Thursday, May 19, 2011

Islam, pentadbiran negara tidak boleh dipisah

KAHERAH: Seorang pendakwah bebas Mesir, Syeikh Muhammad Hasan menegaskan, bahawa mana-mana pemimpin Islam di seluruh dunia yang melakukan percubaan dengan menolak Islam daripada pentadbiran negara adalah sesuatu yang bukan daripada ajaran Islam dan tidak pernah ditonjolkan oleh baginda Rasulullah menerusi sirahnya.
Beliau menolak dakwaan atau tuduhan golongan sekular di kalangan para pemimpin Islam yang menyatakan bahawa tidak ada agama dalam politik, begitu juga sebaliknya tidak ada politik dalam pentabiran negara yang mengamalkan sistem politik.


Sedangkan Islam tegasnya berteraskan akidah yang muncul darinya syariat dan syariat Islam itu pula adalah sistem kehidupan yang menyeluruh, lengkap dan universal.
Beliau berkata demikian dalam satu wawancara menerusi siaran udara ar-Rahmah secara ‘online’, di mana beliau menyatakan bahawa Islam sama sekali tidak pernah bertembung masalah dengan negara sivil, apa yang berlaku adalah satu propaganda dan tohmahan tidak berasas bagi menakut-nakutkan banyak pihak kononnya Islam adalah agama yang menyarankan keganasan seperti yang digembar-gemburkan oleh media Barat.
Sedangkan katanya, telah terbukti pada zaman Rasulullah s.a.w. bahawa Syariat Islam adalah perlembagaan utama dalam mentadbir negara Islam di Madinah, malah tidak pernah bercanggah dengan dua kuasa besar ketika itu iaitu Rom dan Parsi, cuma kedua-duanya tidak menitik-beratkan persoalan akhlak dan peradaban dalam mengurus tadbir negara.
Apa pun katanya lagi, Islam di sepanjang zaman tidak akan memisahkan antaranya dengan pentadbiran negara kecuali ia dipisahkan oleh penjajahan. Apa yang dapat disaksikan dalam pentadbiran di negara-negara Arab khususnya, adalah mereka yang berfikiran sekular dan mahu mati kerananya sahaja yang sanggup menjadi boneka kepada musuh-musuh Islam dan umat Islam. – Rayig.com

No comments: