dicatat dan mungkin terlepas pandang?
 
Banyak perkara yang menjadi pencetus kepada soal penceraian. Antara alasan wajib yang sering diberikan oleh pasangan-pasangan yang terlibat ialah tidak wujud persefahaman, kurang interaksi, masalah dalaman yang menemui jalan buntu, masalah kewangan dan gangguan orang ketiga. Tidak kira samada alasan yang diutarakan bersifat serius atau remah, jika sudah tertulis kesudahannya begitu hati perlu redha dan pasrah menerima.
 
Soal dah berpuluh tahun berkahwin dan hidup bersama bukan jaminan kepada kelancaran perjalan sesebuah rumah tangga meskipun wujud persepsi bahawa pasangan yang baru setahun jagung berkahwin lebih mudah goyah dan bercerai. Segalanya terletak pada sejauh mana anda mampu menakhoda bahtera yang anda layari.
 
Sekadar menitip pesanan sesama manusia, berkahwinlah kerana YANG DI ATAS bukan kerana harta, pangkat atau nama semata!
 
 

*(gambar di atas sekadar hiasan)

No comments: